Opinion

Aidilfitri terus disambut meriah namun perpaduan kaum Malaysia semakin merosot

Esok (Jumaat), umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan seperti kebiasaannya perayaan ini turut disambut meriah oleh kaum lain di negara ini, sama juga ketika kaum Cina menyambut Tahun Baru Cina, kaum India menyambut Deepavali, Hari Gawai di Sarawak serta Pesta Kaamatan di Sabah.

Namun beberapa hari sebelum umat Islam negara ini menyambut perayaan Aidilfitri, rakyat dikejutkan dengan insiden di Plaza Low Yat yang pada mulanya hanyalah sebuah jenayah jalanan (mencuri telefon bimbit) tetapi bertukar menjadi satu rusuhan kaum hingga mengejutkan pelbagai pihak ketika umat Islam sewajibnya sibuk merebut peluang melakukan ibadah pada bulan Ramadan.

Apa sebenarnya yang sudah terjadi dengan Malaysia, mengapa tahap toleransi antara kaum di negara ini menjadi begitu tipis.  Seperti biasa, ramai yang menyalahkan media sosial dan mereka yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu.

Namun pada masa sama, saya amat hairan kerana Malaysia sudah merdeka lebih setengah abad dan selama ini, semua lapisan rakyat pelbagai kaum hidup bersama menyambut perayaan antara kaum hingga dicemburui dunia.

Itulah uniknya Malaysia dan disebabkan itu juga Malaysia melaungkan slogan “Malaysia Truly Asia” untuk kempen pelancongan dengan memberikan gambaran semua kaum tidak kira agama dan budaya boleh hidup aman damai, harmoni serta berkongsi segalanya atas nama Malaysia.

Malaysia menjadi contoh bagaimana sebuah negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam mampu hidup bersama dengan kaum-kaum lain yang bebas mengamalkan anutan agama, budaya dan kepercayaan masing-masing tanpa sebarang sekatan.

Malah, lebih menguntungkan, hak dan keistimewaan penduduk bukan Melayu (di Malaysia Melayu adalah Islam) dijamin Perlembagaan Malaysia dan tiada pihak yang boleh menyentuh atau meminda dengan sewenang-wenangnya.

Hasil daripada ikatan kontrak sosial inilah, Malaysia dibentuk daripada acuan keunikan pelbagai agama, budaya serta kaum dan sejak merdeka, semua lapisan rakyat menikmati kemakmuran serta berkongsi kekayaan sumber negara.

Tahap toleransi dan sikap menghormati antara kaum di negara ini begitu tinggi dan walaupun negara pernah menghadapi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, ia langsung tidak menggugat kejayaan yang dimiliki negara selepas itu hingga pernah dilabelkan sebagai salah satu kuasa ekonomi di rantau Asia.

Lebih menarik di Malaysia, kaum lain tidak pernah dipaksa untuk menerima budaya kaum Melayu dan mereka bebas mengamalkan budaya serta mengekalkan nama mereka tidak seperti yang berlaku di negara jiran.

Apakah resipi yang menyebabkan Malaysia boleh menjadi seperti sedia ada tidak seperti di negara jiran lain dan kita tidak perlu menoleh jauh ke belakang untuk mencari jawapannya kerana ia adalah sifat toleransi yang diamalkan nenek moyang kaum Melayu, Cina dan India.

Umno sebagai parti terbesar orang Melayu sebelum merdeka sehingga kini, menjadi pendukung utama bagi membolehkan majoriti orang Melayu menerima kaum lain sejak merdeka dan hidup bersatu padu seperti yang wujud ketika ini.

Tetapi kebelakangan ini, timbul juga persoalan sampai bila perpaduan antara kaum di negara ini yang sebenarnya menjadi asas kepada segala bentuk kemajuan dan kejayaan yang dicapai mampu dipelihara.

Secara tiba-tiba timbul pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang berjuang khusus untuk satu-satu kaum ia seperti cendawan tumbuh selepas hujan, di sana sini, NGO ini seakan mengambil alih fungsi dan peranan parti politik yang sememangnya ditubuhkan atas asas perjuangan satu-satu kaum.

Saya dapati tolak ansur kaum majoriti iaitu orang Melayu di negara ini kini dilihat begitu sensitif dan kadang-kadang seakan menidakkan hak, kebebasan serta keistimewaan yang bukan sahaja dipelihara oleh Perlembagaan Negara malah dalam ajaran Islam itu sendiri.

Penerapan nilai Islam yang dibawa banyak kakitangan orang Melayu dalam kerja mereka sekarang dilihat menjadi amalan biasa sedangkan tidak sepatutnya ia berlaku dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini, walaupun ia sesuatu yang baik untuk umat Islam tetapi mungkin tidak diterima baik kaum bukan Melayu.

Ia menyebabkan dilihat orang Melayu cuba memaksa menerapkan nilai keislaman pada kaum lain sehingga ruang tolak ansur dilihat menjadi semakin sempit tambahan pula dengan kepesatan teknologi media sosial.

Lebih menyedihkan pemimpin Umno terutama sekali yang berada dalam struktur kerajaan sering diihat lambat menegur atau membetulkan amalan ini sehingga memberikan gambaran perbuatan itu diterima di peringkat pentadbiran kerajaan.

Lihat saja perangai JAKIM dan jabatan agama negeri yang sebenarnya hanya mentadbir hal ehwal Islam serta orang Melayu tetapi kini dilihat berjaya mengubah dasar kerajaan menjadi terlalu konservatif dan dilihat lari daripada amalan sederhana kerajaan yang selama ini berlandaskan pegangan ajaran Islam itu sendiri iaitu “Islam itu sederhana”.

Kerajaan BN sebenarnya tidak pernah mengabaikan pembangunan Islam di negara ini dan saya difahamkan kerajaan memperuntukkan sehingga RM1 bilion setahun untuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hanya untuk kos pentadbiran sahaja.

Mengambil beberapa contoh, saya rasa lebih kecewa apabila pembangunan Islam yang dijalankan jabatan kerajaan di negara ini seolah olah membodohkan orang Islam itu sendiri dengan alasan melindungi umat Islam itu sendiri sehingga dilihat orang Islam di Malaysia mempunyai tahap keimanan yang amat nipis dan boleh berubah-ubah.

Lihat sahaja pada peraturan melarang membeli arak di kedai serba guna di Shah Alam dan insiden salib di gereja rumah kedai di Taman Medan, Selangor.

Dalam kes murtad pula, saya hairan mengapa NGO Kristian dituduh mengkristiankan ibu tunggal orang Melayu yang dibantu mereka sedangkan kita sebagai orang Islam seharusnya mempersoalkan peranan jabatan agama yang diberikan peruntukan kerajaan ditambah pula dengan zakat yang dikutip.

Sepatutnya berbekalkan peruntukan yang besar itu setiap tahun mereka lebih berjaya mengislamkan orang bukan Islam yang tersisih daripada masyarakat atau sekurang-kurangnya membantu orang Islam yang hidup susah tanpa perlu menuduh kaum lain mengambil kesempatan menyebarkan agama mereka.

Di sekolah kebangsaan pula penerapan nilai Islam dan Melayu juga diterapkan bagi membentuk generasi penuntut dan pendidik akan datang tetapi ia menyebabkan sekolah-sekolah kebangsaan menjadi terlalu kemelayuan dan keislaman sehingga menyebabkan kaum bukan Melayu tidak lagi berminat menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan.

Lebih menyedihkan seakan ada yang tidak kena dalam sistem persekolahan di negara ini, apabila sifat toleransi antara guru Melayu dengan murid-murid bukan Melayu seakan sudah terhakis sedangkan seharusnya sekolah menjadi tempat untuk memupuk perpaduan antara kaum.

Bagaimana boleh terjadi insiden murid bukan Islam diarahkan minum di dalam tandas dan bukannya di kantin dengan alasan untuk menghormati murid Islam yang berpuasa atau mengadakan ibadah korban di kawasan sekolah tanpa menghiraukan sensitiviti kaum lain.

Apa agaknya tindakan orang Melayu jika ada kaum bukan Melayu memakan daging yang diharamkan Islam di kawasan sekolah?

Di manakah hasil dan kejayaan dasar Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (Rimup) yang sebelum ini dicanangkan sebagai inisiatif terbaik meningkatkan integrasi perpaduan antara kaum bermula sejak zaman awal persekolahan.

Semua insiden ini memperlihatkan betapa orang Melayu di Malaysia seakan sudah hilang sifat toleransi dan hormat menghormati kaum lain sehingga timbul tanggapan masyarakat bukan Islam dinafikan hak dan kebebasan mereka semata-mata bagi membolehkan orang Melayu mengamalkan ajaran mereka dengan sebebasnya.

Sedangkan apa yang seharusnya terjadi dan digariskan dalam Perlembagaan Negara, adalah semua kaum bebas mengamalkan ajaran mereka dengan bebas tetapi pada masa sama menghormati kepercayaan agama lain dan tidak sekali-kali cuba memaksa nilai agama mereka terhadap kaum lain.

Suatu ketika dahulu, bukan sesuatu yang memelikkan untuk orang Melayu makan di kedai orang Cina yang faham dan menyediakan makanan halal untuk kaum Melayu atau orang Melayu berniaga makanan dalam kedai orang Cina.

Tetapi pemandangan itu semakin hilang ketika orang Melayu kini dilihat semakin taksub untuk memastikan ajaran Islam menjadi tonggak kepada pentadbiran kerajaan tanpa mahu bertolak ansur dengan kaum lain.

Walaupun sering kali kita dengar bahawa penerapan nilai Islam itu hanya tertakluk kepada penganut agama Islam sahaja tetapi terlalu banyak kes yang didapati ada pegawai atau kakitangan kerajaan Melayu menyalahgunakan keistimewaan itu dengan turut cuba menerapkannya kepada masyarakat bukan Islam.

Di sinilah peranan yang seharusnya dimainkan pemimpin Umno yang berada dalam kerajaan supaya terus berpegang bahawa penerapan nilai Islam yang keterlaluan kepada rakyat di Malaysia tidak akan dapat membawa Malaysia terus maju ke hadapan.

Apa yang dilihat kini, umat Islam di Malaysia seakan cuba meniru apa yang ada di negara Arab sedangkan budaya di negara Asia Barat yang keras dan konservatif amat berbeza dengan nilai Islam di Nusantara yang lembut dan bertolak ansur seperti yang Malaysia kecapi sebelum ini.

Jangan sekali-kali orang Melayu di Malaysia lupa kejayaan dan kemajuan yang dikecapi selama ini adalah hasil tolak ansur daripada segi agama, budaya serta kaum dan kita tidak akan dikenali seperti yang dinikmati sekarang ini, jika hanya orang Melayu sahaja tinggal di bumi Malaysia ini.

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri pada semua umat Islam, mohon maaf jika ada tulisan saya selama ini menyinggung mana-mana pihak. Maaf zahir dan batin. – 16 Julai, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments