Opinion

Guna Akta Hasutan berlebihan bakal heret kekalahan BN dan Umno pada PRU14

Apabila saya tegas dengan pendirian mempertahankan Akta Hasutan ketika menghadiri sebuah forum anjuran Majlis Peguam akhir tahun lalu, ramai mengecam kerana akta zaman penjajah itu jelas menyekat hak kebebasan bersuara di negara ini.

Sebenarnya, kegunaan undang-undang adalah untuk mengawal selia perangai manusia bukan untuk menghukum semata-mata dan ia amat penting dalam mewujudkan masyarakat bertamadun.

Jika undang-undang digunakan semata-mata untuk menghukum atau menakutkan rakyat, ia jelas tidak banyak beza apa yang dilakukan kumpulan pengganas.

Benarlah juga kata Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak perlulah Malaysia menjadi "negara polis" sehingga menggunakan undang-undang secara berlebihan katanya, yang merujuk kepada penahanan wartawan daripada portal berita ini mengikut Akta Hasutan, dua minggu lalu.

Namun bagi saya, sebagai sebuah negara majmuk yang mempunyai kepelbagaian agama, kaum dan budaya, Akta Hasutan perlu kerana ia seharusnya digunakan untuk tujuan pencegahan dan pendidikan.

Apa yang paling penting bagi saya adalah aplikasi penggunaan akta berkenaan dengan berharap kerajaan tidak menggunakan sewenang-wenang kerana natijahnya, adalah persepsi negatif yang diterima kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno.

Jelas apa yang berlaku kepada 5 wartawan The Malaysian Insider 2 minggu lalu, apabila mereka ditahan mengikut Akta Hasutan atas sebuah berita membabitkan Majlis Raja-Raja, seolah-olah membuatkan Putrajaya mengiakan segala persepsi negatif Akta Hasutan digunakan bagi menekan golongan rakyat yang mempunyai pandangan berbeza daripada majoriti.

Walaupun, saya mengakui artikel berkenaan tidak mempunyai kredibiliti kerana menggunakan “sumber” sebagai sumber rujukan untuk penulisan artikel berkenaan jelas bertentangan dengan etika kewartawanan.

Bagaimanapun, seperti diperjelaskan portal berita ini selepas insiden berkenaan ada akhbar media arus perdana melaporkan agenda hudud itu ada dalam Majlis Raja-Raja tetapi tidak dibincangkan.

Saya bukanlah seorang yang pakar dalam bidang kewartawanan tetapi seharusnya wartawan perlu sedar artikel atau berita mereka boleh dipertikaikan jika tidak menggunakan sumber yang sahih sekali gus mendedahkan diri mereka terhadap pelbagai kesan negatif termasuk disaman.

Apatah lagi jika berita berkenaan adalah sesuatu yang membabitkan hal sensitif di negara ini seperti hak keistimewaan orang Melayu, raja-raja Melayu atau agama Islam yang jelas boleh menyebabkan pelbagai tanggapan timbul hingga boleh mengakibatkan keharmonian antara kaum terjejas.

Namun begitu, saya sama sekali berasa tindakan mengenakan Akta Hasutan kepada wartawan portal berita ini adalah suatu tindakan berlebihan memandangkan ada akta dalam Kanun Keseksaan yang membolehkan tindakan undang-undang diambil.

Ini kerana Majlis Raja-Raja juga boleh mengambil tindakan sivil dengan menyaman portal berita ini, terhadap berita berkenaan yang ditafsirkan tidak tepat serta mempunyai unsur fitnah.

Inilah yang sering digunakan pemimpin pembangkang terhadap akhbar arus perdana, portal berita atau bloggers yang menyiarkan berita atau artikel yang didakwa mempunyai unsur fitnah atau kandungannya kurang tepat terhadap mereka.

Memang saya akui adalah kolumnis kedua dalam portal berita ini apabila ia ditubuhkan pada 2008 sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 yang menyaksikan BN kehilangan majoriti dua per tiga buat di bawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

PRU12 ini juga menyaksikan Pakatan Rakyat (PR) dibentuk hasil gabungan PAS-PKR-DAP berjaya memanipulasikan media sosial dan medium Internet dengan begitu berjaya sekali hingga mengakibatkan penduduk di kawasan bandar dan separuh bandar hilang keyakinan terhadap BN dan Umno.

Menyaksikan betapa BN dan Umno begitu ketinggalan dalam memanipulasi dan mengeksploitasi medium Internet terutama sekali portal berita yang dikatakan propembangkang seperti The Malaysian Insider ini, menyebabkan saya menawarkan diri untuk menjadi kolumnis.

Ketika pemimpin pembangkang berlumba-lumba menjadi penulis dalam portal berita ini, pemimpin BN dan Umno pula mengambil pendekatan bermusuh dengan medium penulisan ini.

Sedangkan, kadar penembusan portal berita di negara ini semakin meningkat terutama sekali di kawasan bandar serta separuh bandar menyebabkan pemimpin pembangkang mengambil peluang menjual idea mereka dengan membelasah kerajaan dan pemimpin BN dan Umno.

Di sinilah, kelemahan BN dan Umno dalam mendekati penduduk di kawasan bandar serta separuh bandar kerana mereka semakin menjauhi media arus perdana terutama akhbar-akhbar yang bukan satu rahsia lagi dimiliki parti politik kerajaan BN.

Politik sebenarnya, mempunyai kaitan terus dengan menjual idea dan medium Internet melalui media sosial serta portal berita menjadi pengantara terbaik untuk pembangkang “menjual” idea yang mereka lebih layak memerintah negara dengan berterusan memberikan pelbagai persepsi negatif terhadap kelemahan kerajaan BN.

Rakyat terutama masyarakat bandar dan separuh bandar mahu melihat idea pemimpin politik yang menjadi wakil rakyat mereka dan Internet sudah pasti menjadi tempat terbaik untuk menyalurkan idea berkenaan melalui penulisan dalam bentuk rencana atau artikel.

Kelebihan media Internet ini adalah dengan membolehkan segala bentuk penulisan rencana diakses dengan lebih cepat pada hari yang sama tanpa perlu menunggu keesokan hari seperti di media arus perdana.

Selain itu, ia membolehkan pembaca berkomunikasi dua hala dengan penulis melalui ruangan komen dan ini menuntut penulis atau ahli politik berkenaan bertanggungjawab terhadap segala idea dalam penulisannya.

Di sinilah, saya melihat ada jurang yang masih gagal dieksploitasi sepenuhnya oleh pemimpin BN dan Umno kerana tidak ramai yang menulis di medium Internet sehingga menyebabkan timbul persepsi di kalangan masyarakat yang mereka takut berhadapan dengan rakyat.

Kebanyakan pemimpin BN dan Umno termasuk anggota Kabinet lebih gemar menulis di akhbar arus perdana yang diketahui umum jumlah pengedarannya semakin menurun akibat persaingan dengan lambakan portal berita di Internet.

Bukan saya mahu menidakkan kepentingan akhbar arus perdana yang banyak membantu karier saya selaku ahli politik tetapi semua pemimpin BN dan Umno perlu sedar rakyat kini lebih mempercayai apa yang dilaporkan di portal berita.

Dan mahu tidak mahu, dunia kewartawanan negara perlu mengakui kehadiran portal berita ini, sebagai salah satu sumber maklumat yang sentiasa diikuti rakyat negara ini walaupun, ada persepsi portal berita menyalurkan maklumat tidak tepat mengenai kerajaan atau parti pemerintah selain dikatakan sering melaporkan berita yang bertujuan untuk melaga-laga pemimpin kerajaan.

Di sinilah peranan yang perlu dimainkan pemimpin BN dan Umno untuk lebih berani berdepan dengan wartawan daripada portal berita dan mempertahankan kerajaan serta parti daripada berita-berita yang dikatakan tidak tepat atau benar.

Seeloknya pemimpin BN dan Umno terutama di pihak kerajaan perlu mengambil pendekatan berkawan dengan organisasi portal berita ini bukannya bermusuhan dengan mereka.

Sebagai anak bekas Menteri Penerangan Allahyarham Tok Mat, saya dapat melihat bagaimana beliau menjadikan akhbar sebagai alat propaganda bagi memastikan rakyat sentiasa menyokong kerajaan BN dan Umno.

Namun arwah Tok Mat sendiri pernah memaklumkan kepada saya beliau mengakui cabarannya sebagai menteri penerangan pada zaman Internet akan lebih hebat memandangkan berita boleh dilaporkan dalam tempoh tidak sampai sejam dan ia menuntut kepantasan tindakan pemimpin kerajaan BN untuk sentiasa peka dengan perkembangan yang berlaku.

Selain itu, penyaluran maklumat yang begitu pantas ini juga memerlukan seseorang pemimpin itu memberi atau mengeluarkan kenyataan yang tepat dan benar bukannya memberikan kenyataan “bodoh” sehingga boleh menyebabkan ia diputarbelitkan pembangkang.

Apa yang berlaku ketika ini, rakyat melihat kerajaan cuba menekan portal berita yang dicap sebagai propembangkang hanya kerana melaporkan berita atau artikel yang tidak dilaporkan akhbar arus perdana.

Dan tindakan menahan wartawan portal berita ini di bawah Akta Hasutan bukan satu langkah bijak dilakukan kerajaan kerana ia hanya akan menimbulkan lebih banyak perasaan simpati kepada golongan propembangkang.

Pada masa sama ia juga akan mewujudkan golongan baru yang membenci kerajaan kerana percaya pada asas keadilan dan sikap bertimbang rasa pihak berkuasa terhadap golongan wartawan.

Sudah pasti penahanan wartawan The Malaysian Insider ini, meningkatkan lagi jumlah pembacanya terutama pembaca baru yang sudah pasti mahu melihat apa keistimewaan portal berita ini sehingga wartawannya ditahan di bawah Akta Hasutan.

Sebab itu, saya berulang kali menegaskan walaupun saya bersetuju dengan pengekalan Akta Hasutan tetapi kerajaan perlu berhati-hati dalam penggunaannya kerana jika ia digunakan secara berlebihan akan membawa kepada kesan buruk terhadap BN dan Umno menjelang PRU14 dalam tempoh tiga tahun lagi.

Dalam pemimpin akar umbi BN dan Umno iaitu di peringkat cawangan serta bahagian, berhempas pulas untuk menarik semula sokongan rakyat kepada parti, isu nasional seperti Akta Hasutan inilah yang akan menjadi pertimbangan utama pengundi ketika mengundi dalam PRU nanti selain isu jalan berlubang atau longkang tersumbat lagi…rekod PRU13 menjadi bahan buktinya. – 15 April, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments