Opinion

Tahun 2014 kemuncak ‘lebailisasi’ di Malaysia

Selamat tahun baru 2015 ada semua yang membaca tulisan ini. Sempena dengan ini, kita mengimbau kembali apa yang berlaku pada tahun lalu.

Tahun lalu disifatkan sebagai tahun yang mencabar, tiga tragedi nahas kapal terbang melibatkan syarikat pernerbangan awam Malaysia, MH 370, MH 17 dan QZ 8501 melibatkan Malaysian Airlines dan AirAsia.

Selain itu juga, kejadian banjir terburuk dalam sejarah sejak 1971 berlaku di hampir keseluruhan Semenanjung Malaysia, terutamanya di pantai timur menyebabkan kemusnahan teruk di kawasan terjejas.

Maka ramai yang mula mengatakan ini sebagai "hukuman Tuhan kepada hambanya yang ingkar" dan segala apa yang berlaku tidak dilihat secara saintifik dan sekularistik.

Tahun lalu juga saya melihat ekstremisme makin berleluasa, terutamanya mereka yang menggunakan sentimen agama dan bangsa makin menjadi-jadi.

Sepuluh tahun lepas, Cadbury tidak perlu untuk buat iklan yang memerlukan watak seorang yang warak dan bercakap tentang pengesahan Jakim untuk melariskan penjualan coklat.

Penyaduran Islamisasi dan budaya Melayu kini dilihat semakin mainstream – terutamanya drama TV tempatan. Lantaran itu, drama-drama TV yang mengangkat tema agama (walaupun mengambil dari segi facade; seperti rupa dan pemakaian) semakin mula menular.

Saya memanggil ini sebagai satu proses “lebailisasi”, dimana semua bentuk media, sama ada pengiklanan, lakon TV, muzik, bahkan berita pun sudah semakin dilebaikan.

Baru-baru ini saya ada menonton sebuah drama TV semasa sedang makan di sebuah restoran, mengisahkan seorang lelaki kampung yang mendambakan cinta seorang anak ustaz yang mengaji al-Quran, dan cuba untuk menjadi seorang yang beramal soleh.

Watak jahat pula digambarkan oleh seorang wanita yang tak pakai tudung, kaki main bomoh dan sering mendengki wanita bertudung ini.

Mesej secara subliminal dan halus untuk terus memburuk-burukkan wanita yang memilih untuk tidak memakai tudung.

Saya tidak membenci golongan yang memilih memakai tudung. Bagi saya, kalau dirinya sendiri memilih untuk memakai tudung, pakailah. Begitu juga mereka yang tidak mahu memakai tudung.

Tetapi sejak akhir-akhir ini sudah mula ada nilai pemaksaan dalam pemakaian tudung, dan “lebailisasi” semakin mendapat tempat dalam media perdana.

Apabila seorang selebriti memilih memakai tudung, ia digelar "berhijrah" seolah-olah apa yang dilakukannya terdahulu sebagai "jahilliyah".

Maka “lebailisasi” ini berlanjutan sehingga semua benda perlu “dilebaikan”. Idea-idea seperti hak asasi manusia, kesamarataan gender, hak untuk berfikir dan pemikiran liberal dilihat sebagai idea Barat dan  mahu menyesatkan umat Islam.

Baru-baru ini, program Malam Cinta Rasul diadakan secara besar-besaran di Dataran Merdeka, dengan menampilkan pendakwah popular Indonesia, Habib Syech Abdul Qodir As Seggaf dan Habib Ali Zaenal Abidin.

Dan menurut penganjur, mereka berjaya mendapatkan kutipan derma sebanyak RM325,000 dalam majlis tersebut.

Cuba kalau kita buat gig atau konsert bertujuan untuk mengutip derma banjir di malam tahun baru, sudah pasti ia dilihat perkara mungkar walaupun niatnya baik.

“Lebailisasi” ini semakin berkembang pesat sejak 11 September 2001, ditambah dengan kuasa besar Amerika menyerang negara Islam seperti Afghanistan, Iraq, Syria dan lain-lain lagi.

Maka idea-idea seperti hak asasi manusia, kesamarataan gender dilihat sebagai idea Barat yang sedang menggasak Islam.

Bagi saya, idea-idea seperti ini bersifat universal, ia bukan dari timur atau barat.

Apabila agen-agen “lebailisasi” seperti Isma bersuara mengkritik idea kesamarataan gender, ada juga di kalangan kita menyokong kenyataan tersebut walaupun ia jelas merendahkan martabat wanita.

Lebih menyedihkan, yang menyokong kenyataan seksis itu pun wanita juga.

Saya membaca buku tulisan Samuel P. Huntington, The Clash of Civilization di mana pertembungan idea-idea barat dengan idea lain seperti Islam, contohnya menjadi pertembungan baru selepas jatuhnya Soviet Union dalam Perang Dingin.

Maka, “lebailisasi” ini dilihat sebagai “vanguard ideas” yang mampu menangkis idea-idea barat yang diterajui Amerika Syarikat, walaupun idea-idea seperti hak asasi manusia dan kesamarataan gender ini bagi saya merupakan hak sejagat seluruh manusia.

Apapun, tahun ini pada jangkaan saya, idea ini akan terus bertembung, dan selagi pergolakan di Timur Tengah tidak berakhir, selagi “wayang perang” Amerika, Israel, Arab Saudi dan lain-lain negara di sana tidak tamat, dan selagi persaingan “siapa antara lebai” di antara Umno dan PAS masih terus berleluasa, maka proses “lebailisasi” ini akan terus membelenggu negara ini. – 3 Januari, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments