Opinion

Surat terbuka untuk anak Zahid Hamidi

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kerana dapat pangkat Datuk dalam usia yang begitu muda. Berdasarkan pemerhatian saya, mendapat Datuk di negara ini adalah semudah kentut jika kamu anak menteri atau tokoh korporat.

Berbanding rakyat biasa seperti saya, atau jutaan lagi rakyat yang bekerja keras setiap hari, tak cukup tidur, tak cukup rehat dan tak cukup duit untuk meneruskan kehidupan sehari-hari, bukan nak jadi Datuk macam anda.

Saya ingin memberi pandangan di Instagram berkenaan gambar selfie kamu, maaf, saya kurang berminat, tapi saya ingin komen tentang status kamu di Instagram tentang kenyataan "rakyat Malaysia sekarang semakin malas" yang menimbulkan kemarahan jutaan rakyat di media sosial.

OK, saya akui saya memang malas. Saya bangun tidur pagi dan malas kemas katil. Saya malas bangun sepagi boleh untuk kejar bas kerana saya tidak mempunyai kenderaan sendiri.

Mungkin anda kata "siapa suruh malas kerja, kan dah tak mampu beli kereta" tapi hakikatnya saya ada kenal seorang kawan yang bekerja 18 jam sehari di restoran mamak dan dia masih tidak mampu membeli sebuah motor, apa lagi sebuah kereta.

Saya tak tahulah kalau kerja 18 jam sehari dan dapat cuti cuma 2 hari setahun (hari raya saja) masih lagi tidak rajin.

Baiklah, mungkin benar pandangan kamu, rakyat Malaysia ini malas. Sebab itu ayah kamu terpaksa memanggil 2 juta warga Bangladesh ke negara ini.

Dua juta ini adalah mereka yang baru datang – ini belum termasuk yang sedia ada di sini.

Saya tidak ada pendirian rasis di sini. Mereka datang untuk bekerja. Saya tidak ada masalah jika mereka datang ke sini untuk bekerja.

Mungkin kamu berkata rakyat Malaysia malas kerana mereka tidak berminat untuk bekerja buruh, atau membancuh teh, atau menebar roti canai, atau mentar jalan raya, atau menanam pokok kelapa sawit.

Mungkin mengikut pemerhatian kamu, ada 2 juta pekerja kerajaan dan kebanyakan yang kamu hanya nampak, mereka cuma online Facebook, sibuk dengan projek tepi dan berborak tentang drama Melayu acah-acah Korea yang bertajuk Cinta Teruna Kimchi malam semalam.

Ya, mungkin kerana itu, kamu rasa rakyat Malaysia pemalas.

Tapi biar saya beritahu perkara sebenar kepada Ikon Belia supaya awak bukan hanya sekadar ikon, tetapi kamu manusia yang mempunyai hati nurani memahami keadaan rakyat sekarang.

Setiap pagi, seawal jam 5:30 pagi, orang sejauh Seremban atau Tanjung Malim sudah mula memandu kenderaan mereka menuju ke tempat kerja mereka di Kuala Lumpur. Ada yang dari Melaka, dan ada dari Muar.

Ada yang dari Muar bekerja di Johor Baru, dan ada juga dari Sungai Petani bekerja di Pulau Pinang. Begitulah ceritanya.

Mereka menghabiskan masa mereka selama hampir 10-12 jam seminggu di jalan raya hanya untuk menghadap kesesakan jalan raya.

Lainlah ayah kamu, ada motor berkuasa tinggi beruniform putih tolong “escort”.

Mereka bekerja setiap hari, dimaki bos kerana lambat, terpaksa mengabaikan anak yang nak ke sekolah, atau ibu bapa yang sudah tua, semata-mata untuk memajukan ekonomi negara.

Nurulhidayah, ekonomi negara ini tidak dibina oleh Najib Razak dan ayah kamu, atau semua menteri Kabinet. Ekonomi negara ini dibina oleh kami, rakyat Malaysia.

Oh ya, kamu juga berkata, kamu juga rakyat biasa. Kamu pernah bekerja di medan selera di Alpha Angle, dan kamu juga pernah bekerja di production house semasa ayah anda masih lagi belum menteri.

Baguslah, kamu pernah kerja begitu dan sepatutnya kamu ada kesedaran – bukannya membabi buta saja mengatakan rakyat Malaysia semakin malas.

Atau sebenarnya apakah anda ingin mengatakan ayah anda sudah menjadi menteri, anda juga perlu menjadi anak menteri yang “bossing around” dan memekak di tepi telinga rakyat seperti mana drama tipikal Melayu di mana akan ada anak bos yang acah-acah concern dan nak tunjuk pandai dan terus maki hamun pekerja, sebagai "kamu semua pemalas!"?

Yelah, semua rakyat Malaysia pemalas. Kamu saja begitu rajin bekerja sampai mampu ada masa untuk update gambar selfie Instagram kamu. – 20 Februari, 2016. 

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments