Opinion

Gagal fahami perubahan Melayu, kelemahan utama Umno

Sedar atau tidak, semua parti politik di Malaysia menyedari betapa mereka memerlukan undi daripada kaum Melayu dan Bumiputera yang menjadi penentu kepada kuasa untuk memerintah negara ini.

Ini kerana dengan bilangan kaum Melayu dan Bumiputera yang melebihi 60% daripada kira-kira 30 juta bilangan rakyat di negara ini, mana-mana parti politik tidak akan sekali-kali berani mengabaikan hak dan tuntutan orang Melayu serta Bumiputera.

Atas sebab itu, formula perkongsian kuasa antara kaum yang diguna pakai Barisan Nasional (BN) dengan ditunjangi Umno terus menjadi kaedah terbaik semenjak 13 kali pilihan raya umum (PRU) dilangsungkan di negara ini.

Walaupun, gabungan pembangkang melalui penubuhan Pakatan Rakyat (PR) cuba memberi saingan hebat dalam dua PRU sebelum ini iaitu pada 2008 dan 2013, namun BN dan Umno terus berjaya mengekalkan kuasa walaupun kalah dalam undi popular dalam PRU13 lalu kerana amalan demokrasi negara ini yang menggunakan sistem “first past the post”.

Perpecahan PR pada awal Jun lalu, dengan semua negeri yang ditadbir pembangkang kecuali Selangor mengisytiharkan tidak wujud lagi kerajaan PR di Kelantan dan Pulau Pinang membuktikan betapa kuasa kaum Melayu di negara ini terutama di Semenanjung terus menjadi penentu bagi sesiapa yang mahu menduduki Putrajaya.

Di sebalik semua kekalutan dalam PR, Umno turut sedar betapa orang Melayu sendiri sudah banyak berubah sikap terutama perubahan dalam struktur sosioekonomi masyarakat ini sendiri, menyebabkan undi orang Melayu bukan lagi hanya wajib kepada Umno atau PAS seperti dahulu semata-mata.

Tidak dapat dinafikan undi orang Melayu kini, sudah berpecah kepada 4 iaitu Umno, PAS, PKR dan DAP (walaupun peratusannya masih rendah akibat stigma kaum Cina) tetapi pola perubahan terhadap sikap orang Melayu jelas kelihatan.

Perubahan struktur orang Melayu terutama dalam bidang sosioekonomi inilah, yang harus segera difahami dan ditangani oleh Umno jika tidak mahu kecundang dalam PRU14 kelak.

Putrajaya dan PWTC sedar (atau mungkin tidak sedar) betapa masyarakat Melayu di kawasan separa serta semakin menjauhi Umno dan ia jelas terbukti di negeri maju seperti Selangor dan Johor.

Golongan masyarakat Melayu yang menetap di kawasan-kawasan ini, semakin celik dan peka, (terima kasih kepada Internet) terhadap apa yang berlaku dalam pentadbiran serta pengurusan kewangan kerajaan.

Ambil sahaja contoh di kawasan yang majoritinya orang Melayu di Selangor iaitu Bangi dan Shah Alam, di mana Umno langsung gagal menawan kedua-dua kerusi DUN dan Parlimen ini, sedangkan majoriti orang Melayu di kawasan ini, terdiri daripada kakitangan dan pegawai kerajaan.

Sebenarnya, sikap kakitangan awam yang dilihat menyokong kerajaan BN hanya bersifat sementara dan jangka pendek, disebabkan perjawatan dalam kerajaan sudah dianggap sebagai hak orang Melayu hingga menjadi masalah besar kepada Umno kerana mereka menguasai nasib Umno sekarang.

Apatah lagi dengan perangai kakitangan awam yang mempunyai mentaliti “politician will come and go, but we will stay here forever” menyebabkan ramai di kalangan mereka bersikap seperti “little napolean” sehingga turut menggugat perjuangan Umno terhadap rakyat.

Lihat sahaja ketika kewangan kerajaan tidak lagi mewah seperti dahulu, kakitangan awam terus menuntut kenaikan gaji selain pelbagai nikmat yang sering dianggap rakyat tidak selari dengan produktiviti dalam sektor awam.

Kerajaan BN dan Umno kemudian terpaksa akur dengan pelbagai tuntutan ini, atas nama sokongan daripada kira-kira 1.6 juta kakitangan awam terhadap parti walaupun ia sesuatu yang sukar diukur dan tidak pasti.

Tiada orang Melayu di Malaysia yang boleh menafikan betapa kerajaan BN dan Umno sejak sekian lama berjaya menghasilkan golongan menengah Melayu dengan jumlah yang besar berikutan dasar proaktif membantu Melayu tetapi pada waktu sama masih tidak berjaya membentuk masyarakat Melayu dalam jangka masa panjang yang boleh hidup tanpa tongkat bantuan daripada kerajaan.

Golongan menengah bawah dan atas Melayu yang dibentuk hasil inisiatif Dasar Ekonomi Baru (DEB) ini menyedari betapa Umno semakin hilang sentuhan dengan mereka kerana terus melaungkan slogan pembangunan yang mana bagi mereka ia hanyalah sesuatu yang retorik.

Mereka ini sedar sebagai kerajaan bertanggungjawab, segala keperluan rakyat perlu disediakan dan ia tidak hanya terhad kepada kebergantungan kepada Umno semata-mata.

Dan ia jelas terbukti apabila Umno gagal menawan semula Selangor dalam PRU13 lalu, walaupun diketuai sendiri Datuk Seri Najib Razak selaku pengerusi BN dan Perhubungan Umno Selangor ketika itu.

Kegagalan ini membuktikan betapa berlaku perubahan struktur orang Melayu itu sendiri yang semakin sedar bukan hanya kerajaan Umno dan BN yang mampu menyediakan segalanya bagi mereka, tetapi jika pembangkang diberi peluang mereka juga mampu memberikan perkhidmatan yang serupa dalam bentuk pembangunan.

Sikap “anti establishment” ini yang berlaku disebabkan kos sara hidup meningkat hingga menyebabkan orang Melayu di kawasan separa serta dikelilingi hutang selain di kawasan luar tidak mendapat limpahan ekonomi seperti dahulu, menjadi duri dalam daging kepada Umno dan kegagalan pemerintah Umno ketika ini memahaminya akan menjadi bala kepada parti menjelang PRU14 nanti.

Memang tidak dapat dinafikan pemimpin Umno terutamanya Najib sedar betapa berlaku perubahan pemikiran dan struktur sosioekonomi orang Melayu di kawasan separa serta pinggir ini.

Beliau cuba memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk menyedarkan orang Melayu betapa Umno sentiasa berjuang mempertingkatkan tahap ekonomi dan sosial mereka dalam memastikan kek ekonomi negara dibahagi dengan seadil-adilnya.

Pengenalan dasar serta inisiatif seperti GTP, ETP, Teraju serta penubuhan syarikat yang berteraskan perniagaan orang Melayu seperti FGV pada mulanya diharap dapat mengembalikan semula keyakinan dan minat orang Melayu pada Umno.

Namun selepas enam tahun pengenalan semua dasar serta inisiatif ini, orang Melayu berterusan tidak yakin dengan janji perubahan yang hendak dilakukan Umno dan pemimpinnya.

Isu-isu yang melanda kerajaan BN dan Umno terus menyebabkan orang Melayu menjauhi parti dan ia dibuktikan dalam 2 pilihan raya kecil (PRK) yang berlaku dalam kawasan majoriti orang Melayu iaitu di Rompin dan Permatang Pauh.

Kegagalan menguruskan kewangan dan pentadbiran kerajaan dengan berkesan dan ditambah dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi jelas menyebabkan orang Melayu sendiri melihat betapa Umno dan BN terus gagal berubah.

Isu utama yang melanda orang Melayu pada ketika ini adalah banyak industri serta sektor ekonomi kurang produktif yang diceburi orang Melayu perlu distruktur semula dan ruang kerajaan hendak melewatkan penstrukturan semula ini, semakin singkat.

Ia disebabkan kewangan kerajaan sendiri sudah semakin menipis dan ia dibuktikan dengan hutang kerajaan yang semakin tinggi dengan semua ini akan bertambah jelas apabila perakaunan akruan diperkenalkan tidak lama lagi.

Dasar Bumiputera untuk terus memberi dan memberi seperti yang dilakukan 10 tahun atau 20 tahun akan datang tidak lagi sesuai dilaksanakan memandangkan sumber ekonomi negara melalui Petronas tidak boleh dibelanjakan sesuka hati bagi membolehkan generasi masa depan turut merasai nikmatnya.

Atas sebab itu, pembangkang menghidu peluang ini, dan menawarkan sistem 2 parti kepada rakyat kerana mereka menyedari apa yang tinggal untuk Umno dan BN adalah sokongan daripada rakyat Sabah serta Sarawak serta institusi raja-raja Melayu.

Tidak dapat dinafikan suatu hari nanti pemimpin Umno pada masa depan terpaksa berkompromi dengan pihak berkepentingan sehingga tidak mampu lagi untuk memimpin negara.

Pemimpin-pemimpin ini terpaksa mengikut telunjuk pihak-pihak ini yang menggunakan faktor agama dan kaum dalam memastikan sokongan kumpulan ini yang mendakwa mendapat sokongan rakyat sehingga dilihat mengetepikan kepentingan majoriti rakyat.

Lantaran itu, rakyat tidak kira bangsa dan agama akan melihat BN dan Umno terus mengetepikan mereka sebaliknya lebih menjunjung kepada sokongan kumpulan-kumpulan ini yang dilihat berhaluan kanan kerana menggunakan agama dan kaum dalam menarik sokongan.

Akibatnya, rakyat akan melepaskan geram ketika PRU dengan tidak lagi mengundi BN dan Umno kerana geram disebabkan parti gagal membela nasib mereka yang majoriti dengan memberikan undi kepada pembangkang yang sebenarnya belum layak memerintah negara disebabkan mahu perubahan dengan segera tanpa mengambil peduli akibatnya.

Tambahan pula mereka sudah melihat contoh di negeri-negeri yang diperintah pembangkang iaitu di Selangor dan Pulau Pinang, yang mana nasib orang Melayu tidak seburuk seperti digambarkan pemimpin Umno.

Kejayaan pembangkang mengenal pasti perubahan sikap dan struktur orang Melayu ini yang semakin meninggalkan kawasan luar serta berhijrah ke kawasan separa dan inilah yang gagal difahami Umno dan pimpinannya.

Orang Melayu sedar mereka tidak lagi boleh hidup dengan slogan pembangunan atau sejarah atau perlu mengenang budi seperti yang digunakan Umno serta BN sehingga mereka terpaksa mengikat perut masing-masing akibat kenaikan kos sara hidup yang tinggi.

Hakikat ini segera perlu difahami Umno dan BN kerana orang Melayu kini menuntut kepada perubahan total dalam semua bidang terutama sensitif apa yang dilakukan kerajaan dengan wang mereka.

Dengan mengharapkan supaya pengurusan kewangan dan pentadbiran kerajaan yang lebih telus, bertanggungjawab serta mengutamakan kepentingan mereka dan juga seluruh rakyat Malaysia.

Pada waktu sama juga, kerajaan terpaksa melakukan penstrukturan semula ekonomi negara dan ia sudah pasti menarik nikmat yang sudah ditagih orang Melayu berdekad lamanya. Umno mesti menghitung setiap undi yang diperoleh apabila mempertimbangkan tindakan menghentikan suntikan “dadah ekonomi” ini dan tidak lagi mencongak mudah sokongan seperti dulu.

Dilema yang dihadapi Umno sekarang adalah sama ada untuk meletakkan kepentingan negara dahulu dengan menstrukturkan semula ekonomi, sistem pendidikan, politik, agama dan sosial di hadapan kepentingan serta agenda Melayu.

Ini kerana jika ekonomi negara tidak diperkembangkan dengan segera seterusnya mengagihkannya dengan saksama kepada semua rakyat tidak kira agama dan bangsa selain pimpinan kerajaan terus bergantung kepada sumber asli serta pinjaman untuk meletakkan ekonomi negara, saya khuatir BN akan tetap tumbang pada masa depan.

Jika ini, terus gagal difahami dan dengan pelbagai persepsi buruk yang sedang dibentuk terhadap pimpinan Umno dan BN, tidak mustahil segalanya sudah terlambat buat Umno untuk menstrukturkan semula orang Melayu menjelang PRU14 nanti. – 6 Julai, 2015.

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments