Opinion

Cabaran dan realiti media arus perdana di Malaysia

Mengendalikan sebuah syarikat penerbitan akhbar bukan satu perkara mudah kerana selain berusaha mencatatkan keuntungan demi memastikan ia terus beroperasi, syarikat akhbar juga perlu sentiasa memastikan etika kewartawanan sentiasa dipatuhi.

Pada masa sama, syarikat akhbar ini juga seharusnya sentiasa memastikan penerbitannya dapat menggalakkan pencambahan minda di kalangan pembaca dan ‘bersuara’ untuk masyarakat di sekelilingnya.

Faktor-faktor ini,menjadi teras utama dalam mana-mana organisasi penerbitan akhbar di dunia dan walaupun, perniagaan media tidak menjanjikan keuntungan berlipat kali ganda tetapi kekuatan menentukan apa yang hendak dibaca masyarakat, menjadikan ungkapan ‘mata pena lebih tajam daripada mata pedang’, suatu hakikat yang tidak boleh disangkal.

Sebab itu, saya amat tertarik apabila membaca artikel di portal berita ini, pada 1 Disember lalu,  yang menyiarkan berita bertajuk ‘Media Cetak Bukan Lagi Arus Perdana, Utusan tuntut lebih bebas untuk kekal’ dengan memetik rencana hasil tulisan Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain bertajuk ‘Utusan Melayu Sahut Cabaran Global’.

Terus terang saya amat tertarik dengan tulisan berkenaan yang datang daripada seorang wartawan kanan sebuah akhbar bahasa Melayu yang sering dilabelkan sebagai ‘suara’  kepada kerajaan, Umno dan orang Melayu.

Ku Seman jelas memahami senario yang berlaku dalam media di Malaysia yang jelas meningkat mendadak selaras dengan peningkatan kadar penembusan internet di negara ini, yang kini lebih 66% tahun ini, dan akan terus meningkat menjelang 2020.

Dengan jumlah pengedaran yang terus merost di kalangan akhbar arus perdana di negara ini, sehingga menjejaskan perbelanjaan operasi mereka, fenomena ini sebenarnya amat menghairankan.

Adakah puncanya disebabkan terlalu ramai rakyat Malaysia beralih ke media digital untuk mendapatkan maklumat sehingga mengabaikan akhbar tradisional.

Ataupun, rakyat di negara ini, sudah berhadapan dengan krisis kepecayaan terhadap akhbar arus media perdana di Malaysia sehingga mereka lebih gemar mendapatkan maklumat daripada media sosial seperti Facebook, blog dan portal berita yang dilihat lebih kritikal terhadap kerajaan.

Memang benar seperti yang dirumuskan portal berita ini, bahawa jika dikaji dengan teliti dan mendalam, jumlah pembaca untuk media digital jauh melebihi media arus perdana.

Jadi, tepatlah jika ada yang mengandaikan sebelum ini, bahawa media digital akan mengambil alih tempat sebagai media arus perdana berbanding akhbar tradisional.

Benar, jualan serta edaran akhbar tradisional di seluruh dunia semakin merosot termasuk akhbar-akhbar yang berpengaruh seperti The Washington Post tetapi ia tidak ada kaitan dengan ‘content’ akhbar berkenaan.

Akhbar-akhbar ini, lari daripada sifat tradisional kepada digital sejajar bagi memenuhi kepesatan pertumbuhan internet dunia yang bermula daripada gaya hidup kepada satu keperluan untuk manusia pada zaman kini.

Namun di Malaysia, akhbar arus perdana dilihat seakan ‘hilang taring’ kerana selain edaran yang merosot  dengan alasan terpaksa bersaing dengan media digital yang majoritinya percuma, kandungan akhbar-akhbar ini, juga sudah mula dipersoalkan rakyat.

Majoriti rakyat mula melabelkan bahawa akhbar arus perdana ini, tidak lagi berjuang untuk rakyat sebaliknya lebih menjadi kepada ‘suara’ sesetengah pihak yang berkepentingan sehingga mengabaikan tuntutan untuk memperjuangkan hak rakyat.

Di sini, saya ingin berkongsi senario akhbar di United Kingdom selepas mengadakan lawatan rasmi ke Parlimen negara itu, dua minggu lalu.

Bagi sebuah negara yang mempunyai penduduk kira-kira 60 juta orang, iaitu lebih sekali ganda daripada rakyat Malaysia, United Kingdom (UK) hanya mempunyai sembilan akhbar utama berbahasa Inggeris yang kaya dengan berita dan rencana tetapi kurang iklan .

Ia sekaligus menunjukkan bahawa akhbar-akhbar di UK bergantung kepada edaran untuk menampung kos operasi dan walaupun, jumlahnya menurun akibat persaingan dengan media digital namun kandungan akhbar-akhbar ini, tidak berubah.

Berikutan itu, rakyat negara berkenaan terus mempercayai kredibiliti media tradisional ini, selain menyanjung tinggi integriti yang diamalkan pengamalnya.

Walaupun akhbar di UK, dikawal sebuah badan kawal selia bertaraf suruhanjaya bagi menjamin integritinya, tetapi ia langsung tidak pernah menganggu kandungan berkenaan serta tahap profesionalisme wartawan dalam menulis berita atau rencana yang kritikal terhadap kerajaan demi rakyat.

Dan di sana, rakyat negara berkenaan lebih mempercayai akhbar arus perdana ini, daripada apa yang dilaporkan di media digital, satu senario yang jelas berbeza dengan di Malaysia.

Ia disebabkan akhbar di UK lebih kritikal terhadap dasar-dasar kerajaan kerana mereka melaporkan apa yang diinginkan rakyat dan menjadi suara kepada rakyat untuk kerajaan.

Justeru, kredibiliti akhbar di negara berkenaan lebih dipercayai rakyat di sana berbanding media digital walaupun, kadar penembusan internet di United Kingdom jauh lebih tinggi daripada di Malaysia.

Keadaan itu jelas berbeza dengan apa yang berlaku di Malaysia, dan kita tidak boleh menyalahkan organisasi media semata-mata kerana tidak kritikal terhadap isu setempat kecuali isu yang mempunyai ‘kepentingan’ terhadap pemegang sahamnya.

Atas sebab itu, jika dilihat pada kandungan akhbar arus perdana negara ini, ia tidak mementingkan keuntungan kerana ‘dijaga’ pemegang sahamnya dan ia menyebabkan kurangnya berita atau rencana yang kritikal terhadap kerajaan.

Pada masa sama, rakyat negara ini, juga lebih gemar membaca kandungan akhbar yang sensasi dan sebab itu, akhbar yang memaparkan sensasi sentiasa mempunyai jumlah edaran yang tinggi.

Lalu timbul persoalan, mengapa akhbar arus perdana di Malaysia dilihat terus lesu sama ada daripada segi edaran atau kandungannya, sehingga rakyat beralih memilih  untuk mendapatkan maklumat daripada media digital.

Bagi saya, kekurangan kandungan akhbar arus perdana yang kritikal terhadap kerajaan menyebabkan rakyat negara ini, beralih untuk mendapatkan maklumat daripada internet.

Kemunculan segelintir golongan pembaca media sosial yang digelar sebagai ‘wartawan rakyat’ ini, jelas banyak memanupulasi isu atau dasar kerajaan kerana tidak perlu berpegang kepada etika kewartawanan, dan fenomena ini, jelas amat membimbangkan.

Sebenarnya, majoriti akhbar arus perdana di negara ini, mempunyai hubung kait dengan parti politik sama ada Umno, MCA, MIC atau kerajaan.

Disebabkan terlalu banyak laporan yang dilihat ‘berat sebelah’ dan tidak memihak kepada pembangkang, rakyat Malaysia, kemudian dilambakkan pula dengan akhbar daripada pembangkang seperti Roket (DAP), Harakah (PAS), Suara Keadilan (PKR) dan kini, sebuah akhbar khusus daripada kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor iaitu SelangorKini.

Tidak cukup dengan parti politik  yang ‘berperang’ antara satu sama lain, akhbar-akhbar ini, turut ‘berperang’ sesama mereka dalam menyampaikan dasar serta suara daripada pemimpin politik masing-masing.

Hal ini, jelas dieksploitasikan akhbar Sinar Harian terbitan Karangkraf yang dilihat lebih neutral dan tidak memihak sama ada kepada kerajaan BN atau PR sehingga boleh memaparkan berita daripada pemimpin kedua-dua pihak.

Kebebasan media di negara ini, terus menjadi antara isu utama yang dipolitikkan di negara ini, walaupun hampir setiap parti politik utama di negara ini, mempunyai akhbar masing-masing, yang pengedarannya tidak hanya terhad kepada ahli-ahli mereka tetapi juga kepada umum.

Keterbukaan kerajaan BN dalam kebebasan media ini, sering disalah dipertikaikan dan bukan satu perkara baru, apabila ada akhbar digantung penerbitannya.

Malah, beberapa minggu lalu, sebuah akhbar mingguan The Heat digantung penerbitannya dan timbul pelbagai spekulasi mengenai penggantungannya yang kononnya disebabkan laporan mengenai isteri Perdana Menteri.

Walaupun, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan justifikasi mengenai penggantungan akhbar berkenaan tidak ada kena mengena dengan laporan berita itu, tetapi ia tetap dimanupulasi bagi memberikan imej negatif kepada kerajaan, seolah-olah tiada kebebasan media di negara ini.

Akhbar seharusnya, perlu diberikan kebebasan untuk menyuarakan hak dan permasalahan rakyat kerana itu adalah tanggungjawab hakiki sebuah akhbar dengan menjadi suara rakyat kepada kerajaan.

Saya sebenarnya, cukup khuatir apabila rakyat mula menjauhkan diri daripada akhbar dan media arus perdana dan memilih mendapatkan maklumat daripada media digital kerana ia jelas memberikan pelbagai isyarat kepada kerajaan BN.

Bukan menidakkan kredibiliti portal berita di negara ini, kerana ia terpulang kepada pilihan pembaca dalam mendapatkan maklumat sama ada ia sahih atau tidak.

Tetapi apa strategi yang perlu dilakukan pemegang saham dalam media arus perdana ini, untuk meningkatkan semula edaran dan membuatkan rakyat negara ini, terus mempercayai kandungan yang dilaporkannya.

Mengambil contoh Utusan Malaysia, di mana umum mengetahui bahawa Umno adalah pemegang utama sahamnya tetapi bagaimana akhbar ini, boleh menarik semula pembaca yang bukan terdiri daripada ahli-ahli Umno.

Atau hanya ahli Umno sahaja yang membaca Utusan Malaysia kerana penyokong parti pembangkang sering melabelkan akhbar ini, sebagai ‘penipu’ dan lidah rasmi kepada Umno serta kerajaan BN.

Akhbar ini juga dilihat kerap memaparkan ‘suara’ pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang perjuangannya berhaluan kanan demi kepentingan tertentu tetapi ia tetap membantu meningkatkan edaran akhbar ini.

Ia sekaligus mengakibatkan pengiklan kurang berminat untuk menggunakan akhbar ini, sebagai media pengiklanan mereka sekaligus menyukarkan syarikat menanggung kos operasi.

Sebenarnya, pendirian akhbar yang tidak memikirkan keuntungan disebabkan percaya terhadap perjuangan mereka adalah salah kerana sebagai sebuah syarikat, ia memerlukan keuntungan untuk beroperasi.

Pada masa ia memerlukan kandungan akhbar yang mempunyai kredibiliti, serta wartawan berintegriti bagi menarik pembaca sekaligus akan menarik pengiklan dalam menampung kos operasi sekaligus memastikan survival syarikat.

Namun, dengan jumlah pembaca yang terus merosot serta pengiklan yang ‘terpilih’, survival akhbar dan media arus perdana di negara ini, sebenarnya boleh dikatakan berada dalam keadaan terancam terutama sekali jika berlaku perubahan pada kerajaan yang memerintah.

Jika ini berlaku siapakah sebenarnya media arus perdana di Malaysia? Adakah media digital akan mengambil alih peranan akhbar tradisional ini, dalam menyampaikan suara rakyat sebenar kepada kerajaan?

Bagaimana pula kerajaan BN hendak menyampaikan maklumat mengenai dasar atau inisiatifnya kepada rakyat, jika edaran akhbar arus perdana ini, terus merosot sekaligus bukti kepada kurangnya rakyat yang membaca akhbar-akhbar ini. – 29 Disember, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments