Opinion

Air: Anwar, Khalid dan PKR

Malam Rabu lalu, dalam program Soal Jawab TV3 menyaksikan senario yang begitu istimewa dalam konteks politik negara apabila dua kerajaan yang berlainan parti di Malaysia membincangkan isu sama demi kepentingan rakyat iaitu air.

Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air daripada kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) dan Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor daripada kerajaan negeri PKR duduk semeja memberikan penerangan terperinci mengenai Memorandum Persefahaman (MoU) Penstrukturan Bekalan Air di Selangor yang ditandatangani genap seminggu lalu.

Walaupun, sebaik MoU berkenaan ditandatangani, Khalid selaku ketua eksekutif kerajaan Selangor dihentam teruk ahli partinya terutama sekali pimpinan tertinggi PKR yang membuat pelbagai tuduhan terhadap beliau, tetapi ahli korporat veteran ini, yang kemudian bertukar menjadi ahli politik tidak ambil pusing terhadap segala apa yang dilemparkan terhadapnya.

Apa yang pasti beliau seakan berseorangan dalam PKR yang cuba memberikan yang terbaik kepada rakyat Selangor dalam isu air ini, selain penyokong kuatnya, Faekah Husin yang juga setiausaha politiknya dan ketua pegawai eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI).

Seperti biasa, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga calon PKR untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang, 23 Mac ini, memberikan pelbagai komen mengenai MoU berkenaan yang kadang kala begitu mengelirukan sehingga menimbulkan rasa lawak.

Sekejap Anwar bersetuju dengan Khalid dan memberikan sokongan, kemudian sekejap lagi beliau mendakwa akan mengkaji semula MoU jika ia merugikan rakyat Selangor, sedangkan pakar strateginya, Rafizi Ramli berterus terang mendakwa bahawa MoU berkenaan merugikan rakyat Selangor.

Jadi yang mana betul dan yang mana tidak betul bagi Anwar? Siapa yang hendak beliau pertahankan, Rafizi atau Khalid?

Ketika ini, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali banyak berdiam diri terutama sekali selepas Khalid mengumumkan secara terbuka untuk bertanding mencabarnya dalam pemilihan parti itu, Jun ini dan mungkin akan disertai Rafizi, sekali gus sudah pasti memeningkan kepala Anwar.

Tambahan pula Azmin juga kini, turut dihimpit 'masalah' sendiri kerana selain dikritik Hishammuddin Rais dalam akhbar rasmi PKR, Suara Keadilan kerana mempunyai DNA Umno, beliau turut dilaporkan disiasat PKNS berhubung pembabitannya dalam projek PJ Sentral.

Apa yang pasti berbalik kepada isu MoU, semua pihak sama ada Anwar, Khalid dan Rafizi, mengambil modal yang sama iaitu 'demi kepentingan rakyat Selangor'.

Namun adakah kepentingan rakyat terutama sekali rakyat Selangor dikorbankan dalam perjanjian MoU antara kerajaan PKR Selangor dan kerajaan pusat BN.

Sedangkan beberapa siri rundingan antara kerajaan BN dan PKR berlangsung sejak beberapa tahun lalu, sudah pasti kedua-dua kerajaan ini, yang dipilih rakyat tidak akan membelakangkan kepentingan rakyat dalam melaksanakan projek mega bekalan air ini.

Tetapi jika dilihat daripada kritikan, tuduhan dan tanggapan buruk yang dilakukan kepada Khalid serta kerajaan BN berhubung perjanjian berkenaan, ia membuktikan betapa segala-galanya adalah berkisar kepada perjuangan politik bukannya untuk rakyat.

Kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak jelas sejak dari awal lagi sentiasa konsisten menjelaskan kepada rakyat bahawa kerajaan pusat sentiasa bersedia untuk memberikan apa sahaja kepada kerajaan PKR Selangor bagi menjayakan projek Loji Rawatan Langat 2 yang amat kritikal dan penting dalam menjamin bekalan air berterusan kepada penduduk Lembah Klang dan Selangor.

Sejak PKR mengambil alih kerajaan Selangor pada 2008, isu air ini jelas terlalu mudah dipolitikkan sehingga menjadi modal dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, dengan pelbagai dakwaan bahawa kerajaan pusat BN mengawal empat pemegang konsesi air di negeri berkenaan.

Fakta yang disembunyikan adalah keempat-empat pemegang konsesi air ini, adalah syarikat yang mana kerajaan Selangor mempunyai kepentingan saham di dalamnya dan ada antaranya disenaraikan dalam Bursa Saham Malaysia.

Jadi timbul persoalan bagaimana kerajaan pusat hendak mengawal syarikat ini, sedangkan mereka (syarikat) mempunyai pelbagai pemegang saham termasuk kerajaan Selangor.

Sudah pasti jika Selangor mahu mengambil alih keempat-empat syarikat ini, ia perlu dilakukan secara komersial dan apabila tawaran pengambil alihan bernilai kira-kira RM9 bilion dibuat Khalid, ia juga adalah berasaskan nilai komersial syarikat-syarikat terbabit.

Khalid sedar bahawa rizab tunai Selangor setakat 31 Oktober 2013, yang berjumlah lebih RM2.7 bilion mampu untuk menampung pengambilalihan itu, dan sebab itu beliau membuat tawaran berkenaan.

Lagi pun, apa gunanya mengumpul rizab tunai dalam jumlah yang begitu besar sekiranya, ia tidak dibelanjakan untuk kepentingan rakyat Selangor kerana selepas mengambil alih keempat-empat syarikat pemegang konsesi air itu, industri bekalan air Selangor adalah milik rakyat Selangor melalui kerajaan yang mereka pilih.

Jika dahulu, ada segelintir pemimpin PKR sendiri yang mengkritik Khalid kerana kurang 'berbelanja' dalam melaksanakan pembangunan di Selangor tetapi apabila beliau berbelanja bagi menyelesaikan isu bekalan air, tiada pula yang menghamburkan pujian terhadap rancangannya itu.

Tetap ada suara-suara sumbang dalam parti Khalid sendiri yang mengutuk dan dengan mudah membuat 'kira-kira' bahawa jumlah keseluruhan menstruktur semula industri bekalan air Selangor yang berjumlah hampir RM20 bilion adalah suatu pembaziran wang rakyat.  Adakah mereka ini, lupa bahawa rakyat Selangor mahukan isu air ini, diselesaikan 'once and for all' tanpa perlu terus dipolitikkan.

Memang mudah menjadi pembangkang kerana tugas pembangkang adalah membangkang apa sahaja yang dilakukan kerajaan pemerintah tetapi pemimpin PKR Selangor perlu sedar bahawa dalam konteks politik Selangor, mereka adalah kerajaan pemerintah dan tidak patut membangkang membabi buta tanpa mengambil kira kepentingan rakyat Selangor.

Tambahan pula yang dibangkang adalah menteri besar daripada PKR sendiri dan sepatutnya, mereka memberikan kepercayaan penuh kepada Khalid sebagai ketua eksekutif kerajaan Selangor yang diberikan kepercayaan oleh parti dalam Pakatan Rakyat untuk memimpin negeri berkenaan.

Lebih menghairankan yang ghairah menghentam Khalid adalah di kalangan PKR sendiri sedangkan PAS dan DAP yang memegang kerusi DUN paling banyak dalam Selangor tidak melatah dalam tindakan Khalid.

Apa yang rakyat Selangor dan Lembah Klang mahukan adalah ketenangan fikiran dalam isu air dengan air bersih sentiasa mengalir dalam paip di rumah mereka tanpa perlu risau keputusan bekalan walaupun ketika musim panas atau kemarau.

Rakyat Selangor tidak mahu beratur panjang menunggu lori Syabas menghantar bekalan air sehingga tiga minggu sedangkan mereka tinggal di negeri paling maju di Malaysia.

Justeru adalah sesuatu yang begitu ironi apabila 'gelanggang' PRK Kajang dibuka secara rasmi pada 11 Mac nanti, mungkin ada pemimpin PKR yang menghentam Khalid dalam siri kempen Anwar sedangkan Khalid adalah pengarah PRK Kajang.

Dan jika itu berlaku, kemungkinan besar Khalid terpaksa menggunakan pentas ceramah PRK Kajang bagi memberikan penerangan mengenai langkah beliau menandatangani perjanjian berkenaan sekali gus mempertahankan kerusi menteri besar yang khabarnya diintai sendiri calon PKR PRK Kajang. – 7 Mac, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments