Opinion

Pandangan saya tentang ‘cinta’

Semalam, saya ternampak dua orang pasangan suami isteri, bergaduh di cyber cafe, hanya kerana si isteri tidak tahu bagaimana untuk menggunakan Microsoft Word.

Si isteri, yang saya menjangkakan, menjadi kerani, mungkin admin kepada sebuah syarikat kecil, milik suaminya. Si isteri kemudiannya memanggil si suami, dan kebuntuan tentang masalah yang dihadapi pada komputernya.

Si suami, juga buta IT, terkial-kial mencari solusi, sambil mengherdik-herdik dan menghina isterinya. Pada akhirnya, si suami putus asa, dan hanya mengherdik isterinya.

Dua hari lepas pula, saya mendapat tahu dari seorang kenalan tentang kawannya yang masuk hospital, kerana teman lelakinya melibas kawan kenalan saya itu dengan besi panas.

Saya menggeleng-gelengkan kepala mendengar cerita itu. Ada juga manusia sampai ke tahap begitu.

Saya pernah menulis tentang betapa teruknya budaya Melayu melayan kaum wanita.

Saya juga, akui kadang-kadang, di dalam korteks serebrum saya, ada lagi cebisan atau pemikiran reptilia yang ada dari evolusi berjuta-juta tahunnya.

Perasaan ego, tidak mahu mengaku salah, selalu merendahkan orang lain – adalah sifat dari alam jurasik.

Dan kita, masih lagi ada sedikit reptilia dalam pemikiran kita.

Ramai daripada kalangan kita melihat cinta itu seperti tugas. Cinta perlu hadir daripada rutin. Seperti jadual waktu di sekolah. Perlu diindoktrinkan dan dipaksa.

Akhirnya siri mencari cinta ini seperti siri mencari kerja. Ramai melihat cinta ini sebagai tugas, seperti kerja, untuk memastikan hidup ini lengkap.

Kebanyakan mereka daripada kelas ini apabila bercinta, selalunya mereka kenal hanya beberapa bulan sahaja, jatuh cinta, terus ke jinjang pelamin. Belang sisik reptilia pasangan masing-masing masih belum kelihatan.

Cinta adalah satu semangat, bukan tugas. Cinta adalah satu perasaan lahiriah kita untuk saling menyentuh rasa gembira, duka, dan ingin tahu bersama. Cinta bukan peraturan atau undang-undang. Cinta bukan pemilikan.

Bertanggungjawab, dengan tugas adalah dua perkara yang berbeza.

Adalah menyedihkan saya apabila saya melihat masyarakat hari ini melihat cinta sebagai tugas. Apabila cinta itu dilihat sebagai tugas, maka cinta itu sudah gagal asal tujuannya.

Sifat reptilia ini terus ada dalam masyarakat kita, terutamanya dalam masyarakat kita yang terus-menerus merendahkan martabat wanita.

Lelaki sering merasakan diri mereka sebagai ketua, atau khalifah dan perempuan harus patuh dengannya, tapi tidak sedar diri lelaki ini, yang mereka ini datang daripada rahim wanita.

Cinta bukan satu kuasa kemusnahan. Cinta bukan satu bentuk penyembahan, atau penghambaan. Cinta bersifat bebas dan tenang, gembira dan seronok. Ia bukan satu sifat tekanan, keinginan dan penaklukan.

Cinta adalah satu kolektif memori, yang dikongsi bersama yang tersayang, tanpa prajudis atau dogma, cuma berkongsi sama rasa. – 17 Mei, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments