Opinion

Cakap biar serupa bikin

Minggu lalu, kita menyaksikan pembentangan siri kedua Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2013, selepas siri pertama dibentangkan pada Mac lalu sekali gus membuktikan janji terhadap transformasi pentadbiran kerajaan untuk pembentangan LKAN sebanyak tiga kali setahun.

Walaupun, ramai yang skeptikal terhadap pembentangan LKAN kerana masih terdapat pelbagai kelemahan yang terus diutarakan dalam laporan berkenaan dilihat terus berlaku, tetapi mereka berkenaan perlu sedar perubahan sebenarnya, memerlukan masa.

Saya tidak mahu memberikan alasan terhadap semua isu terutama sekali yang berkaitan dengan soal ketirisan dalam LKAN namun mahu menegaskan isu yang dilaporkan dalam laporan berkenaan sememangnya memerlukan perhatian serius bukan sahaja di peringkat tertinggi pimpinan negara terutama sekali Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ini kerana soal pentadbiran kerajaan juga terletak di bawah tanggungjawab Ketua Setiausaha (KSU) yang bertindak sebagai Pegawai Pengawal (SO) setiap kementerian terbabit.

Masih ramai yang tidak mengetahui sebagai Pegawai Pengawal atau SO, KSU mempunyai kuasa eksekutif dalam kementerian masing-masing dan mereka inilah, yang sebenarnya perlu memikul tanggungjawab sekiranya berlaku soal pembaziran, penyelewengan dan pemborosan yang berlaku berlaku dalam LKAN.

Atas sebab itu, dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang negara (PAC), saya sering menegaskan KSU sebagai SO perlu sentiasa peka dengan keadaan dalam kementerian masing-masing dan tidak bertindak 'lepas tangan' sekiranya, kementerian mereka berhadapan dengan masalah.

Transformasi yang digerakkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low untuk membawa Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan barisan 26 KSU kerajaan dalam satu sidang media sehari selepas LKAN siri 2 2013 dibentangkan perlu diberikan pujian.

KSU perlu menyedari mereka adalah barisan hadapan kumpulan eksekutif kerajaan dan seharusnya berdepan dengan media yang menyampaikan segala bentuk maklumat kepada rakyat.

Pada masa sama, barisan KSU juga perlu sedar yang setiap kegagalan dalam segala pelaksanaan projek kerajaan terutama sekali membabitkan 3P (Pembaziran, Penyelewengan dan Pemborosan) terletak di atas bahu mereka.

Justeru, saya berulang kali mengingatkan KSU yang hadir dalam prosiding PAC supaya tidak lari daripada memikul tanggungjawab dan tidak meletakkan kegagalan projek kerajaan semata-mata terhadap menteri atau kakitangan kementerian terbabit.

Sifat akauntabiliti dan kredibiliti perlu sentiasa ada dalam diri setiap SO kementerian kerana mereka yang sebenarnya, memikul segala tugas serta tanggungjawab dalam melaksanakan dasar yang dimahukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat.

Namun, masih ramai KSU yang dilihat lebih banyak bertindak sebagai pentadbir dan bukan pengurus kerana kedua-dua tugas ini, sememangnya berbeza sama sekali. Kebolehan mentadbir kementerian bukan sahaja terletak kepada tanggungjawab melaksanakan dasar kerajaan malah turut membabitkan pengurusan terutama sekali berdepan dengan rakyat.

Sememangnya banyak rungutan di kalangan media ramai KSU yang enggan berhadapan dengan media kerana bimbang kenyataan mereka disalahertikan kerana tidak ramai yang mempunyai kebolehan mengurus media.

Tetapi mereka perlu sedar media adalah jambatan maklumat kepada rakyat sama ada ia media arus perdana membabitkan media cetak dan elektronik atau media baru (portal berita dan bloggers) kerana  rakyat kini, mendapat maklumat daripada pelbagai sudut dan tidak lagi mempercayai media arus perdana yang dikawal kerajaan.

Atas sebab itu, perlunya sifat tanggungjawab untuk memperjelaskan segala isu yang ditimbulkan berkaitan dengan kementerian masing-masing dan janganlah mengambil sikap berdiam diri seperti kebanyakan pemimpin Barisan Nasional (BN) kerana ia menyebabkan pelbagai persepsi dan sangkaan akan timbul.

KSU perlu mempunyai sifat proaktif dan tegas dalam menangani setiap isu yang timbul dalam kementerian masing-masing terutama sekali yang dilaporkan dalam LKAN.

Mereka juga perlu sedar mulai tahun depan, KSU tidak lagi boleh lepas tangan dalam memastikan segala perbelanjaan kerajaan benar-benar dilakukan mengikut prosedur ditetapkan melalui pelaksanaan Sistem Perakaunan Akruan.

KSU tidak boleh lagi menyalahkan mana-mana pihak sekiranya, projek atau perbelanjaan kementerian masing-masing mempunyai masalah dalam sistem perakaunan baru ini. Mereka perlu memikul tanggungjawab sepenuhnya dalam setiap kewangan kementerian masing-masing.

Sistem perakuanan akruan ini, yang saya sudah kupas dalam artikel bertajuk GST dan Perakuanan Akruan penentu sokongan rakyat kepada Barisan Nasional yang disiarkan portal ini, pada 15 April lalu.

Sebenarnya, perubahan yang dilakukan kerajaan pada masa kini melalui proses transformasi pentadbiran kerajaan (GTP) amat tepat, cuma timbul persoalan kenapa ia lambat dilaksanakan.

Seharusnya, perdana menteri membawa perubahan dalam sistem pentadbiran kerajaan pada hari pertama beliau memegang jawatan selepas mengambil alih daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana itulah janji beliau kepada rakyat.

Perubahan dalam sistem pentadbiran kerajaan ini juga perlu dilakukan dengan menyeluruh kerana ia memberikan kesan cermin kepada BN terutama sekali Umno.

Malah, sama ada Datuk Seri Najib sedar atau tidak, sudah timbul suara rakyat yang mula mempertikaikan pelantikan pengerusi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) atau ahli lembaga pengarah GLC di kalangan pegawai kerajaan kerana gagal memainkan peranan sebagai wakil kerajaan untuk memikul tanggungjawab melindungi kepentingan kerajaan dengan makna lain kepentingan rakyat.

Terlalu banyak bukti kumpulan pegawai kerajaan ini, atau pesara pegawai kerajaan ini, yang sebenarnya, tidak layak duduk sebagai lembaga pengarah atau pengerusi GLC tetapi terus dibiarkan mendapat pelbagai elaun serta kemudahan melebihi apa yang diperolehi mereka dalam perkhidmatan awam.

Ini kerana sudah pasti timbul konflik kepentingan apabila mereka ini yang mendapat upah lumayan sebagai lembaga pengarah GLC perlu menjaga kepentingan kerajaan tetapi terpaksa tunduk kepada desakan komersil yang kadang kala membelakangkan rakyat kerana termakan 'budi' dalam syarikat-syarikat ini.

Polisi kerajaan seperti inilah yang perlu dilihat semula dalam menjaga integriti perkhidmatan awam terutama sekali kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam bagi memastikan kepentingan rakyat sentiasa dipelihara.

Dalam zaman ketika rakyat benar-benar kritikal terhadap segala perbelanjaan kerajaan serta mahu melihat usaha gigih perdana menteri menghapuskan kronisme dan nepotisme dalam perolehan kerajaan, masih banyak lagi projek kerajaan yang diberikan secara rundingan terus (direct nego).

Jika syarikat yang mendapat projek 'direct nego' ini, benar-benar berkelayakan tidak mengapa juga namun apa yang berlaku adalah sebaliknya hingga menyebabkan berlaku pembaziran dalam wang kerajaan.

Sebagai contoh dalam LKAN 2012, dilaporkan mengenai isu perolehan peralatan bomba secara 'direct nego' kepada sebuah syarikat yang langsung tidak mempunyai pengalaman serta kelayakan.

Isu sama turut berlaku dalam pembinaan Empangan Paya Peda yang dilakukan secara 'direct nego' kepada dua syarikat yang langsung tidak mempunyai kelayakan dalam pembinaan empangan.

Kegagalan mengawal perbelanjaan kerajaan yang tidak dilakukan mengikut prosedur ditetapkan terus berlaku di sebalik pelbagai janji kerajaan sehingga menyebabkan rakyat semakin tidak percaya terhadap inisiatif yang mahu diambil melalui GTP atau ETP.

Saya sendiri terkejut kerana mendapati projek 'direct nego' terus berlaku dalam pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menggunakan Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Walaupun, PFI yang mula diperkenalkan pada zaman Tun Abdullah membawa kepada banyak kebaikan tetapi ia seharusnya dilakukan mengikut proses tender terbuka bagi memastikan setiap sen duit kerajaan benar-benar dibelanjakan secara berhemah atau dalam kata lain 'value for money'.

Pemberian projek 'direct nego' ini, yang terus diberikan kepada pemimpin Umno akan membuktikan kebenaran kata-kata pembangkang kerajaan terus mengamalkan kronisime dan nepotisme dalam pentadbirannya.

Pemberian projek 'direct nego' ini, sememangnya satu rahsia terbuka yang diketahui ramai bertujuan sebagai habuan kepada segelintir golongan ini, atas kesetiaan mereka kepada pimpinan kerajaan serta parti terutama sekali Datuk Seri Najib tetapi percayalah ia langsung tidak memberikan sebarang kesan positif kepada kerajaan dan parti khususnya Umno dalam berdepan dengan rakyat.

Tambahan pula, Datuk Seri Najib sendiri yang melaung-laungkan dasar lebih telus, berintegriti serta kepimpinan kepada segenap lapisan masyarakat bukan hanya kepada segelintir ahli serta pemimpin Umno yang suka 'membodek' beliau dan kemudian mendapat pelbagai bentuk habuan melalui pemberian projek kerajaan.

Jadi seharusnya, Datuk Seri Najib perlu mengotakan janji beliau kepada rakyat dalam membawa perubahan radikal dalam kerajaan BN, 'walk the talk' itu yang seharusnya menjadi pegangan dalam memegang teraju pemerintahan selaku perdana menteri Malaysia kelima.

Beliau perlu sedar setiap projek 'direct nego' kepada pemimpin BN dan Umno atau ahli perniagaan yang rapat dengan parti membuatkan rakyat tidak mempercayai pemerintahan kerajaan BN dan Umno.

 'Peluru-peluru' inilah yang akan menjadi senjata utama kepada pembangkang untuk masuk ke gelanggang Pilihan Raya Umum ke-14 dan sama ada Datuk Seri Najib sedar atau tidak, ia akan membawa kepada keputusan lebih teruk berbanding PRU13.

Mereka (pembangkang) tidak perlu mencipta 'peluru' baru untuk menembak kerajaan dan menyakinkan rakyat kerajaan BN sudah korup kerana semua modal berkenaan dicipta akibat kegagalan menguruskan perkhidmatan awam dan perbelanjaan kerajaan dengan lebih berkesan seperti yang dituntut rakyat.

Sudah sampai masanya, kepimpinan tertinggi kerajaan BN menerapkan budaya 'cakap biar serupa bikin' dan tidak terus retorik dengan pelbagai alasan yang kadang kala terlalu mengarut sehingga dilihat berterusan memperbodohkan rakyat.

Akhir sekali, saya mengucapkan selamat menunaikan ibadat puasa. Salam Ramadan al-mubarak. – 29 Jun, 2014.

* Artikel ini diambil daripada blog nurjazlan.net.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments