Opinion

Islam dan Melayu: Umno bankrap idea tarik sokongan rakyat

Suatu ketika dahulu, Umno sentiasa dilihat sebagai sebuah parti progresif walaupun perjuangannya berteraskan agama, bangsa dan tanah air sering dilabelkan sebagai parti moden dan liberal oleh musuh utama politiknya sehingga pernah ‘dikafirkan’ PAS.

Dan kedua-dua parti terbesar orang Melayu sehingga kini, terus berebutkan sokongan orang Melayu bagi menjamin kelangsungan kuasa politik lebih 60% masyarakat Melayu di Malaysia.

Bukan satu rahsia lagi PAS sendiri ketika ini, terbahagi kepada beberapa puak tetapi golongan ulama terus mempertahankan pendirian dan hala tuju parti berkenaan yang berhasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Di negara ini, Melayu itu adalah Islam dan Islam adalah Melayu. Itu hakikat yang tidak boleh disangkal mana-mana pihak walaupun kini ada kumpulan orang Melayu menyatakan orang Melayu Malaysia terbahagi kepada dua iaitu Islam Melayu dan Melayu Islam. Mudahnya memberikan label kepada orang Melayu walaupun perkara itu tidak digalakkan dalam Islam sendiri.

Sama ada orang Melayu itu berpegang kepada ajaran Islam atau tidak, ia bukan tugas mana-mana pihak memberikan label beliau tidak Islam atau murtad iaitu keluar daripada agama Islam.

Sejak penubuhan Umno pada 1946, Umno terus kekal menjadi satu-satunya parti yang ditubuhkan sebelum merdeka dan hasil perjuangan itulah syiar Islam terus berkembang di negara ini.

Siapa yang boleh menafikan sumbangan Umno melalui 5 presidennya yang terdahulu terhadap pengembangan syiar Islam untuk orang Melayu di Malaysia sehingga mendapat pengiktirafan dunia Islam antarabangsa sebagai sebuah negara Islam moden yang moderate.

Perjuangan Umno terhadap syiar Islam juga membentuk kepada pelbagai penubuhan institusi Islam seperti sistem Mahkamah Syariah, kewangan Islam dan pelbagai lagi sekali gus membukti parti tidak pernah sama sekali mengabaikan perjuangan Islam sebagai terasnya.

Segala-galanya sederhana dalam Umno apabila memperjuangan syiar Islam dan ia sesuatu yang amat perlu kerana parti adalah tunjang kepada Barisan Nasional (BN) yang membentuk kepada kerajaan untuk berbilang kaum dan agama.

Menjelang Perhimpunan Agung Umno (PAU) minggu depan, Umno sebenarnya perlu dilihat tidak mengabaikan kepentingan kaum dan agama lain walaupun tetap meneruskan usaha mempertahankan syiar Islam di negara ini dan sejak 68 tahun lalu, keseimbangan itu berjaya membentuk apa yang Malaysia ada pada masa kini

Kaum lain menaruh kepercayaan kepada Umno untuk turut melindungi kepercayaan agama anutan mereka dan dasar toleransi begitu tinggi antara orang Melayu dengan kaum lain menjadi Malaysia sebagai model sebuah negara berbilang kaum serta agama dan hidup dengan penuh harmoni.

Namun kebelakangan ini, ramai pihak mula menghidu Umno cuba beralih perjuangan Islamnya daripada bersederhana kepada sedikit ekstremis mungkin disebabkan untuk menarik sokongan orang Melayu.

Bukan satu rahsia lagi sokongan orang Melayu kini bukan sahaja terbahagi kepada dua iatu Umno dan PAS atau tiga, Umno, PAS dan PKR tetapi kini terbahagi kepada empat iaitu Umno, PAS, PKR dan DAP.

Pelbagai isu melanda orang Melayu pada ketika ini, melihat Umno berada dalam keadaan tersepit ditambah pula dengan penubuhan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kononnya berlandaskan perjuangan Islam dan Melayu seperti Perkasa, Isma dan banyak lagi seperi boleh diibaratkan tumbuhnya cendawan selepas hujan dengan mendakwa kedudukan Melayu dan Islam di Malaysia semakin terjejas.

NGO-NGO ini, sentiasa menjadi kumpulan pendesak kepada Umno sehingga mungkin menyebabkan pemimpin atasan parti menjadi rimas dan takut kehilangan sokongan orang Melayu menyebabkan perjuangan Islam Umno menjadi lebih radikal berbanding dahulu.

Malah keputusan parti yang mungkin meminda Perlembagaannya untuk memasukkan mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah sebagai ajaran Islam yang diiktiraf dalam Umno juga boleh menimbulkan pelbagai interpretasi terhadap perjuangan Umno pada masa depan.

Adakah Umno sanggup mengenepikan orang Melayu yang tidak mengamalkan ajaran Sunnah wal Jamaah, bagaimana pula dengan orang Melayu yang berpegang kepada fahaman Wahabi, Syiah atau ajaran Islam yang difatwakan sebagai sesat seperti Arqam atau Tuhan Harun?

Saya mengakui bukan orang bijak pandai mengenai ajaran Islam tetapi kebimbangan sebagai seorang ahli parti yang melihat parti sudah sedikit tersasar daripada perjuangan mempertahankan agama Islam sehingga mudah menjatuhkan hukuman kafir kepada orang Melayu dengan hanya mahu mengiktiraf mazhab Sunnah wal Jamaah sebagai dalam parti.

Adakah ini corak acuan perjuangan Umno yang akan menjadi tulang belakang kepada BN dan berpegang kepada janji perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air ketika orang Melayu menubuhkannya bagi membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan Inggeris?

Sepatutnya, Umno tidak perlu tersasar begitu jauh dalam memperjuangkan, mempertahan dan mengembangkan ajaran Islam untuk orang Melayu di negara ini sehingga dilihat terpaksa tunduk kepada desakan NGO-NGO yang sebenarnya menjauhkan lagi sokongan orang Melayu kepada parti.

Menjenguk semula isu pengharaman Sisters In Islam (SIS) berdasarkan fatwa dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor, jelas memperlihatkan Umno tidak berani bertindak menjadi orang tengah antara NGO berkenaan dengan pihak berkuasa Islam.

Begitu juga dengan isu transgender yang baru-baru ini, mendapat liputan meluas di media dengan pelbagai hukuman terus dijatuhkan kepada mereka yang melakukan semakan kehakiman atas keputusan Mahkamah Syariah.

Seharusnya, Umno menjadi ‘juara’ untuk mencari titik tengah atas segala kesulitan dan masalah yang dihadapi orang Melayu terutama berkaitan agama Islam kerana itu adalah intipati perjuangan parti selama ini.

Apabila Umno dilihat mudah untuk mengkafirkan orang Melayu sendiri dan tunduk dengan desakan daripada NGO yang kononnya mendakwa kedudukan orang Melayu dan Islam di negara ini terjejas ia sebenarnya membuka pekung di dada Umno itu sendiri.

Ini disebabkan jika Umno mengakui kedudukan orang Melayu dan Islam terjejas, orang Melayu boleh menyalahkan parti kerana gagal menjalankan tanggungjawab serta amanahnya yang menjadi tunjang kepada kerajaan BN.

Umno perlu segera sedar dan mengakui orang Melayu kini tidak lagi akan menerima bulat-bulat segala apa yang didakwa pemimpin parti termasuk kononnya jika Umno tidak memerintah lagi, orang Melayu akan kehilangan kuasa politik.

Sikap dan pemikiran pemimpin Umno yang dangkal dan totok seperti inilah yang menyebabkan orang Melayu sendiri menolak parti kerana beranggapan Umno menjadi terlalu riak dan menyalahkan orang Melayu atas kegagalan dalam dua pilihan raya umum sebelum ini.

Siapakah menteri besar di Kelantan dan Selangor ketika ini yang berada di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, adakah mereka ini bukan orang Melayu? Hanya disebabkan bukan daripada Umno, hilangkah Melayu mereka?

Persoalan inilah yang sebenarnya terus berlegar pada fikiran orang Melayu yang tinggal di kawasan bandar dan separuh bandar terdiri daripada golongan menengah atas serta bawah kerana terus melihat Umno begitu riak dan tidak bersederhana seperti yang dituntut dalam ajaran Islam itu sendiri.

Jika pemimpin Umno percaya dengan mengalihkan landasan perjuangan parti untuk Islam daripada sederhana menjadi lebih radikal akan mengembalikan sokongan orang Melayu kepada parti dan orang Melayu yang berada dalam PAS, PKR dan DAP kembali menyokong Umno,  strategi itu sebenarnya ternyata amat silap sama sekali.

Orang Melayu akan kembali menyokong Umno apabila parti berubah seperti yang mereka mahukan dan mengamalkan ketelusan dan bertanggungjawab dalam setiap keputusan serta dasar yang dibuat kerajaan.

Tiada lagi timbul soal ketirisan, salah guna kuasa serta penyelewengan di peringkat kerajaan dan memahami keperitan yang dilalui rakyat dengan peningkatan kos sara hidup yang tinggi.

Umno sebenarnya memerlukan ‘political will’ dan kebijaksanaan pemimpinnya pada masa kini untuk melakukan perubahan dan bukannya mengalihkan isu yang sedang dihadapi dengan mengaitkannya dengan ajaran Islam atau terancamnya kedudukan orang Melayu untuk menarik kembali sokongan.

Taktik seperti ini dulu dilakukan arwah ayahanda saya Tan Sri Mohamed Rahmat terkenal sebagai seorang pakar propaganda dengan mengalihkan pandangan rakyat dengan pelbagai taktik beliau sehingga Umno berjaya mengatasi kemelut pengharaman parti pada 1988 dan menang Pilihan Raya Umum (PRU) 1990 tetapi perkara itu 20 tahun lalu dan ia tidak mungkin lagi berjaya jika dilakukan pada waktu sekarang.

Umno perlu sedar usaha menarik sokongan bukan sahaja terletak kepada orang Melayu semata-mata tetapi juga kaum Cina, India dan kaum-kaum lain yang perlu terus percaya parti ini akan terus melindungi kepentingan agama, kaum serta budaya mereka sejak 57 tahun lalu.

Seperti saya di Parlimen Pulai apabila parti komponen BN dalam Parlimen Pulai tidak mampu menarik sokongan kaum mereka. Saya menggerakkan jentera Umno untuk menarik sokongan bukan Melayu dan sebenarnya, tidak guna berterusan menyalahkan parti komponen BN lain.

Adalah lebih baik mengukuhkan Umno dan menggunakan jentera parti menarik sokongan kaum bukan Melayu dan memenangi PRU.  Sudah-sudahlah menyalahkan orang lain kerana kita perlu buktikan Umno mampu berkhidmat untuk semua kaum.

Perlu diingat semua ahli Umno dan pemimpinnya pada PAU nanti, parti ini bukan sahaja untuk orang Melayu tetapi ia sebenarnya menjadi cermin terhadap lambang perpaduan dan kerjasama antara kaum di negara ini seperti yang sudah dibina 5 presidennya sebelum Datuk Seri Najib Razak. – 19 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments