Opinion

Gabungan parti pemerintah baharu mungkin dibentuk lepas PRU

Sesungguhnya, apa yang berlaku di Selangor ketika ini, membuka lembaran baharu dalam sejarah politik negara selepas rampasan kuasa Barisan Nasional (BN) di Perak pada 2009 dan kini kemelut menteri besar Selangor, semakin ramai rakyat yang sangsi terhadap proses Pilihan Raya Umum (PRU) yang diadakan di negara ini.

Dan dalam usaha mempertahan Putrajaya pada PRU14 nanti, krisis kepimpinan menteri besar Selangor seharusnya, menjadi petunjuk penting kepada pakar strategi Putrajaya dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi memastikan BN khususnya, Umno dapat terus memerintah sekali gus mengelak daripada dirampas Pakatan Rakyat (PR).

Umno terutama sekali pucuk pimpinannya perlu sedar kejayaan PR menangani krisis MB Selangor dan 'membuang' Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada kerusi nombor satu negeri paling maju di negara ini, membuatkan parti gabungan pembangkang PAS, DAP dan PKR lebih kuat dan teguh.

Tambahan pula, kegagalan Umno Selangor untuk merebut peluang terhidang bagi melancar strategi merebut semula negeri itu, membuatkan majoriti rakyat sedar yang parti ini, seakan bersedia melupakan hasrat merampas semula Selangor.

Bagi mereka, bagaimana hendak merampas Selangor tatkala apabila berlaku krisis MB PR Selangor, 12 Adun Selangor diarahkan untuk menyokong Khalid semata-mata atas alasan demi kestabilan dan kesejahteraan rakyat.

Adakah alasan itu, yang hendak didengari ahli dan pemimpin Umno Selangor di peringkat akar umbi yang terpaksa mengikut arahan Putrajaya sekali gus dengan jelas memperlihatkan tiada strategi baharu dirancang bagi menawan semula Selangor. Bayangkan, Umno Selangor tidak berupaya menyusun strategi meracuni pengundi negeri itu, untuk berpaling tadah daripada PR, dengan melakukan rampasan kuasa secara bermaruah melalui Pilihan Raya Negeri (PRN).

Dengan persepsi yang ditimbulkan PR, pemecatan Khalid adalah disebabkan hubungannya dengan Putrajaya, ia sebenarnya, adalah peluang terbaik untuk Umno Selangor melakukan persediaan ke arah PRN sejak bermulanya 'Langkah Kajang' pada Januari lalu.

Namun, ketidaksepakatan parti dalam PR jelas dapat dilihat dalam isu MB Selangor ini, apabila ia dibayangi kedegilan PAS terutama sekali Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilihat melambat-lambatkan keputusan menyokong Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon MB PR, sehingga memperlihatkan haluan dan arah tuju parti serpihan Umno ini, semakin kabur.

Keputusan PAS yang jelas bercelaru dalam memberikan sokongan kepada Dr Wan Azizah sudah pasti akan memberikan kesan kepada parti itu, dalam PRU14 terutama sekali bagi terus memastikan pengundi Melayu menyokong mereka.

Walaupun PAS menang bergaya di Selangor dalam PRU13 dengan 15 kerusi tetapi ia gagal mencapai kecemerlangan di peringkat Pusat berbanding DAP dan PKR hingga menyaksikan ramai pemimpin kanannya, termasuk Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu serta Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub kecundang bertanding di kerusi Parlimen.

Pada masa sama, parti politik di Malaysia sama ada dalam komponen BN dan PR sudah mula mengukur baju di badan sendiri dengan menghitung sokongan daripada rakyat dalam PRU14 dan menyedari mereka tidak boleh terlalu bergantung kepada komponen parti masing-masing untuk membentuk kerajaan.

Yang pasti, parti itu sendiri perlu menang dengan lebih besar barulah, 'suara' mereka akan didengar dalam gabungan parti masing-masing, sekali gus memudahkan parti itu menuntut hak mereka ketika membentuk kerajaan.

Senario ini berlaku kerana tiada satu parti yang boleh mendabik dada mereka mendapat sokongan majoriti daripada pengundi yang sebenarnya, terus mengundi berasaskan faktor perkauman.

Mahu tidak mahu, saya perlu mengakui lanskap politik negara masih tidak berubah dengan pengundi akan terus mengundi berasaskan kaum dan jika itu, terus terjadi dalam PRU14, Umno akan berada dalam bahaya.

Komposisi kaum di Malaysia jelas memperlihatkan kaum Melayu melebihi 60% daripada jumlah penduduk Malaysia, tetapi adakah pengundi Melayu akan memberikan sokongan dua per tiga kepada Umno.

Jika diteliti keadaan politik Malaysia pada masa kini, sokongan orang Melayu tidak lagi berpecah pada dua iaitu Umno dan PAS seperti sebelum ini, atau tiga, iaitu Umno, PAS dan PKR tetapi kini sudah menjadi empat, Umno, PAS, PKR dan DAP.

Walaupun perit untuk Umno akui keupayaan DAP yang mula meraih sokongan pengundi Melayu bandar serta separa bandar seperti yang diperlihatkan dalam PRU13 lalu, jelas membuktikan Umno semakin kurang sentuhan dengan pengundi di kawasan ini.

Lihat saja bagaimana DAP mula melahirkan pemimpin muda Melayu profesional selepas mempunyai Ahli Parlimen Melayu dalam PRU13 dan strategi berkenaan sebenarnya, petunjuk bahaya kepada Umno sama ada disedari Putrajaya atau PWTC.

Pengundi bandar serta separa bandar terus dilihat 'anti establishment' dan janji serta taktik lama Umno menabur 'gula-gula' pembangunan tidak lagi ditelan mereka, malah ada yang meludahnya dengan menganggap ia suatu pembohongan serta penghinaan kepada mereka.

Apa yang golongan pengundi ini mahu adalah sebuah kerajaan yang bebas daripada unsur rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa serta pemborosan selain kerajaan yang mendengar serta menghayati permasalahan mereka.

Dengan isu kos sara hidup yang semakin meningkat ditambah dengan kadar gaji yang tidak banyak berubah, rakyat menuntut perubahan radikal daripada kerajaan dalam memastikan isu asas ini, dapat ditangani dengan segera.

Atas sebab itu juga saya yakin pengundi dalam PRU14, tidak akan menimbangkan langsung pergolakan yang berlaku dalam PR terutama sekali dalam isu MB Selangor memandangkan ia hanya soal sampingan parti.

Ketika ini, persepsi rakyat kepada kerajaan BN tidak begitu baik ditambah dengan keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan yang dibuktikan dengan kajian daripada agensi rating antarabangsa dan dalaman.

Hutang kerajaan yang semakin meningkat dan mungkin mencecah paras 55%, selain penurunan taraf rating ekonomi negara oleh agensi rating antarabangsa menyebabkan rakyat melihat kerajaan BN tidak mampu berbuat apa-apa lagi untuk terus memberikan kemakmuran ekonomi kepada mereka.

Perencah tambahan terhadap persepsi kegagalan kerajaan BN ini, adalah kewujudan media sosial yang jelas memihak kepada pembangkang hingga mengakibatkan Putrajaya dan PWTC sentiasa berada dalam keadaan bertahan. Sampai bila mampu bertahan?

Sentuhan kecundang Umno di kalangan pengundi bandar serta separa bandar ini, juga sebenarnya berkait rapat dengan kegagalan parti melahirkan pemimpin akar umbi yang benar-benar setia kepada parti.

Kebanyakan pemimpin parti di kawasan ini, tidak diasuh dengan semangat kekeluargaan untuk terus berjuang bersama Umno, didikan bapa kepada anak mengenai Umno sudah semakin kurang.

Mengambil contoh saya selaku anak kepada arwah Tok Mat, bekas setiausaha agung Umno, yang selalu diasuh dengan semangat serta jati diri parti yang ditubuhkan sebelum merdeka ini, tetapi kini ikatan itu sudah semakin hilang dan ia adalah antara punca mengapa pengundi muda bandar serta separa bandar semakin menjauhi parti.

Faktor lain pula disebabkan majoriti pemimpin akar umbi Umno di bandar serta pinggir bandar ini, adalah mereka yang berhijrah ke kawasan berkenaan atau lebih teruk lagi, tidak menetap di sana.

Ia sekali gus menyebabkan Umno terputus hubungan dengan pengundi di kawasan itu, selain ketidakupayaan pemimpin terbabit untuk menarik sokongan pengundi bagi menyokong parti.

Sebenarnya, situasi dalam BN tidak banyak menunjukkan perubahan positif dan gabungan parti komponen di Malaysia Timur sudah mula menunjukkan suara masing-masing bagi memastikan pengagihan kekayaan lebih adil.

Harus diingat parti komponen Malaysia Timur majoritinya, berpaksikan kepada kaum di negeri masing-masing kecuali parti pembangkang seperti PKR dan DAP yang mana masih gagal menembus tembok perkauman di sana.

Bagaimanapun, PRU12 dan 13 sudah membuktikan sokongan kepada BN di Malaysia Timur semakin merosot dan antara faktor yang menyebabkan pengurangan ini, adalah cerita yang dibawa balik anak-anak Malaysia Timur yang bekerja di Malaysia Barat mengenai arus perubahan politik negara.

Pengaruh media sosial sekali lagi memainkan peranan penting yang sebenarnya, digunakan dengan cukup berkesan parti pembangkang dalam menyemai persepsi negatif terhadap kerajaan BN Malaysia Barat.

Sebab itu, kini timbul desakan untuk Putrajaya mengkaji semula royalti minyak untuk Malaysia Timur, penambahan menteri Kabinet selain memastikan Perjanjian Malaysia 1963 dipatuhi.

Semua faktor ini, memperlihatkan betapa PRU14 begitu penting dalam memastikan parti komponen sama ada dalam BN atau PR dapat bertahan, kerana apa yang paling penting adalah membuktikan setiap parti benar-benar dapat menjadi juara kepada pengundi masing-masing.

Ketika pimpinan Umno terus melaungkan slogan Umno perlu inklusif dan tidak hanya melihat kepada sokongan orang Melayu semata-mata, namun daripada segi praktikalnya, parti terus dilihat berada dalam landasan perjuangan berhaluan kanan.

Perjuangan yang terlalu berhaluan kanan ini, akan menyebabkan bukan sahaja orang Melayu malahan bukan Melayu menjauhi Umno kerana ia dilihat berkait rapat dengan unsur kronisme, nepotisme serta penyalahgunaan kuasa.

Sikap Umno yang terlalu berhaluan kanan dalam soal perjuangan agama dan kaum juga, sebenarnya menimbulkan rasa tidak selesa kepada rakan komponen BN di Malaysia Timur dan ia terbukti dalam isu kalimah Allah yang gagal ditangani dengan baik oleh Putrajaya. Meneliti semua yang sedang dan akan berlaku menjelang dalam tempoh 4 tahun akan datang sebelum PRU14, tidak mustahil ikatan atau gabungan kerajaan pemerintah akan berlaku selepas berlaku PRU.

Ketika itu, parti yang mendapatkan kerusi paling banyak sudah pasti akan cuba membentuk kerajaan dan kemungkinan terpaksa membelakangkan rakan komponen mereka yang terus tidak mendapat sokongan daripada rakyat.

Walaupun, ia seperti mengkhianati perjuangan yang sudah terbentuk sekian lama tetapi dalam politik ia perlu dilakukan kerana rakyat sudah memberi mandat kepada parti yang mendapat kerusi terbanyak bagi membentuk kerajaan.

Jadi timbul persoalan adakah gabungan BN dan PR akan terus kekal dalam keadaan sedia ada atau ia akan berubah seiring dengan kehendak rakyat Malaysia seperti dalam petikan bekas Presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln dalam ucapan paling popularnya 'that government of the people, by the people, for the people,' kerana yang menentukan kerajaan adalah rakyat bukannya pemimpin politik. – 20 Ogos, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments