Opinion

BN perlu uji strategi baru hadapi PRK Kajang

Atas kertas, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah boleh menjulang tangan tanda kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang (N25) pada 23 Mac nanti.

Kemenangan beliau seakan sudah dijangka memandangkan PKR adalah penyandang untuk kerusi ini, yang mempunyai hampir 40,000 pengundi dengan komposisi pengundi berdaftar sebanyak 48.5% Melayu, 40.28% Cina, 10.29% India, 0.19% Bumiputera Sarawak dan 0.03% Orang Asli.

Saya tidak berhasrat mengulas panjang sebab mengapa berlakunya PRK Kajang ini, PRK ketiga selepas Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13),  walaupun dua PRK sebelum ini, iaitu di Kuala Besut dan Sungai Limau, bekas Ahli Dewan Undangan (Adun) meninggal dunia tetapi di N25, bekas Adunnya 'melarikan diri'.

Sebab Lee Chin Cheh 'melarikan diri' sebagai Adun Kajang juga, sudah diketahui rakyat Malaysia dengan barisaan kepemimpinan tertinggi PKR memberikan 1001 alasan untuk menjadikan Anwar sebagai Adun di Selangor walaupun beliau adalah orang Pulau Pinang dan berkhidmat sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh.

Namun untuk pembangkang ia bukan satu perkara yang memelikkan memandangkan ada pemimpin mereka yang menjadi Adun di negeri lain, serta Ahli Parlimen di negeri lain dan ia diterima masyarakat di kawasan mereka.

Sehari selepas Lee 'melarikan diri' pada 27 Januari lalu, PKR sudah memalu gendang perang PRK dengan pemimpin mereka berkampung di Kajang, memberikan penjelasan kepada penduduk Kajang, mengapa Anwar sangat diperlukan di Selangor dan seperti biasa sudah pasti Barisan Nasional (BN) terutama sekali Umno dituduh sebagai 'musuh'  yang menyebabkan mengapa PRK Kajang perlu diadakan.

Ia sebenarnya, adalah untuk mengabui mata rakyat, biasalah dalam politik 'matlamat menghalalkan cara', jadi untuk PKR tidak mengapa membazir wang rakyat mengadakan PRK Kajang walaupun ketika rakyat berdepan dengan kos sara hidup tinggi,.  Bagi PKR  yang 'maha' utama adalah Anwar menang dan kemungkinan besar Selangor akan mendapat menteri besar PKR yang kedua selepas Tan Sri Khalid Ibrahim.

Namun, di sebalik semua kemungkinan besar bahawa Anwar akan menang dalam PRK Kajang ini, BN terutama sekali Umno tidak boleh duduk berdiam diri dan menganggap PRK ini, sebagai mainan politik pembangkang semata-mata.

Ini adalah masa untuk BN mencuba strategi politik baru dalam 'rumah' PR dan membuktikan bahawa parti ini, terus relevan untuk memperjuangkan rakyat serta tidak pernah membelakangkan masyarakat yang tidak diwakilinya.

BN perlu meninggalkan kaedah berkempen konvensional yang selama ini, begitu sinonim dengan parti, dengan berterusan menabur janji projek pembangunan untuk masyarakat setempat.

Apa yang diperlukan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak, adalah nafas baru dalam berkempen dan tidak hanya bergantung kepada 'gula-gula' politik serta penganjuran pelbagai majlis seperti keramaian untuk menarik undi daripada masyarakat di Kajang.

PRK Sungai Limau di Kedah membuktikan bahawa di sebalik pelbagai majlis dan program dianjurkan agensi dan jabatan kerajaan serta kehadiran barisan menteri berjumpa dengan masyarakat setempat, ia tetap gagal memberikan kemenangan kepada calon BN.

Saya yakin bahawa barisan menteri Kabinet BN sedar bahawa jumlah pengunjung yang hadir pada majlis ketika berkempen tidak menggambarkan sokongan sebenar pengundi.

Ini kerana kebiasaannya penganjur akan 'mengimport' pengunjung daripada luar kononnya, untuk membuktikan kepada masyarakat setempat bahawa sokongan rakyat masih kuat terhadap BN tetapi ternyata strategi ini, nyata tidak lagi berhasil dan sudah lapuk.

Atas sebab itu, strategi berkempen untuk PRK Kajang ini, perlu ditukar dengan memberikan suntikan baru terhadap kempen yang diadakan BN sekali gus memberikan tentangan kepada kempen yang dilakukan PR terutama sekali PKR.

Justeru, saya beranggapan bahawa barisan menteri Kabinet BN yang boleh dilabelkan sebagai kumpulan ahli politik bijak pandai dalam parti, turun ke padang dan bertemu masyarakat Kajang secara terus.

Tidak perlu untuk mengadakan majlis atau program yang besar sehingga dilabelkan sebagai mewah serta membazir sebaliknya, turun ke padang berjumpa pengundi dengan mengadakan siri ceramah kecil.

Jika didapati jentera parti BN sama ada Umno, MCA, MIC atau Gerakan dilihat tidak mampu menembusi sesetengah kawasan di DUN Kajang, mungkin boleh digunakan NGO untuk berjumpa dengan masyarakat setempat.

pa yanAg perlu disampaikan dalam ceramah ini adalah penerangan mengenai dasar, inisiatif serta langkah yang sudah, sedang dan akan diambil kerajaan BN dalam terus membela serta memperjuangkan rakyat.

Sekiranya, ada antara pemimpin BN yang bercadang untuk menyerang keperibadian calon PKR iaitu Anwar dalam kempen BN, lupakan sahaja kerana ia jelas tidak akan mempengaruhi fikiran pengundi Kajang.

Taktik lapuk seperti menyerang keperibadian pemimpin PKR atau parti pembangkang sudah tidak akan dapat mempengaruhi pengundi dan ia jelas terbukti ketika PRU13 apabila pelbagai kaedah digunakan gagal untuk menarik sokongan rakyat kepada BN.

Seharusnya, sudah sampai masa, BN beralih arah dengan membuktikan bahawa betapa parti pembangkang tidak mampu untuk memerintah disebabkan mempunyai idealogi yang berbeza serta berlaku pertelingkahan sesama pemimpin mereka semata-mata untuk berebut kuasa.

Rakyat sememangnya sedar bahawa parti pembangkang tidak semestinya lebih baik daripada BN tetapi mereka terpengaruh dengan pelbagai dakyah serta pembohongan pemimpin pembangkang disebabkan kegagalan pemimpin BN sendiri yang terus 'syok sendiri' dan terus dibuai mimpi kononnya rakyat menyokong mereka serta keadaan bertambah baik untuk BN.

Seharusnya, barisan menteri Kabinet yang turun berkempen nanti, perlu mengenepikan segala protokol dan tidak diiringi rombongan besar sehingga menyebabkan pengundi setempat merasakan mereka 'poyo' dan berlagak.  Budaya 'poyorisme' serta syok sendiri perlu dielakkan sama sekali, sebaliknya kembali kepada perjuangan asal parti iaitu untuk rakyat di peringkat akar umbi.

Sensitiviti jentera BN serta pengundi setempat perlu dijaga kerana kita tidak mahu mereka merasakan diri diketepikan apabila jentera BN seluruh negara turun seperti kebiasaan yang berlaku ketika PRK. Jika itu yang terjadi, ia ibarat 'menang bersorak tetapi kampung tergadai'.

DUN Kajang adalah medan terbaik untuk menguji segala yang baru untuk BN kerana calon BN adalah terlalu kerdil jika dibandingkan dengan bakal calon PKR.

Segalanya di DUN Kajang tidak memihak kepada BN, bertanding berlawan dengan Anwar, di kawasan yang dimenangi PKR sejak dua penggal dan di negeri yang bukan di bawah pimpinan BN.

Jadi satu transformasi politik perlu digerakkan sekiranya BN mahu membuktikan bahawa masih ada sokongan terhadap parti ini, di kalangan pengundi pinggir bandar.

Ia disebabkan dalam PRU13 lalu, majoriti kawasan bandar serta pinggir bandar dimenangi calon daripada parti pembangkang dan perubahan sikap pengundi ini, sama ada Cina, Melayu atau India terhadap BN memerlukan kajian serta penelitian yang mendalam.

Bagi Umno pula, PRK Kajang amat penting bagi melihat sama ada sokongan pengundi Melayu pinggir bandar sudah menunjukkan perubahan positif kepada parti seperti yang sering dilaungkan pucuk pimpinan.

Jika, keputusan PRK Kajang ini tidak menunjukkan perubahan sokongan pengundi Melayu terhadap Umno, dengan peratusan undi Melayu terhadap calon BN menurun berbanding PRU13, ia sebenarnya suatu isyarat kepada parti bahawa tindakan drastik perlu diambil kerana orang Melayu pinggir bandar juga sudah menolak Umno.

Keyakinan menggunung pemimpin pembangkang dengan ada antara mereka yang awal-awal meletakkan sasaran majoriti lebih 10,000 undi untuk Anwar seharusnya, tidak menggentarkan jentera BN Parlimen Hulu Langat.

Seharusnya, 'post mortem' PRK Sungai Limau dapat memberikan perancangan terbaik untuk BN bagi mengadapi PRK Kajang kerana di kedua-dua DUN ini, jumlah pengundi Melayu melebihi Cina.

Komposisi pengundi DUN Kajang ini, tidak jauh berbeza dengan pengundi Parlimen Pulai yang saya wakili dengan jumlah pengundi Melayu sebanyak 48 peratus tetapi jika dicampurkan jumlah pengundi bukan Melayu, pengundi Melayu bukan lagi majoriti.

Dan kemenangan Lee pada PRU13 dengan mendapat majoriti lebih 6,000 undi dalam pertandingan enam penjuru membuktikan bahawa jentera BN perlu bersiap sedia dan tidak bergantung kepada sokongan kaum tertentu untuk menghadapi PRK ini.

'War room' BN seharusnya sudah mengenal pasti isu yang boleh digunakan untuk menyerang PR dan isu yang perlu dijelaskan kepada pengundi ketika berkempen nanti.

Jika BN berada dalam kedudukan terbaik sepatutnya kemenangan PRK Kajang memihak kepada parti, memandangkan secara terang-terangan berlaku rasa tidak puas hati serta perbalahan antara pemimpin komponen pembangkang mengenai sebab pilihan raya kecil ini, perlu diadakan.

Masalah dalam komponen pembangkang ini, seharusnya dijadikan peluang terbaik kepada BN untuk merampas semula kerusi DUN Kajang.

Kemenangan dalam PRK Kajang seakan satu perkara yang begitu mustahil bagi BN pada waktu sekarang walaupun di saat gabungan komponen pembangkang berada dalam kedudukan lemah kerana berbalah sesama sendiri dengan pemimpin mereka berebut kuasa.

Saya bimbang jika BN tidak dipulihkan menjelang PRU14 nanti, kita sukar untuk mendapatkan semula sokongan penuh rakyat dan terpaksa mengharapkan pembangkang terus berbalah sesama mereka bagi mencapai kemenangan.

Namun, jika rakyat menolak BN dalam PRU14 dengan memilih untuk berpihak kepada pembangkang walaupun mereka sebenarnya tidak lebih baik daripada BN tetapi disebabkan 'marah' kepada parti kerana dilihat gagal memperjuangkan nasib rakyat, ketika itu segalanya sudah terlambat untuk sebarang tindakan dan perancangan. – 12 Februari, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments