Opinion

Dulu, Kini dan Selamanya: Ombak hakisan sokongan makin terasa

Umno kini sudah berusia 68 tahun dan empat tahun lagi apabila Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dijangka diadakan, parti terbesar orang Melayu di Malaysia mungkin juga di dunia, akan berusia 72 tahun dan sama ada ia akan terus kekal menjadi tunjang kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada ketika itu, semuanya bergantung kepada apa yang dilakukan pimpinannya sepanjang tempoh empat tahun ini.

Sebagai tunjang kepada parti BN sejak penubuhannya di Istana Besar, Johor Bahru, 68 tahun lalu, Umno sentiasa menjadi penyelamat kepada BN untuk terus kekal sebagai parti pemerintah dan ia jelas terbukti dalam PRU13 Mei 2013.

Memenangi 88 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam PRU13 lalu, terus menjadi laungan pimpinan atasan Umno untuk membuktikan parti orang Melayu ini, terus menjadi pilihan rakyat atau lebih tepat lagi pengundi Malaysia.

Namun, Umno perlu sedar demografi orang Melayu yang selama ini, menjadi 'simpanan tetap' parti di kawasan luar bandar semakin berubah dan perubahan ketara akan berlaku pada PRU14 nanti.

Sebab itu, saya banyak kali mengingatkan parti dalam siri artikel saya di blog nurjazlan.net pengundi Melayu semakin berubah, kawasan luar bandar menjadi separa bandar dan bandar.

Pengundi luar bandar majoritinya kini bekerja di kawasan bandar serta separa bandar dan mereka amat kritikal terhadap kerajaan iaitu Umno itu sendiri kerana perubahan dalam parti dilihat amat perlahan.

Atas sebab itu, saya tertarik dengan ucapan Datuk Seri Najib Razak selaku presiden Umno yang juga perdana menteri Malaysia kelima sempena sambutan ulang tahun parti yang ke-68 Ahad lalu.

Beliau akhirnya, mengakui Umno perlu bergantung kepada pengundi Melayu kawasan bandar dan separa bandar untuk memenangi PRU14 dan dengan pertambahan pengundi baru dijangka lebih 1 juta, tugas itu dlihat seperti hendak 'memeluk gunung tetapi tangan tak sampai'.

Apa tidaknya, Umno yang melalui pelbagai dugaan, cabaran dan persepsi sepanjang penubuhannya bagi menentang Malayan Union ciptaan penjajah British pada 1946, dilihat tidak banyak berubah dalam menarik semula sokongan pengundi bandar serta separa bandar termasuk daripada orang Melayu itu sendiri.

Pengalaman diharamkan pada 1987 sehingga perpecahan dalam parti sama ada penubuhan Semangat 46, team Wawasan sebenarnya, tidak cukup kuat menggugat parti pada masa itu, kerana terus berjaya mendapatkan majoriti dua per tiga bagi membentuk kerajaan.

Tetapi, segalanya berakhir pada PRU12 dan PRU13, apabila rakyat menidakkan majoriti dua per tiga BN termasuk Umno bagi membentuk kerajaan dan ia sebenarnya, 'signal' jelas kepada pimpinan parti dalam tempoh dua penggal daripada 2008 hingga 2013, mereka masih tidak berpuas hati dengan perubahan yang dilakukan dalam parti termasuk dalam kerajaan itu sendiri.

Ketika kita terus berkokok seperti ayam jantan bangga dengan pencapaian menaikkan bilangan kerusi yang dimenangi pada PRU13 berbanding PRU12, tetapi lupa 'ekor bergelumang dengan tahi', kerana berterusan dilemparkan dengan pelbagai persepsi dan andaian negatif bukan hanya ciptaan pembangkang malah ciptaan kita sendiri.

Kita lupa sebagai tunjang kekuatan masyarakat majmuk di Malaysia, Umno perlu berjuang secara inklusif bukan menjadi terlalu ke kanan dalam perjuangan membela nasib orang Melayu secara berterusan.

'Dulu, Kini dan Selamanya', yang menjadi motto serta pegangan keramat ahli Umno yang berjumlah lebih 3 juta orang seakan dilihat menjadi kongkongan terhadap anjakan pradigma yang perlu dilakukan Umno untuk terus relevan pada masa akan datang.

Pimpinan dan ahli parti berterusan cuba menyakinkan rakyat 'track record' Umno yang berjuang hingga membentuk Malaysia dalam acuannya pada masa 'dulu' perlu terus dibayar setiap kali PRU dan itulah yang selama ini, menjadi kekuatan Umno.

Tetapi 'kini' rakyat mula sedar mereka tidak lagi perlu tunduk kepada sejarah Malaysia yang didominasi oleh Umno.

Mereka berterima kasih kepada Umno dan buktinya, Umno dan BN terus memerintah Malaysia tetapi rakyat mahu perubahan drastik dilakukan dalam pentadbiran kerajaan yang dilihat tidak lagi dinamik dalam membela nasib mereka.

Jadi adakah 'selamanya', rakyat akan terus memilih Umno dan BN menjadi pelindung kepada nasib mereka, anak-anak serta cucu cicit mereka sedangkan perubahan yang dilakukan perlahan.

Umno perlu sedar kemenangan parti dan BN pada PRU13 lalu, ketika seluruh jentera parti termasuk Tun Dr Mahathir Mohamed berada di belakang parti memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pimpinan Najib.

Keadaan itu tidak berlaku ketika zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi memimpin Umno dan BN dalam PRU12, apabila Dr Mahathir menjadi suara paling lantang mengkritik beliau sehingga buat pertama kali, BN dinafikan majoriti dua per tiga.

Ketika BN dan Umno memasuki gelanggang PRU13, kita yakin rakyat di belakang Najib malah Dr Mahathir sendiri bagi memastikan kemenangan dua per tiga yang menjadi sasaran utama beliau bagi mendapatkan mandat terus daripada rakyat. Keputusannya? Amat mendukacitakan.

Pada masa sekarang, apa yang berlaku di sebalik segala dasar dan inisiatif yang dilakukan atau cuba dilakukan Najib sentiasa dipersoalkan dan dimanupulasi pembangkang sehingga mendedahkan kerajaan berada dalam keadaan yang lemah.

Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sehingga rasionalisasi subsidi dilihat sebagai langkah yang membebankan rakyat serta ia ditambah pula dengan kecelaruan dalam sistem pendidikan negara sehingga memperlihatkan kerajaan BN ketandusan idea dalam membela nasib rakyat.

Selain itu, Umno perlu juga sedar perjuangan parti mesti turut inklusif untuk penduduk Sabah dan Sarawak terutama sekali golongan Bumiputera yang tidak pernah bosan memberikan sokongan kepada parti ini terutama sekali BN.

Kegagalan untuk menangani isu hudud serta golongan ekstrem agama yang berterusan memperkecilkan agama lain, jelas akan melukakan hati penduduk Bumiputera sekali gus akan menghakis sokongan kepada parti komponen BN di Sarawak serta Umno Sabah.

Semua ini, sebenarnya, berlaku disebabkan mainan politik pembangkang yang cuba mengaburi fikiran rakyat, dan dengan 'perang' media sosial yang BN jelas ketinggalan daripada pembangkang, rakyat mudah terpedaya dengan segala dakyah yang diterapkan mereka.

Kegagalan untuk menerangkan perkara sebenar yang terbaik untuk rakyat dengan lebih berkesan terus membelenggu Umno dan kerajaan BN dalam melangkah masuk ke gelanggang PRU14.

Walaupun, tidak semua rakyat terpengaruh dengan apa yang diperjuangkan pembangkang tetapi mereka juga tidak melihat Umno dan BN benar-benar cuba untuk berubah demi memperjuangkan nasib mereka.

Apa yang berlaku ketika ini, bukanlah disebabkan pembangkang terlalu kuat tetapi kegagalan Umno dan BN itu sendiri dalam menerangkan apa yang sebenarnya, terbaik sedang dan dilakukan demi kelangsungan negara pada masa depan.

Segala inisiatif yang sedang dilakukan dikatakan hanya untuk syok sendiri dan demi kepentingan golongan tertentu dalam parti serta kerajaan selain mengabaikan rakyat secara keseluruhan.

Kelantangan golongan tertentu mengkritik kerajaan dan parti pada masa kini, sering disalah anggap dan disalah tafsir kononnya, akan membawa kepada lebih banyak keburukan.

Malah di Johor, kawasan Parlimen saya wakili, yang selama ini, menjadi kebanggaan kepada Umno sebagai 'tiang seri' parti serta simpanan tetap parti kini, juga memperlihatkan perubahan pemikiran di kalangan ahli parti serta di kalangan pimpinan di peringkat bahagian.

Ini kerana ramai ahli parti termasuk di kalangan pimpinan wakil rakyat serta Umno bahagian melihat betapa pemimpin Umno di negeri lain lebih senang menjadi pembangkang dan merebut jawatan dalam parti daripada mempertahankan jawatan yang dipilih rakyat dalam PRU.

Hakikat ini, pahit untuk diperkatakan tetapi saya meluahkan demi memastikan Umno sedar berapa lama pemimpin Johor boleh diharapkan untuk memenangi PRU tetapi rakan mereka di negeri lain langsung tidak kisah dan memasang impian untuk merebut pelbagai habuan memandangkan Umno terus menjadi tulang belakang kepada kerajaan BN yang memerintah di peringkat pusat.

Jika situasi ini, terus dibiarkan tidak mustahil ombak hakisan sokongan rakyat terhadap parti yang melanda negeri lain seperti di Selangor akan melanda Johor apabila pemimpin Johor merasakan mengapa perlu berkorban demi parti.

Apa yang berlaku di Terengganu kelmarin, jelas membuktikan segalanya, Umno tidak berada dalam keadaan yang kuat seperti yang cuba digambarkan pimpinan tertinggi parti.

Siapa sangka begitu mudah bekas seorang menteri besar dan pengerusi Badan Perhubungan negeri, membuat keputusan untuk meninggalkan parti dengan sebab yang amat rapuh.

Adakah sebenarnya itu alasan untuk Datuk Seri Ahmad Said membuat keputusan meninggalkan Umno atau ada perasaan lain seperti ditikam daripada belakang sehingga mengakibatkan beliau membuat keputusan begitu drastik sekali gus menyebabkan parti keramat orang Melayu ini, dilanda badai seperti tiada kesudahan.

Sesungguhnya, keengganan mendengar kritikan untuk parti dan kerajaan serta melihat apa yang sebenarnya berlaku di peringkat akar umbi inilah, menjadi kelemahan utama Umno serta pimpinannya sekali gus menidakkan laungan Najib 'zaman kerajaan mengetahui segalanya, sudah berakhir'.

Segalanya masih tidak terlambat buat Umno dan pimpinannya untuk berubah tetapi perubahan itu perlu dilakukan dengan segera, pantas dan akhirnya, paling penting adalah rakyat merasai perubahan yang dilakukan.

Jangan terlalu selesa dengan kedudukan yang ada pada waktu 'kini' dan perlu mendengar apa yang sebenarnya dimahukan rakyat terutama sekali masyarakat bandar dan separa bandar.

Bagi mereka isu remeh temeh seperti hudud bukan menjadi penentu kepada keputusan untuk mengundi siapa tetapi isu pendidikan, kos sara hidup tinggi dan perumahan mampu milik, ketelusan kerajaan dan pentadbiran yang cekap serta bersih menjadi penentu kepada keputusan untuk mengundi siapa dalam PRU.

Kesedaran pemimpin Umno dan BN dalam memahami apa yang sebenarnya dimahukan rakyat dan ahli akar umbi parti amat dituntut pada masa kini demi kelangsungan survival parti pada PRU 14. – 14 Mei, 2014.

* Artikel ini diambil daripada nurjazlan.net.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments