Opinion

1MDB untuk rakyat melebihi kepentingan individu atau parti

Apabila semua 13 ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia sebulat suara bersetuju untuk memulakan siasatan terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 30 April lalu, saya selaku pengerusinya sedar betapa prosiding berkenaan akan menjadi tumpuan, bukan sekadar seluruh rakyat Malaysia, malahan juga di peringkat antarabangsa.

Dengan pelbagai liputan serta komen yang dibuat pelbagai pihak mengenai hutang berjumlah RM47 bilion yang ditanggung 1MDB ini, PAC sebagai sebuah jawatankuasa bipartisan yang wujud di bawah Parlimen Malaysia perlu menjalankan siasatan dengan adil, telus serta berakauntabiliti.

Tidak dinafikan dengan keanggotaan jawatankuasa ini terdiri daripada lapan ahli daripada Barisan Nasional (BN) dan lima daripada Pakatan Rakyat, PAC Parlimen Malaysia adalah satu-satunya institusi terbaik dalam negara untuk melihat permasalahan yang melanda syarikat ini yang ditubuhkan sejak 2009.

Tidak dapat dinafikan kredibiliti, ketelusan dan keupayaan semua 13 ahli jawatankuasa PAC ini, akan diuji dengan prosiding serta siasatan terhadap 1MDB kerana kami semua adalah wakil rakyat yang mengangkat sumpah melindungi kepentingan serta hak rakyat dan negara.

Apa tidaknya, 1MDB sebagai sebuah syarikat milik 100% Kementerian Kewangan (MoF) diwujudkan sebagai dana pelaburan strategik negara dan majoriti rakyat negara ini pasti tidak menyangka dalam tempoh enam tahun penubuhannya, beban hutang yang ditanggungnya begitu tinggi.

Ia mengundang pelbagai tohmahan, persepsi sekali gus menjadi ‘peluru’ utama kepada PR untuk membelasah kerajaan BN, terutama sekali Putrajaya di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak dalam soal pentadbiran, pengurusan kewangan dan salah guna kuasa serta kini menular menjadi isu peribadi dan keluarga pemimpin no.1 kerajaan.

PAC Parlimen Malaysia pada mulanya mahu menunggu laporan daripada Ketua Audit Negara yang diarahkan Kabinet pada awal 4 Mac lalu, namun membuat keputusan untuk memulakan prosiding 1MDB selepas mengambil kira pelbagai faktor yang menggusarkan rakyat, terutama sekali apabila ia bertukar menjadi isu politik dengan pelbagai tuduhan dilemparkan kepada parti BN, terutama sekali Umno.

Justeru, sudah pasti siasatan PAC Parlimen Malaysia terhadap 1MDB tidak boleh hanya bersandarkan semata-mata kepada kedudukan kewangan atau beban hutang syarikat, tetapi perlu menjangkau kepada sejarah awal penubuhannya.

Ia amat penting dalam memastikan setiap sudut serta skop mengenai 1MDB dapat disiasat bagi menghasilkan satu laporan yang benar-benar komprehensif, telus, adil serta tidak memihak kepada mana-mana pihak.

Namun, ramai pihak turut menimbulkan persoalan mengapa PAC Parlimen Malaysia tidak menunggu laporan Ketua Audit Negara yang akan mengemukakan laporan awal pada akhir Jun nanti kepada jawatankuasa ini.

Perlu ditegaskan, PAC Parlimen Malaysia terletak di bawah cabang legislatif dan mempunyai kuasa dan tanggungjawab yang diberikan mengikut undang-undang untuk menjalankan siasatan terhadap mana-mana syarikat milik kerajaan yang menggunakan wang rakyat atau mana-mana projek awam.

Dan siasatan terhadap 1MDB ini bukan pertama kali dilakukan PAC Parlimen Malaysia yang diketuai saya selepas pernah menjalankan prosiding terhadap pembinaan projek klia2 pada tahun lepas.

Mengambil contoh prosiding projek pembinaan klia2, PAC Parlimen Malaysia mengambil masa hampir setahun untuk melengkapkan laporan berkenaan yang akhirnya dibentangkan kepada Dewan Rakyat pada November tahun lalu.

Dalam memberi jaminan supaya semua pihak dapat memberikan penjelasan terhadap segala isu yang dibangkitkan dalam pembinaan klia2, PAC Parlimen Malaysia mengadakan empat sesi prosiding bermula dengan penjelasan daripada Kementerian Pengangkutan.

Selepas itu, kontraktor klia2, iaitu MAHB diberikan ruang bagi menjelaskan mengenai peningkatan kos pembinaan lapangan terbang berkenaan sebelum PAC Parlimen Malaysia, kemudian memberikan juga ruang kepada syarikat AirAsia Berhad sebagai pelanggan terbesar KLIA2 memberikan komen terhadap projek berkenaan.

PAC Parlimen Malaysia kemudian memanggil semula Kementerian Pengangkutan serta MAHB bagi mengesahkan segala komen yang diberikan AirAsia serta memberikan perkembangan terkini terhadap projek pembinaan berkenaan.

Di sinilah letaknya keunikan sesi prosiding PAC Parlimen Malaysia yang sebenarnya, berfungsi sebagai pentas terbaik untuk semua pihak mengutarakan pandangan serta memberikan penjelasan terhadap isu yang dibangkitkan.

Apabila jawatankuasa ini bersidang semula bagi menulis laporan sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat, semua 13 ahlinya turut mendapat pandangan serta maklumat daripada wakil tetap kementerian yang berada dalam jawatankuasa ini, terdiri daripada MoF, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Audit Negara, Jabatan Akauntan Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Sudah pasti kerangka prosiding projek pembinaan KLIA2 akan digunakan dalam prosiding membabitkan 1MDB yang bermula pada 19 Mei lalu dengan mula memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan sebagai Pegawai Pengawal untuk syarikat 1MDB ini.

Di bawah tajuk prosiding Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB, PAC Parlimen Malaysia mahu memastikan siasatan yang dilakukan benar-benar menyeluruh bukan sekadar menyiasat mengenai beban hutang yang ditanggung syarikat ini.

Dalam merungkai masalah beban hutang ini, sudah pasti ia memerlukan jawapan terhadap mengapa perkara ini terjadi serta boleh berlaku dan apa kawalan kerajaan melalui MoF terhadap 1MDB ini terutama sekali berkaitan dalam operasi, pelaburan serta keputusan yang dibuat.

Perkara ini paling penting untuk dikenalpasti bagi semua pihak mengetahui apa yang dilakukan kerajaan terhadap 1MDB ini sebelum menyalahkan mana-mana pihak terhadap beban hutang yang ditanggung syarikat ini.

Selepas itu, penjelasan dan penerangan daripada pihak pengurusan 1MDB amat penting, dan ia perlu dilakukan dengan mendengar daripada Mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ketika penubuhannya dan CEO yang ada ketika ini.

Dalam memastikan tidak ada satu perkara yang tertinggal ketika sesi prosiding PAC Parliman Malaysia berhubung 1MDB ini, kedua-dua individu ini perlu hadir di hadapan jawatankuasa ini secara serentak.

Kegusaran rakyat terhadap kedudukan kewangan 1MDB ini juga boleh dijawab dengan memanggil semua tiga firma audit yang diberikan tugas serta tanggungjawab untuk mengaudit syarikat ini iaitu Deloitte, KPMG dan Ernst & Young.

PAC Parlimen Malaysia memerlukan penjelasan apa yang dilakukan firma audit antarabangsa ini yang dikenali sebagai ‘The Big Four’ dalam memastikan akaun 1MDB benar-benar telus serta bebas daripada sebarang unsur penipuan.

Sebagai akauntan profesional serta pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Audit TM Berhad, saya amat mengambil berat terhadap peranan firma audit dalam mengesahkan akaun kewangan 1MDB ini.

Peranan Lembaga Pengarah 1MDB juga perlu juga diberikan penjelasan kerana ia adalah badan eksekutif tertinggi yang seharusnya mengetahui setiap keputusan sama ada membabitkan operasi, pinjaman dan pelaburan yang dilakukan pengurusan 1MDB ini.

Atas sebab itu, PAC Parlimen Malaysia juga mahu Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB ketika ia ditubuhkan serta yang ada ketika ini, hadir bersama-sama bagi memberikan penjelasan di hadapan jawatankuasa ini.

Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, PAC Parlimen Malaysia tidak meletakkan sebarang tempoh masa untuk melengkapkan prosiding terhadap 1MDB ini atau skop penyiasatannya.

Buat masa ini, semua ahli jawatankuasa PAC Parlimen Malaysia sudah menetapkan tarikh untuk prosiding 1MDB ini dengan meliputi peringkat Lembaga Pengarah 1MDB.

Selepas itu, sudah pasti semua 13 ahli PAC ini akan bermesyuarat sekali lagi bagi menetapkan hala tuju prosiding berkaitan 1MDB bagi menentukan sama ada wujudnya keperluan bagi memanggil pihak lain.

Bagi jawatankuasa ini, semua pihak yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam keputusan syarikat ini dalam operasi, pelaburan atau pinjaman perlu hadir bagi memberikan penjelasan di hadapan jawatankuasa ini.

Beban hutang yang ditanggung 1MDB ini daripada segi korporat bukanlah sesuatu yang memelikkan jika dilihat daripada aset yang dibeli tetapi yang menjadi kerisauan kepada rakyat adalah wang mereka yang digunakan bagi tujuan operasi, pelaburan dan pinjaman syarikat ini.

Lebih memedihkan hati mereka adalah pembabitan kerajaan secara langsung dalam menjamin setiap pinjaman yang dilakukan 1MDB serta sudah pasti kerajaan akan terpaksa menanggung hutang-hutang ini andai kata syarikat 1MDB tidak mampu membayarnya dan wang yang pasti digunakan adalah wang rakyat. 

Sehubungan itu, saya memohon kepada semua pihak supaya tidak memberikan pelbagai andaian terhadap prosiding yang dijalankan PAC, walaupun saya akui ia adalah satu perkara yang cukup sukar memandangkan isu melanda syarikat ini sudah berlarutan lebih dua tahun.

Biarlah PAC menjalankan siasatan melalui prosiding yang akan dilakukannya dan apabila laporannya dibentangkan kepada Dewan Rakyat, seluruh rakyat boleh membaca cadangan serta syor yang akan dilakukan jawatankuasa ini secara sebulat suara.

Lebih penting, setiap laporan PAC berkenaan akan turut dilampirkan dengan hansard atau percakapan setiap prosiding yang direkodkan secara ‘verbatim’ dan rakyat boleh menilai setiap kenyataan yang dibuat setiap saksi yang menghadiri prosiding 1MDB ini.

Kita masih tidak pasti siapa yang harus dipertanggungjawab dan dipersalahkan terhadap permasalahan yang melanda 1MDB ini, tetapi perlu diingatkan terpulanglah kepada cabang eksekutif iaitu kerajaan untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak kelak.

Yang pasti, PAC adalah daripada rakyat, untuk rakyat dan suara rakyat tanpa mengambil kira mana-mana pendirian atau pandangan politik kerana semua 13 ahli jawatankuasanya adalah dipilih rakyat dan memegang pendirian kepentingan rakyat yang perlu diutamakan melebihi kepentingan parti atau mana-mana individu. Wallahualam. – 14 Jun, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments