Opinion

Islam terus jadi taruhan tarik undi Melayu

Akhirnya, bekas timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu menubuhkan parti baharu, Gerakan Harapan Baru dengan tujuan menyelamatkan Pakatan Rakyat dan sudah pasti beliau akan dipilih menjadi presidennya, sesuatu yang gagal dilakukan dalam parti itu selama ini.

Keputusan itu dibuat selepas Majlis Syura Ulama secara rasmi memutuskan tali persahabatan atau tahaluf siyasi dengan DAP, ikatan yang dibina sejak 2008 dengan tujuan paling utama adalah untuk menumbangkan BN dan Umno sekali gus merampas Putrajaya.

Dengan berbekalkan 18 pemimpin PAS yang dilabelkan sebagai golongan Anwarinas, Erdoganista atau Melayu progresif, Mat Sabu dengan jelas meletakkan dasar parti baharu berkenaan bukan untuk penubuhan negara Islam tetapi lebih kepada kerajaan yang adil, bebas rasuah dan bebas penyelewengan…sesuatu yang sama dengan apa diperjuangkan DAP dan PKR.

Walaupun ramai penganalisis politik tidak meletakkan harapan tinggi untuk parti baru ini memberikan cabaran kepada PAS atau Umno dalam Pilihan Raya Umum ke 14 nanti, persoalan yang lebih menarik untuk diteliti adalah ke mana arah tuju PAS pula selepas ini?

Dengan semua 18 pemimpin progresif PAS yang bersama-sama dengan Mat Sabu, masih tidak meletakkan jawatan mereka sebagai ahli dalam parti berkenaan, rakyat sebenarnya semakin pelik dengan wayang yang dimainkan semua mereka.

Ketika mereka antaranya Mahfuz Omar, Dr Zulkefly Ahmad dan bekas naib presiden Umno yang kemudian menjadi ahli seumur hidup PAS, Tan Sri Muhamad Muhd Taib berterusan mengata dan mengkritik pimpinan PAS yang kini kembali kepada landasan asal iaitu perjuangan Ulama, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku presiden langsung tidak memberikan gambaran untuk memecat semua mereka.

Mungkinkah kumpulan pemisah 18 orang ini dan ramai lagi ahli yang dikatakan satu kepala dengan mereka ini takut meninggalkan PAS kerana takut ‘dipancung’ ketika PRU 14 apabila pengundi PAS yang taksub tanpa soal, patuh kepada ‘fatwa’ Majlis Syura untuk memancung mereka sekiranya mereka bertanding kelak.

Agaknya, Hadi mahu orang Melayu terutama sekali ahli Pas sendiri melihat gelagat dan tingkah laku kumpulan ini yang langsung tidak menerima keputusan akar umbi parti dalam pemilihan ketika muktamar sekali gus melanggar ‘baiah’ yang selama ini menjadi kekuatan kepada kesetiaan ahli Pas kepada pemimpinnya.

Hadi sedar betapa PRU 14 nanti akan menjadi medan penentu sama ada perjuangan ulama dalam PAS diterima masyarakat Melayu di kawasan bandar dan separa bandar atau mereka akan kecundang semula kepada Umno.

Setakat ini, kerajaan Selangor yang menjadi contoh terbaik bagaimana kuasa memerintah boleh mengatasi arahan pucuk pimpinan dalam kes PAS adalah Majlis Syura sebagai badan pembuat keputusan utama dalam parti berkenaan.

Amat pelik dan menghairankan juga keputusan yang dibuat Majlis Syura kerana hanya memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP tetapi bukan dengan PKR dan sudah pasti ramai yang dapat meneka betapa keputusan berkenaan dibuat bagi mengekalkan kuasa PAS dalam kerajaan Selangor.

PAS mengetahui Selangor adalah negeri penting untuk mereka membuktikan kepada seluruh rakyat pengundi yang memilih wakil rakyat mereka menjadi agama Islam sebagai landasan untuk kerajaan yang adil, bertanggungjawab dan telus.

Ia membuktikan betapa agama Islam akan terus menjadi taruhan PAS untuk menarik sokongan orang Melayu di kawasan bandar serta separa bandar selain dapat memberikan contoh bagaimana pentadbiran dan pemerintahan kerajaan Selangor di bawah pimpinan Azmin Ali turut mempunyai roh Islam ciptaan PAS.

Tidak pasti sama ada Umno Selangor sedar atau tidak dengan strategi politik PAS ini bagi membuktikan mereka mampu menggantikan Umno sebagai parti orang Melayu suatu hari nanti.

Ini kerana jika gerak kerja Umno terus dengan politik berasaskan kebajikan dan pembangunan, ia bukannya menjadi faktor utama atau penentu kepada masyarakat bandar dan separuh bandar untuk kembali memilih calon Umno sebagai wakil rakyat mereka.

Politik berasaskan kebajikan serta pembangunan yang digunakan BN dan Umno sejak merdeka ini, mungkin hanya sesuai untuk masyarakat luar bandar yang bilangannya semakin mengecil sekali gus mengancam undi yang diterima Umno untuk PRU-PRU akan datang seperti yang dibuktikan dalam Pilihanraya Kecil Rompin dan Permatang Pauh.

Justeru, Umno perlu merangka strategi baru bagi menarik undi daripada orang Melayu tambahan pula DAP melalui pemimpin utama mereka, Lim Kit Siang secara terang-terangan mahu parti yang majoritinya terdiri daripada kaum Cina mengubah pendekatan bagi menarik ahli daripada orang Melayu.

Jenis pakej perjuangan apa yang harus ditonjolkan Umno bagi memastikan orang Melayu terus menyokong satu-satunya parti pra merdeka ini, kerana struktur pemikiran serta sosioekonomi orang Melayu terus berubah dan berkembang.

Seakan ada pertembungan nilai dalam struktur orang Melayu itu sendiri dan ia dapat dilihat dengan penubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu dewasa ini, orang Melayu mempunyai Perkasa dan Isma yang dilabelkan konservatif dalam memperjuangkan agama dan kaum Melayu tetapi pada masa wujud juga NGO Melayu yang liberal seperti Sisters In Islam (SIS) dan Kumpulan 25 (G25).

Di sinilah, Umno perlu berhati-hati dalam memberikan pakej perjuangan baru untuk orang Melayu kerana parti bukan saja perlu berfikir manfaatnya bukan hanya untuk orang Melayu semata-mata tetapi juga kaum bukan Melayu secara keseluruhan terutama sekali parti komponen yang membentu Barisan Nasional (BN).

Apakah kemahuan sebenar orang Melayu ketika ini selain ekonomi dan pembangunan di kawasan bandar serta separa bandar?

Persoalan ini sebenarnya, sudah diketahui Putrajaya dan PWTC dengan pengenalan pelbagai inisiatif dan dasar baru seperti BR1M, GTP, ETP serta pelbagai lagi tetapi sokongan rakyat kepada Umno dan BN terus semakin terhakis.

Tidak dinafikan pengenalan semua dasar serta inisiatif baru ini diilhamkan Datuk Seri Najib Razak yang memberikan harapan baru kepada rakyat Malaysia dengan menjadikan ayat transformasi bagi mendapatkan sokongan dan mandat dalam PRU 13.

Bagaimanapun, keputusan PRU 13 tidak memberikan isyarat positif semua dasar serta inisiatif ini diterima rakyat kecuali peningkatan bilangan kerusi Umno yang dimenangi dalam PRU 13 walaupun buat pertama kali BN kalah kepada pembangkang dalam undi popular.

Atas sebab itu, apabila wakil rakyat Umno di Kelantan membuat keputusan menyokong pelaksanaan hukum hudud dalam sidang Dewan Undang Negeri (DUN) negeri itu, beberapa bulan lalu, timbullah pelbagai persepsi dan tanggapan kerjasama Umno dan PAS akan menjadi kenyataan.

Mungkin ramai orang Melayu yang mahu melihat kerjasama itu menjadi suatu kenyataan yang sudah pasti akan menghasilkan ‘Malay Supremacy’ di negara ini tetapi adakah 12 lagi parti komponen BN dapat menerimanya.

Bagi PAS, terutama sekali golongan agamawannya, mereka sama sekali tidak mengorbankan prinsip perjuangan bagi menegakkan negara Islam dan hukum hudud ala parti berkenaan walaupun dengan mengadakan kerjasama dengan Umno.

Dan ia dibuktikan dengan tahaluf siyasi bersama DAP dan PKR, dengan menggunakan dasar bersetuju untuk tidak bersetuju tetapi akhirnya ia jelas memakan gabungan pakatan pembangkang dan sekali lagi rakyat Malaysia tertipu seperti yang berlaku ketika Barisan Alternatif dulu.

Umno seharusnya sedar asas perjuangan parti ini adalah untuk agama, bangsa dan negara dan ia bermakna ketiga-tiganya perlu berjalan seiringan bukan bertindak dengan meletakkan perjuangan agama mengatasi kepentingan negara dengan menjaga kepentingan semua kaum.

Jika Umno memilih agama untuk menjadi pakej taruhan terbaru untuk menarik undi orang Melayu dalam PRU 14 nanti, ia pasti akan menjadi senjata memakan tuan kerana apa yang dikehendaki orang Melayu ketika ini, terutama sekali di kawasan bandar serta separa bandar sama seperti yang dituntut kaum bukan Melayu.

Pertembungan fahaman Islam di negara ini, jelas kelihatan dan ia sebenarnya, sesuatu yang tidak sihat untuk masyarakat Islam Malaysia yang selama ini, jelas mengamalkan ajaran Islam yang sederhana.

Saya akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai dilema orang Melayu dalam artikel berikutnya yang ketika ini berpecah kepada pelbagai kumpulan fahaman yang dipengaruhi kuasa dunia Islam seperti Wahabbi yang dikepalai oleh Arab Saudi dan Syiah ditunjangi Iran yang sedang berperang di Iraq, Syria dan Yaman hingga sudah ada anak Melayu yang sanggup menyertai tentera Isis.

Adakah Umno dan Putrajaya memahami sifat serta nafsu kumpulan ini yang lama kelamaan meresap dan mempengaruhi kakitangan kerajaan dan ia dibuktikan dengan penahanan kakitangan kerajaan yang terbabit dengan kegiatan militan atas nama Islam.

Sebenarnya, lebih baik Umno menumpukan perhatian kepada menegakkan kerajaan yang adil, telus, bertanggungjawab serta menguruskan wang rakyat secara berhemah tanpa terbabit dalam sebarang isu penyalahgunaan kuasa, rasuah, kroni serta penyelewengan wang rakyat…inilah faktor yang dituntut rakyat dan inilah juga yang menjadi modal kepada pembangkang menarik sokongan orang Melayu di kawasan bandar, separa bandar serta golongan Melayu profesional.

Kegagalan mengatasi isu ini dengan segera pasti akan terus memerangkap serta menjerumuskan Umno ke suatu tahap yang membimbangkan menjelang PRU14 dan sikap menyalahkan orang lain seperti pembangkang selain media sosial tidak akan dapat mengembalikan keyakinan rakyat kepada Umno dan BN. – 21 Julai, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments