Opinion

Budaya takut diaudit perlu ada dalam perkhidmatan awam

Seperti biasa dan dijangka, Laporan Ketua Audit Negara (KAN) 2012 yang dibentangkan di Parlimen Selasa lalu, menjadi peluru kepada pembangkang untuk 'menembak' kerajaan bertalu-talu.

Selaku Pengerusi PAC yang baru dilantik, saya menyedari bahawa beban untuk memastikan perbelanjaan kerajaan dilakukan dengan berhemah, telus dan tidak membazir bukan satu perkara mudah.

Bagaimanapun, saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Tan Sri Ambrin Buang dan pasukannya di Jabatan Audit Negara kerana melakukan audit tanpa rasa takut dan tidak memihak kepada sesiapa demi memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan dengan sebaik mungkin.

Saya tidak mahu mengulas mendalam mengenai Laporan KAN itu, yang sudah diulas dan menjadi berita panas di semua media massa sama ada "mainstream" mahu pun di internet.

Apa yang saya mahu ulas adalah kesungguhan kerajaan dalam memastikan setiap perbelanjaan dilakukan secara berhemah dan segala usaha yang sudah dan akan diambil ke arah matlamat itu.

Jika kita mengulas menggunakan hati dan dengan matlamat untuk mempolitikkan semua isu, sudah pasti Laporan KAN dijadikan senjata utama dalam "membedil" kerajaan.

Tapi kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak berusaha keras menambahbaik segala kelemahan ini, dan rakyat perlu menyedari hal ini.

Dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0, usaha dilakukan bagi mewujudkan budaya "takut diaudit" di kalangan pegawai serta kakitangan kerajaan.

Perlu kita akui bahawa tidak semua kira-kira sejuta kakitangan perkhidmatan awam negara adalah mereka yang berintegriti, amanah dan bertanggungjawab.

Sudah pasti dalam setandan pisang itu, ada yang busuk, tetapi kerajaan tidak mengalah dalam memastikan perkhidmatan awam negara yang menjadi tulang belakang terhadap pembangunan negara benar-benar dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada kerajaan termasuk memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan dengan sebaik mungkin.

Atas sebab itu, kerajaan Barisan Nasional bersetuju bahawa semua projek kerajaan yang lebih daripada RM1 billion memerlukan pembabitan Jabatan Audit Negara daripada mula perancangannya.

Dan semua projek yang lebih RM500 juta akan dipantau dengan teliti oleh Jabatan Audit Negara dan usaha ini, perlu dipuji.

Pada masa sama, di peringkat tertinggi perkhidmatan awam ditubuhkan satu jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Audit Negara dengan ahlinya yang terdiri daripada pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan jabatan penting lain, bagi mengambil tindakan kepada kakitangan serta pegawai perkhidmatan awam yang terbukti terbabit dalam penyalahgunaan kuasa, penyelewengan atau rasuah.

Di samping itu, satu jawatankuasa yang dipengerusikan Perdana Menteri dikenali sebagai “Putrajaya Inquisition” turut dibentuk bagi meneliti segala bentuk perbelanjaan kerajaan bagi mengelakkan berlaku ketirisan dan sebagainya.

Segala usaha ini, memerlukan masa untuk dilaksanakan dalam memastikan budaya "takut diaudit" meresap dalam diri kakitangan perkhidmatan awam.

Saya juga ingin menegaskan bahawa kerajaan tidak berhasrat sama sekali untuk menutup segala kepincangan atau salah guna kuasa yang berlaku dalam perbelanjaan kerajaan.

Bagi membuktikan perkara itu, Laporan Ketua Audit Negara selepas ini, akan dibentangkan tiga kali setahun iaitu setiap kali sesi sidang Dewan Rakyat.

Semua inisiatif yang dinyatakan itu, tidak pula di'highlight' di mana-mana media massa dan saya tidak menyalahlahkan perkara berkenaan kerana ia bukan perkara sensasi yang boleh melariskan akhbar.

Tetapi, sekurang-kurangnya rakyat perlu mengetahui bahawa kerajaan berusaha keras bagi menangani ketirisan yang berlaku dalam perbelanjaan kerajaan seperti yang dilaporkan dalam Laporan KAN.

Jangan termakan dengan mainan politik pembangkang, yang kerja mereka memang mudah iaitu membangkang dan menyalahkan kerajaan atas semua yang berlaku.

Saya juga sedikit kecewa dengan kenyataan rakan saya, iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang yang menyatakan bahawa PAC tidak efisien dalam menyiasat segala ketirisan yang dilaporkan dalam Laporan KAN.

Sebagai seorang ahli politik senior, Lim Guan Eng perlu mengakui hakikat bahawa PAC dilantik oleh Parlimen dan ia adalah sebuah badan bebas, jadi beri masa kepada saya selaku Pengerusi untuk meneliti segala apa yang dilaporkan dalam Laporan KAN 2012.

Memang mudah menuding, menyalah dan membangkang tetapi apa yang dilaporkan dalam Laporan KAN semuanya, menjurus kepada perlakuan manusia.

Jadi, bagi kakitangan kerajaan, mereka perlu menanamkan sikap telus, berintegriti, bertanggungjawab dan amanah dalam melaksanakan tugas mereka.

Budaya takut diaudit perlu ditanam dalam diri kakitangan, sikap bahawa setiap tugas mereka sentiasa dipantau dan diperhatikan perlu ditanam dalam memastikan tidak berlaku segala ketirisan dan penyelewengan dalam perbelanjaan kerajaan. – 4 Oktober, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments