Opinion

Akta Salah Laku, langkah terbaik kekang ketirisan wang kerajaan

Apabila saya dipilih Dewan Rakyat untuk memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) secara rasminya pada 6 Jun 2013, saya memahami bahawa ia bukannya satu tugas yang mudah.

Kepercayaan untuk memastikan bahawa setiap perbelanjaan wang rakyat dibelanjakan sebaiknya terutama sekali dengan telus dan tidak membazir demi kepentingan rakyat Malaysia menjadi keutamaan saya.

Sudah pasti tugas Pengerusi PAC menjadi paling kritikal apabila Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibentangkan di Parlimen dan ketika inilah, pelbagai tuduhan terutama sekali daripada rakan pembangkang dilemparkan kepada kerajaan.

Malah, ada juga rakan-rakan pembangkang yang melabelkan PAC ini, “tidak bertaring” kerana setiap cadangan jawatankuasa ini kepada kerajaan tidak diberikan perhatian serius.

Mungkin ada kebenaran dalam hujah itu, tetapi rakyat juga perlu sedar bahawa keanggotaan PAC yang diwakili Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, berusaha sedaya upaya memastikan setiap laporan dalam LKAN diteliti dan disiasat bagi mencari jika wujud sebarang penyelewengan, salah laku atau amalan rasuah dalam perbelanjaan negara.

Jika terbukti wujud amalan berkenaan, sudah pasti tindakan undang-undang akan diambil.

Saya tidak mahu berpolemik atau bercakap politik mengenai hal ini, apa yang hendak saya tekankan adalah kerajaan tidak pernah berhenti dalam memastikan perbelanjaan kerajaan dibelanjakan dengan sebaiknya.

Sebab itu, bermula 20 November ini, PAC akan memanggil beberapa kementerian dan jabatan bagi memberikan penerangan terhadap laporan yang dibangkitkan dalam LKAN.

Malah, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek juga akan hadir pada 21 November bagi memberikan penerangan di hadapan PAC, berhubung isu bayaran kepada artis K-Pop sempena Sambutan Hari Belia Sedunia pada 2012, ketika beliau menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan.

Selaku Pengerusi PAC, saya juga mengambil inisiatif sendiri untuk mengadakan lawatan kerja ke jabatan kerajaan yang kritikal kerana membabitkan kepentingan rakyat secara langsung.

Saya sudah mengadakan lawatan ke Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) dalam usaha untuk memahami proses serta prosedur secara langsung daripada kaca mata seorang penjawat awam.

Dalam lawatan-lawatan itu, secara peribadi saya melihat bagaimana usaha berterusan dilakukan jabatan kerajaan untuk menambah baik sistem penyampaian awam negara bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Selain itu, ada juga cadangan dan penambahbaikan yang diutarakan ketua-ketua jabatan berkenaan untuk saya bawa ke peringkat kerajaan dan Parlimen  sebagai langkah bagi menangani ketirisan daripada terus berlaku dalam perbelanjaan kerajaan.

Saya amat bersetuju supaya Akta Salah Laku yang dicadangkan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed diberikan perhatian serius oleh kerajaan.

Dalam lawatan kerja saya ke SPRM minggu lalu, Tan Sri Abu Kassim sekali lagi menimbulkan cadangan itu, dan beliau menyatakan harapan dengan wujudnya Akta Salah Laku ini, khusus untuk kakitangan awam, mereka akan memikul tanggungjawab dengan lebih amanah sekaligus menjadi lebih takut untuk melakukan kesalahan.

Nampaknya tindakan tatatertib di kalangan penjawat awam tidak lagi menimbulkan ketakutan di kalangan mereka dalam menjalankan tugas dengan cekap, bersih dan amanah.

Zaman sudah berubah, dan pengenalan Akta Salah Laku untuk penjawat awam ini, adalah kaedah terbaik untuk terus menangani isu ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan.

Jika ada kakitangan awam yang pecah amanah, mereka boleh didakwa mengikut Kanun Keseksaan, jika rasuah boleh ditangkap di bawah Akta Pencegahan Rasuah tetapi bagaimana jika mereka cuai, ambil tidak kisah atau bersikap bodoh, tiada akta yang boleh memberikan pengajaran kepada kakitangan awam yang bersikap sedemikian.

Saya tidak menuduh semua kira-kira 1.4 juta kakitangan awam mempunyai sikap negatif itu, tetapi sudah pasti ada segelintir yang bersikap tidak ambil kisah atau ‘buat bodoh’ dalam menjalankan tugas mereka sehingga mengakibatkan berlaku ketirisan dalam perbelanjaan negara.

Adalah tidak adil kepada kerajaan atau lebih tepat lagi Barisan Nasional (BN) yang terus dipersalahkan atas setiap perbelanjaan kerajaan yang dilihat berlaku lemah daripada segi pelaksanaannya, sedangkan ada projek yang gagal adalah disebabkan kelemahan kakitangan awam itu sendiri.

Dan tidak semua kakitangan awam pun yang menyokong BN, ia hakikat, jadi jika tindakan untuk memperkenalkan Akta Salah Laku boleh mencegah terus berlakunya ketirisan seperti dilaporkan dalam LKAN, ia seharusnya dilaksanakan dengan segera.

Pada masa sama,  saya juga mahu kerajaan tidak hanya menumpukan kepada ketirisan perbelanjaan yang berlaku di bawah kementerian atau jabatan kerajaan dalam LKAN.

Sepatutnya, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang menerima wang rakyat untuk dibelanjakan juga perlu dipantau dan diteliti bagi memastikan ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat secara total.

Setiap pelaburan GLC yang menggunakan wang rakyat perlu diteliiti dengan sebaiknya.

Memang benar tidak semua pelaburan akan menjadi keuntungan, itu adat resam dunia korporat.  Tapi jika pelaburan berkenaan pada awalnya lagi sudah tidak menguntungkan mengapa perlu diteruskan.

Ini satu persoalan yang perlu dijawab pengurusan tertinggi semua GLC yang dibayar gaji tinggi kononnya mengikut piawaian antarabangsa.

Kita perlu berhemah dalam perbelanjaan negara sama ada ia membabitkan kementerian, jabatan, agensi atau GLC.  Ini adalah wang rakyat dan sudah pasti rakyat mahu menikmati hasilnya dan tidak mahu terbeban akibat pengurusan kewangan yang lemah.

Sama ada ia membabitkan seorang kerani di sebuah jabatan kerajaan atau seorang CEO serta MD di sebuah GLC, tanggungjawab yang dipikul tetap sama iaitu memegang amanah rakyat.

Justeru, adalah lebih adil jika Akta Salah Laku yang dicadangkan Tan Sri Abu Kassim ini, jika diperkenalkan kerajaan tidak hanya terhad kepada kakitangan awam semata-mata, tetapi turut membabitkan syarikat GLC kerana kerajaan mempunyai kepentingan secara langsung terutama sekali syarikat di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc). – 7 November, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments