Opinion

Sindrom ‘throwback’, UPSR, dan Dr Mahathir

Minggu ini adalah minggu peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), yang hanya saya sedar apabila ibu kepada seorang anak Tahun 6 menjerit pada waktu pagi, ketika anaknya lewat bangun untuk ke sekolah kerana peperiksaan ini.

"Abang, bangun! Nanti lambat pergi periksa," kedengaran suara si ibu yang sedang sibuk sementara anaknya masih belum bangkit daripada tidur.

Sedar tak sedar, sudah 19 tahun saya meninggalkan UPSR. Sebagai seorang yang mengambil peperiksaan itu pada 1996, saya dan 'batch' saya yang lahir pada 1984, atau yang masuk kelas lompat yang lahir pada 1985, adalah 'batch' terakhir yang subjek UPSRnya cuma 4 berbanding tahun selepas itu, 5.

Saya tidak pasti berapa A tahun ini untuk pelajar UPSR, tapi dahulu kami cuma ada 4A untuk dikejar.

Lalu saya merenung kembali, masa yang saya lalui 19 tahun selepas itu, dan saya fikir, hampir semua orang yang saya kenal, berfikir seperti saya.

Bernostalgia semasa zaman kecil-kecil dahulu.

Sindrom ini boleh dilihat di Twitter, di Facebook atau paling ketara, di Instagram, di mana hashtag #throwback sering ada di kalangan usia golongan saya ini.

Bagaimanapun saya fikir ini mungkin tidak terlalu tepat, kerana saya hanya memerhatikan sekeliling saya, dan ini cuma teori yang tidak lengkap dalam fikiran saya.

Sindrom "throwback" ini kalau hendak dikaji secara ilmiahnya, ada pernah dirakamkan oleh seorang ahli falsafah Perancis yang bernama Jacques Derrida, dalam tulisan bukunya yang bertajuk "Archive Fever".

Secara ringkasnya, "archive fever" ini ialah satu fenomena yang tidak boleh dikawal, yang berlaku spontan, dan keinginan untuk mengulang, atau kembali ke masa lampau. 

“It is to have a compulsive, repetitive, and nostalgic desire for the archive, an irrepressible desire to return to the origin, a homesickness, a nostalgia for the return to the most archaic place of absolute commencement”

(Ia merupakan keinginan kompulsif, berulang-ulang dan nostalgia terhadap masa lampau, satu keinginan untuk kembali kepada asal, rasa rindu, satu nostalgia untuk kembali ke tempat lama).

Kebanyakan golongan yang berusia 25 hingga 35 tahun sekarang, adalah generasi Tun Dr Mahathir Mohamad. Generasi Wawasan 2020. Generasi di mana di sekolah, kami diajar negara ini akan menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Dan terus terang, mengikut pemerhatian saya ini, ramai di kalangan mereka ini sebenarnya rindukan zaman pemerintahan Dr Mahathir, yang walaupun saya akui sangat represif terutamanya pada pembangkang, tetapi pada zaman itulah, ekonomi Malaysia dalam keadaan terbaik dalam sejarahnya.

Dr Mahathir adalah seorang yang bernasib baik. Ketika pergelutan antara beliau dengan Tengku Razaleigh Hamzah sekitar penghujung 1980an, Malaysia dan negara-negara "vassal state" kepada Amerika Syarikat (AS) mengalami krisis ekonomi, dan ketika krisis ekonomi itu berlaku, pergelutan politik ini pada akhirnya dimenangi oleh Dr Mahathir.

Kemudian pada 1990an, ekonomi dunia, terutamanya negara yang pro AS mengalami kemakmuran ekonomi.

Kesatuan Soviet runtuh, dan AS menjadi satu-satunya kuasa besar di muka bumi ini.

Dan pada ketika itulah, Dr Mahathir dilihat sebagai seorang “wira Selatan-Selatan” kerana kemajuan ekonomi Malaysia pada ketika itu, banyak dilihat sebagai contoh kepada negara dunia ke-3 yang lain.

Pada zaman kemakmuran itulah, kami semua membesar. Kami merasakan kemakmuran negara ini dan lagu-lagu patriotik seperti "Wawasan 2020", "Setia", dan "Sejahtera Malaysia" benar-benar memaksudkan lirik lagunya.

Semua orang pada masa itu yakin, Malaysia akan menjadi negara maju menjelang 2020. Pilihan raya 1995, Barisan Nasional menang undi popular paling tinggi dalam sejarah (undi popular Barisan Nasional pada 1995 – 65.2%, manakala 2004 – 63.9%).

Hinggalah tibanya krisis ekonomi Asia 1997. Pergolakan politik juga berlaku semenjak itu, terutamanya 1998, dan mulalah muncul ketidakpuasan hati ke atas Dr Mahathir dan dasar represifnya.

Dan selepas Dr Mahathir digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan kemudian selepas tsunami politik 2008, digantikan oleh Datuk Seri Najib Razak, ramai di kalangan rakyat merasa nostalgia dalam pentadbiran Dr Mahathir.

Sebab itu, ramai di kalangan peserta Bersih 4 cukup gembira apabila Dr Mahathir turun ke padang memberi sokongan bagi mereka.

Mereka bernostalgia dengan kemakmuran 1990an, dengan harapan kalau dalam “peperangan politik” ini berpihak pada Dr Mahathir, keadaan akan kembali ke 1990an dulu.

Tak mungkin! Kalau katakan Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bergandingan sekali lagi berganding bahu menjadi perdana menteri dan timbalannya sekalipun, pada masa ini, keadaan tidak sama seperti dulu.

Dunia dalam keadaan huru-hara. Di Eropah, krisis pelarian Syria dan Libya sedang berlaku. Di AS, keadaan masih belum pulih daripada krisis subprima 2007-08, China sedang perlahan pertumbuhan ekonominya. 

Sentimen yang ada sekarang ialah orang rindukan kemakmuran di masa itu. Ramai yang mahu kembali ke zaman itu. Dengan Dr Mahathir turun ke demonstrasi, mereka berharap beliau mengetuai mereka dalam berlawan dengan pentadbiran Najib yang tidak mereka sukai.

Ya, tiba-tiba lamunan saya terhenti dan saya kembali ke peperiksaan UPSR tadi. Tahun 1996 adalah kali terakhir pencapaian ekonomi negara paling memberangsangkan. Sejak krisis ekonomi Asia, negara kita tidak pernah capai pencapaian rekod seperti pada era 1990an.

Semasa saya menghadapi peperiksaan UPSR, saya inginkan sebuah “game Nintendo” jika saya mendapat 4A, kalau 3A, saya akan dapat “brick game”. Pada masa itu, ibu bapa saya mampu membeli semua itu.

Sekarang ini, saya ada terdengar janji seorang ayah yang dia akan membelikan anaknya telefon bimbit iPhone 6+ jika lulus cemerlang UPSR.

Dalam keadaan ekonomi macam ni, saya fikir mungkin ia bakal menghampakan anaknya kerana dalam keadaan ekonomi sekarang, dengan ringgit yang nilainya semakin jatuh, semakin sukar untuk ayahnya mengotakan janjinya.

Generasi akan datang mungkin generasi yang putus harapan dengan janji-janji. 

Apapun, saya mengucapkan kepada semua bakal “bro” dan “sis” yang menghadapi peperiksaan UPSR ini, semoga maju jaya hendaknya. – 11 September, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments