Opinion

Benarkah HSR untungkan Malaysia?

Ketika Lembah Klang rancak menerima mod pengangkutan awam baru iaitu MRT yang dijangka beroperasi dalam tempoh kira-kira dua tahun lagi, projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Malaysia-Singapura pula dijangka dimuktamadkan tahun depan.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar, HSR dijangka siap pada 2020 dan diimpikan menjadi salah satu kunci utama kepada hasrat Malaysia menjadi negara maju.

Selaku ahli Parlimen Pulai dalam kawasan Johor Selatan, saya pada mulanya teruja dengan idea pembinaan HSR ini, yang mula diperkatakan di peringkat tertinggi antara kerajaan Malaysia dan Singapura  kira-kira tiga tahun lalu.

Apa tidaknya, dengan adanya HSR perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Singa berkenaan hanya mengambil masa 90 minit berbanding kira-kira lima jam menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Itu pun kalau tidak berlaku kesesakan lalu lintas atau kira-kira sejam menggunakan kapal terbang.

Namun, selepas meneliti beberapa perkara dan faktor tersirat di luar daripada segala ‘keindahan’ mengenai HSR serta kepentingannya kepada negara, saya terfikir adakah dengan adanya kereta api berkelajuan tinggi ini, akan menyebabkan Kuala Lumpur kehilangan daya saing kepada Singapura sebagai ibu kota yang berprestij.

Apa yang pasti industri penerbangan akan mula-mula menerima kesan negatif dengan adanya HSR. Ini memandangkan pada mulanya saya beranggapan tempoh masa menggunakan kereta api laju ini, dua jam setengah untuk perjalanan sehala tetapi jika perjalanannya hanya sejam setengah sehala tentu pengguna akan menggunakan HSR berbanding kapal terbang.

Terbit kerisauan jika wujudnya HSR kelak akan menjadikan Kuala Lumpur sudah pasti hanya  sebagai ‘feeder’ kepada Singapura, dengan segala yang menarik, hebat, berprestij berada di Singapura dan Kuala Lumpur hanya bandar raya kelas kedua.

Kebimbangan ini sebenarnya ada asas memandangkan seluruh dunia mengetahui Singapura adalah pusat kewangan dunia di rantau Asia Tenggara, dan sedang beralih daripada negara berpendapatan tinggi kepada negara berpengetahuan tinggi.

Ketika saya pernah dicap sebagai ahli Parlimen Singapura kerana lantang menentang kenaikan harga tol di Tambak Johor dan pengenalan kadar Permit Kenderaan Masuk (VEP) dari negara sebarang Tambak itu ke Johor.

Dan saya tetap berpendirian pembangunan Iskandar Malaysia memerlukan pembabitan Singapura dengan kadar berterusan bagi memastikan ia berjaya mencapai matlamatnya tetapi konsep sama tidak boleh digunakan antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Namun, saya agak skeptikal dengan pembinaan HSR Kuala Lumpur-Singapura, sama ada ia benar-benar satu keperluan mendesak kepada negara ini terutama rakyat Malaysia.

Dengan kos pembinaannnya dijangka mencecah RM40 bilion, timbul juga persoalan siapa yang hendak menanggung kos ini, Malaysia atau Singapura?Jika formula 60-40 digunakan untuk membahagikan kos ini, adakah Singapura akan bersetuju?

Ini kerana jika diteliti terhadap pembinaan HSR, lebih 90% laluannya terletak di Malaysia yang turut menempatkan lima stesen utama selain Kuala Lumpur iaitu di Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Nusajaya.

Jadi mengapa Singapura mahu membayar sehingga lebih RM10 billion bagi menanggung kos pembinaan HSR ini? Saya cukup pasti kerajaan Singapura sudah pasti tidak mahu membazir dengan pengangkutan ini, yang 90% terletak di negara lain.

Pada masa sama, jika HSR diharapkan dapat menarik tenaga kerja profesional dari Singapura bekerja di Kuala Lumpur, saya tidak berasa perkara berkenaan berlaku dengan begitu cepat.

Ia memandangkan Singapura mendahului Kuala Lumpur daripada segala segi terutama kemudahan kepada pekerja profesional asing dan banyak firma antarabangsa menempatkan kemudahan hadapan mereka di rantau Asia dan Asia Tenggara di Singapura selain Hong Kong.

Malah, Singapura sudah menjadi ibu pejabat operasi kepada banyak firma multinasional antarabangsa, disebabkan pelbagai faktor dan insentif seperti cukai, kehidupan yang setaraf dengan negara maju, pendidikan serta soal keselamatan.

Tinjauan baru-baru ini, yang disiarkan sebuah portal berita turut mendapati tenaga kerja profesional asing kini lebih cenderung tinggal serta bekerja di Vietnam berbanding di Malaysia. Ini membuktikan Malaysia khususnya Kuala Lumpur sudah semakin hilang daya penarik kepada golongan ini datang ke negara ini.

Sebagai sebuah pusat kewangan antarabangsa, apa yang Singapura perlu dan yang menghimpit mereka dengan begitu kritikal adalah harga hartanah negara berkenaan yang melambung begitu tinggi.

Dan dengan adanya HSR nanti, sudah ramai pekerja dari Singapura termasuk dari Malaysia sendiri akan tinggal di bandar sepanjang laluan HSR dan bekerja di Singapura.

Jika ini berlaku, Malaysia khususnya Kuala Lumpur akan mengadapi masalah serius kehilangan tenaga kerja profesional atau lebih tepat lagi masalah ‘brain drain’ kerana gaji di Singapura lebih tinggi berbanding Malaysia.

Selain itu, kehidupan sosial di Singapura adalah lebih ‘vibrant‘, lebih bebas berbanding Kuala Lumpur dan ini akan menarik lebih ramai tenaga kerja profesional muda tempatan bekerja di negara jiran berkenaan.

Memang benar ketika ini kerajaan Singapura mengenakan syarat kepada syarikat di sana yang hanya dibenarkan mengambil pekerja asing dengan gaji lebih daripada RM39,000 tetapi adakah jaminan syarat berkenaan tidak akan ditarik semula.

Sebenarnya, jika kita teliti mendalam apa yang Singapura perlukan ketika ini, adalah untuk memindahkan operasi perindustrian yang menggunakan tanah luas dan majoritinya berorientasikan buruh semata-mata kerana mahu menjadi sebuah negara yang memfokuskan kepada teknologi tinggi selain lengkap dengan industri penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Pilihan terbaik adalah Malaysia kerana mempunyai tanah luas serta sumber manusia ramai serta dilengkapi kemudahan awam seperti lebuh raya dan jaringan rel yang lengkap.

Justeru, Singapura memerlukan HSR untuk menjayakan matlamat ini bagi membolehkan sumber manusia negara berkenaan tinggal di tempat lain dan bekerja di negara berkenaan sedangkan Malaysia akan terus gagal menyediakan persekitaran kerja setaraf dengan negara jiran berkenaan.

Sedar atau tidak, HSR akan menjadi jalan keluar untuk tenaga kerja profesional tempatan bekerja di Singapura memandangkan jarak dan masa singkat serta gaji lumayan tetapi terus menetap di Malaysia hanya disebabkan kos kehidupan lebih rendah.

Jadi, slogan kerajaan selama ini untuk membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang mempunyai ekonomi tinggi akan gagal kerana walaupun tenaga kerja profesional tinggal di negara ini. Mereka akan menyumbangkan idea dan profesionalisme mereka di Singapura.

Jika ini berlaku, hasrat Putrajaya menjadi negara yang fokus kepada industri kreatif dan berpengetahuan tinggi akan terbantut memandangkan kita tidak akan mampu bersaing dengan Singapura yang berada lebih awal dan ke hadapan dalam industri ini.

Sebagai contoh, sudah pasti banyak syarikat multinasional di negara ini akan mengambil firma akauntan dari Singapura kerana majoriti firma akauntan antarabangsa beribu pejabat di Singapura.

Dengan tempoh perjalanan yang singkat menggunakan HSR, sudah pasti firma akauntan tempatan kehilangan pelanggan mereka dan pada masa sama, ramai akauntan tempatan akan bekerja dengan firma akauntan di Singapura.

Keadaan sama juga pasti akan berlaku pada firma guaman dan profesional lain seperti arkitek dan jurutera selain ia juga menyebabkan ramai anak muda mengintai peluang belajar di kolej-kolej di Singapura sekali gus pasti membantutkan sektor pengajian tinggi negara.

Ini tidak ditambah lagi dengan soal cukai kepada mereka yang tinggal di Malaysia tetapi bekerja di Singapura. Mengikut undang-undang Malaysia, mereka yang tinggal di negara ini, lebih daripada 180 hari, perlu membayar cukai pendapatan.

Jadi, siapa yang akan mengutip cukai pekerja-pekerja ini, Malaysia atau Singapura? Dengan cukai pendapatan Singapura lebih rendah dari Malaysia, sudah pasti tarikan membayar cukai di negara itu lebih tinggi berbanding di Malaysia.

Atas sebab itu, saya melihat dasar kerajaan menjadi negara berpengetahuan tinggi dan maju akan terjejas dengan adanya HSR kerana ia sudah pasti memudahkan kebanjiran tenaga profesional tempatan ke negara jiran berkenaan.

Malah kini, strategi menggunakan buruh asing seperti dari Indonesia untuk menurunkan kos jika nampak gagal disebabkan golongan ini mempunyai pilihan ke negara lain yang menawarkan gaji lebih lumayan daripada Malaysia.

Jika tenaga kerja profesional sudah meninggalkan Malaysia serta bekerja di Singapura dan tenaga buruh asing pula tidak lagi melihat negara sebagai sebuah ‘syurga’ pekerjaaan, apa lagi yang menarik mengenai Malaysia.

Kita sudah tentu tidak mahu mendapat kesan negatif dengan adanya HSR ini kerana kerajaan sudah berbelanja besar menyediakan sistem kereta api laju tetapi yang mendapat kesenangan adalah orang lain bukannya negara ini.

Senario-senario yang bakal terjadi ini yang memerlukan pertimbangan teliti dan sewajarnya daripada Putrajaya memandangkan kesan rantaian daripada aspek ekonomi, sosial dan politik pasti berlaku akibat wujudnya HSR.

Ia menjangkaui sekadar harapan menarik rakyat Singapura membeli-belah dan bercuti di Malaysia semata-mata.

Saya tidak mahu suatu hari nanti Kuala Lumpur akan dianggap sebagai pinggir bandar (suburb) Singapura dan dengan tempoh masa hanya sejam setengah untuk berulang alik dari Kuala Lumpur ke Singapura melalui HSR nanti, imej ibu negara hanyalah seperti Pulau Punggol kepada Singapura. – 25 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments