Opinion

Penyakit ‘liberal Taman Tun’

Minggu ini saya membaca satu artikel di The Atlantic tentang pilihan raya di beberapa negeri di Amerika Syarikat, selain rakyat di Ohio menolak legalisasi ganja di negeri tersebut.

Sedangkan di Kanada, jirannya – perdana menteri barunya Justin Trudeau berjanji untuk meluluskan legalisasi ganja seluruh negara pada 20 April tahun hadapan.

Artikel dalam The Atlantic itu berkata, liberal kini sudah tewas dalam 'perang budaya', dan konservatif sudah kembali bertaring.

Antara puncanya ialah kerana liberal hanya dilihat melalak di Twitter, dan menjadi aktivis terhadap sesuatu isu, tetapi hanya sekadar mahu bercakap dan tidak lebih dari itu.

Apabila orang mempersoalkan sesuatu isu, mereka akan jadi defensif dengan mengatakan ini kehendak semua rakyat yang cintakan hak asasi manusia, tetapi pada akhirnya masyarakat terbawah tidak menyokong mereka pun.

Lalu mereka merasakan semua masalah mereka ialah masyarakat semua orang, dan masalah semua orang bukan masalah mereka.

Sindrom, atau penyakit ini saya banyak perhatikan di kawasan penduduk kawasan kelas menengah atas (the middle class), dan mereka sering melaungkan slogan-slogan sama ada di media massa, atau di media sosial.

Tetapi mereka hanya bergaul dengan kelompok mereka tanpa berminat untuk bercampur dengan majoriti penduduk dunia ini, golongan pendapatan rendah (the proletariat).

Golongan ini saya perhatikan ada banyak di sekitar kawasan Taman Tun, Bangsar, atau kawasan elit Petaling Jaya, yang tinggal di rumah yang nilainya jutalah juga, di kawasan prime area di ibu kota dan metropolitannya.

Mereka ini sama ada tinggal di gated community, bekerja sebagai professional di pejabat-pejabat multinasional terbesar, atau menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO).

Mereka sering bercakap tentang hak asasi manusia, tetapi tidak berani untuk mengkritik pencabul hak asasi manusia – kapitalis.

Lihat sajalah apabila ada isu kenaikan tol, atau tambang KTM, atau pengangkutan awam, mereka tidak ambil peduli dan ada juga yang berkata: "Biasalah, takkan semua kerajaan hendak tanggung".

Atau berkata: "It's cost of money vs time. If you want to spend less, wake up early and use alternative roads."

Dan mereka menggunakan Bahasa Inggeris untuk menyampaikan pandangan mereka kerana pada mereka, Bahasa Melayu ini bahasa yang tidak ilmiah, untuk membuktikan mereka ini seorang yang berilmu.

Tidak salah pun kalau mahir Bahasa Inggeris, bagus. Tetapi ada di kalangan mereka ini merasa berbahasa Melayu ini, bukan kelas mereka.

Agak kelakar juga dahulu saya pernah dengar cerita mereka ini masuk ke Felda untuk berkempen, tetapi berbahasa Inggeris kepada makcik-makcik dan atuk-atuk.

Mereka seolah-olah tidak berminat hendak ambil tahu kesusahan orang yang tinggal di bawah garis kemiskinan kota, mereka seolah-olah tidak berminat hendak tahu tentang apa masalah utama dunia sekarang – jurang pendapatan yang semakin melebar.

Mereka sering melaungkan isu seperti LGBT, isu hak asasi, isu wanita dan sebagainya. Kedengaran sangat baik, dan saya juga menyokong agar golongan ini dibela.

Tetapi mereka hanya bersuara jika LGBT itu seorang peguam yang berpendapatan lima angka itu seorang gay. Mereka tidak berminat hendak ambil tahu tentang tekanan perasaan seorang gay yang bekerja di kedai mamak.

Jika yang memperjuangkan wanita, kononnya, mereka hanya berkata tentang soal aurat, atau soal hak fasakh tuntut cerai saman bekas suami semua, tetapi mereka tidak ambil peduli pun pendapatan pekerja kilang wanita lebih rendah dari pendapatan yang lelaki.

Dan ini yang membuatkan orang merasa jelik dengan mereka yang so-called 'pejuang hak asasi manusia'.

Saya memerhatikan penyakit ini selepas sekian lama berkenal dan tahu tentang mereka ini. Tetapi mereka terus bersikap begitu, dan kalau perjuangan mereka gagal – senang saja, salahkan kerajaan.

Kerajaan kita mungkin bukan terbaik dari segi hak asasi manusia (atau mereka memang tidak berminat dengan benda ini), tetapi semua benda hendak salahkan mereka, tidak boleh lah juga.

Ada banyak diskriminasi dan pencabulan hak asasi dalam dunia ini, itu tidak dinafikan, tetapi, pencabulan hak asasi manusia ialah jurang pendapatan yang makin melebar.

Akhirnya, perut dulu baru falsafah ke atau benda-benda yang abstrak ni.

Saya ingin sekali menggunakan kata-kata mantan Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton semasa dia berkempen pilihan raya pada tahun 1992.

"It's economy, stupid."

Nota: bukan semua orang yang duduk di Taman Tun begitu. Ada segelintir saja orang yang begitu. Mungkin kerana setiap kali saya ke sana, saya akan terjumpa dengan orang yang sebegini. Minta maaf kepada mereka yang duduk di Taman Tun tetapi tidak berperangai begini. – 7 November, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments