Opinion

Sikit-sikit Zionis, sikit-sikit Freemason, apa nak jadi orang Melayu ni!

Kisahnya, lampu pada poster gambar mantan Perdana Menteri dan Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad lampunya rosak, mengakibatkan gambarnya gelap di waktu malam.

Kebetulan pula, mantan perdana menteri itu sedang rancak mengkritik perdana menteri sekarang, Datuk Seri Najib Razak.

Maka berlakulah ribut puting beliung dalam media sosial yang mengatakan ini adalah tanda pemerintah sekarang tidak suka dengan tindak tanduk Dr Mahathir, lalu “memadamkan” gambarnya, sekali gus seolah-olah tidak mengiktiraf sumbangan mantan perdana menteri itu dalam parti tersebut.

Bagi saya ia mungkin hanya satu kebetulan, kalau nak rosak, rosaklah. Tak ada isu di sini.

Lalu, setiausaha agung parti itu, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, mengatakan ini satu pembohongan yang sedang dijalankan oleh CIA, Yahudi dan Nasrani.

Astaghfirullahalazim! Begitu taksubnya orang Melayu ini menuduh orang Yahudi buat kerja jahat.

Dan yang bercakap ini bukannya calang-calang orang. Dia seorang setiausaha agung parti yang paling berkuasa di Malaysia, dan seorang menteri yang menjaga hal ehwal Wilayah Persekutuan (yang rakyatnya membayar cukai tapi tidak mempunyai kuasa untuk memilih pemimpin), wilayah ibu negara dan pusat pentadbiran persekutuan.

Ketika ini saya berada di Bandung, Indonesia, dan apabila berita itu terkeluar, saya terus tunjukkan berita itu pada teman saya di sini.

"Orang Malaysia ini gila isim ya? Kok lampunya rosak dituduh kerja Yahudi?"

Katanya lagi, silap-silap jika terpijak tahi ayam, dituduhnya ayam itu sebagai Yahudi.

Saya mengeluh, alangkah malangnya orang Melayu ini, sudahlah dibodohkan oleh “haraminator-haraminator” agama yang sikit-sikit haram, sana sini haram, kita ditakut-takutkan pula dengan Yahudi.

Seolah-olah Yahudi ini tidak ada kerja lain selain menyusahkan orang Melayu.

Bait lirik lagu daripada M Nasir berjudul "Bukalah Hatimu" ada berkata: "Salahkan Zionis, atau Freemason, salahkan Nazi dan Klu Klux Klan, salahkan orang tua, salahkan sejarah, salahkan semuanya, tapi bukan dirimu".

Ternyata orang Melayu kini tak ubah seperti belalang di tepi lautan, hidup tapi macam segan-segan, takut, dan hilang arah tuju kerana mengikut kata si bodoh, “si haraminator”, dan si penuduh Yahudi. – 27 Jun, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments