Opinion

Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin

Pertama sekali saya ingin mengucapkan takziah kepada mangsa kemalangan kapal terbang MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada minggu lalu.

Sudah pasti Aidilfitri tahun ini adalah Aidilfitri paling sukar bagi ahli keluarga, rakan dan taulan yang rapat dengan mangsa kejadian kehilangan MH370 dan kemalangan MH17.

Dan sudah pasti ia satu tahun yang amat suram bagi kakitangan Malaysian Airlines (MAS), terlibat dengan dua tragedi besar dalam satu tahun.

Saya juga mahu mengucapkan "semoga berjaya" kepada semua atlet-atlet negara di temasya Sukan Komanwel Glasgow 2014.

Ada juga atlet beragama Islam yang akan bertarung pada kejohanan itu, tidak dapat menyambut hari raya bersama keluarga.

Semoga pengorbanan mereka diakhiri dengan kejayaan.

Saya ingin memohon maaf kepada semua pembaca dalam ruang pojok saya ini, terutamanya pada yang mungkin marah atau kecewa dengan pandangan saya dalam ruangan ini.

Saya juga ingin memohon maaf kepada semua yang pernah saya lakukan kesalahan selama ini, kepada ibu bapa, kawan-kawan, atau kenalan.

Hari Raya Aidilfitri kali ini saya tidak pulang ke rumah halaman kerana ibu bapa saya sendiri pun bekerja, jadi saya beraya bersama sahabat yang sebatang kara di Selama, Perak.

Kepada mereka yang tidak dapat bercuti dalam musim perayaan ini, pengorbanan anda terhadap negara tidak akan dilupakan.

Tulisan kali ini, saya ingin meluahkan satu perasaan yang sudah lama terpendam.

Perasaan kekesalan tentang 29 hari raya dalam hidup saya selama ini.

Semasa kecil, perkara yang paling saya “look forward” ialah ada kertas warna apa yang diisi dalam sampul duit raya.

Kebahagiaan saya apabila mendapat kertas duit paling banyak, dan saya akan habiskan wang itu sama ada membeli permainan, atau benda-benda merepek.

Tapi saya tahu, kebahagiaan itu tidak lama.

Apabila saya sudah 22 raya (7 hari raya saya tidak menyambutnya kerana kecewa dengan kebahagiaan palsu saya selama ini), tahun ini saya mengharapkan satu kebahagiaan lain.

Yang tidak berbentuk kertas bernama wang, tapi ia “intangible”, iaitu kebahagiaan itu sendiri.

Sejak satu peristiwa hitam apabila saya kehilangan seseorang yang disayangi pada 2007, saya tidak melihat hari raya sebagai hari yang bermakna apa-apa lagi.

Hari raya, saya lihat – ia cuma hari cuti yang diletakkan pada kalendar dan tidak lebih daripada itu.

Sejak tahun itu, saya tidak pernah berminat untuk kunjung mengunjungi rumah sanak saudara atau sahabat handai untuk berhari raya.

Sebab saya kecewa, kebahagiaan itu sebenarnya tidak pernah wujud dengan kertas yang ada dalam dompet anda.

Ya, sudah pasti kertas itu mampu membeli makanan, membayar sewa rumah, dan menjalankan kehidupan kita – tapi itu bukan kebahagiaan. Itu keperluan.

Kebahagiaan itu adalah kita dapat menjaga keharmonian dan perhubungan sesama manusia.

Sebab itu apabila saya mendengar tragedi MH17 dan MH370, saya dapat merasakan perasaan orang yang kehilangan sahabat handai, kekasih, saudara mara atau ibu bapa, kerana saya juga mengalami perasaan yang sama pada 2007.

Mungkin ia mengambil masa lebih tujuh tahun untuk pulih sepenuhnya.

Bagaimana pula dengan mereka yang tidak pernah berpeluang menyambut hari raya? Di Gaza dan Tebing Barat misalnya, setiap masa diserang, dikepung, disekat, dihalang atau ada sahaja orang yang mati.

Bagaimana mereka menyambut Aidilfitri agaknya?

Tapi isu Gaza dan Tebing Barat ini bukan isu umat Islam semata-mata. Ini isu kemanusiaan.

Bagaimana pula dengan Arab Kristian menyambut Krismas bila setiap hari ada kematian di kalangan mereka? Yahudi yang menyambut Yom Kippur, yang tidak mahu berperang.

Yang mahukan keamanan tetapi terus kehilangan dan kematian rakan taulan dan saudara mara kerana ketamakan mereka yang berkuasa.

Selamat Hari Raya Aidilfitri semua. Yang memandu, pandulah dengan berhati-hati.

Maaf zahir dan batin daripada diri ini kepada semua yang saya kenal, sama ada yang masih hidup, atau yang sudah tiada.

Tahun ini – tahun ke-8 sejak dia tiada. Tahun ini saya cuba untuk berhari raya – bersama sahabat handai yang bersama selama ini. – 26 Julai, 2014.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments