Opinion

Menteri, ahli akademik dan patung tanah liat maharaja

Pada minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengadakan satu rombakan Kabinet yang pada akhirnya, tiada rombakan Kabinet - sebaliknya pertambahan ahli Kabinet menteri.

Tiga menteri penuh dan tiga timbalan menteri – yang semuanya berbangsa Cina dan merupakan ahli MCA dan seorang daripada Gerakan.

Sementara itu, seorang ahli akademik bernama Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman, yang merupakan pengarah UMcedel – Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya, diarahkan meletak jawatan kerana tidak berpihak kepada kerajaan dalam kajiannya.

Semasa saya masih lagi budak sekolah, saya ada seorang kawan yang bodoh dan sombong. Apabila ditegur, dia melenting dan mengatakan dia paling benar dan betul.

Dia akan hanya mendengar cadangan daripada orang yang hanya mahu mengipas dan membodek dia sahaja, cadangan yang mengkritik akan terus ditolak.

Jadi, satu hari saya bertengkar dengan kawan saya ini, kerana dia melakukan satu kesalahan kepada saya, saya cuma dia mahu minta maaf, itu sahaja.

Tetapi, dia lebih gemar untuk besarkan 'minda reptilia' dan ego diri semata-mata, lebih rela untuk tidak berkawan dengan saya dan memilih kawan yang membodek-bodeknya sahaja.

Jadi, saya biarkan dia dan kawan-kawan kaki bodeknya -– sehinggalah satu hari selepas beberapa tahun, dia mahu kembali berkawan dengan saya, kerana saya bercakap perkara yang benar dan dia menyesal berkawan dengan 'rakan-rakan' kaki bodeknya.

Apabila saya tanya mengapa dia menjawab – sepanjang dia berkawan dengan kaki bodek-kaki bodek ini, asyik dia sahaja yang belanja kawan-kawan dan seolah-olah dia merasakan dirinya diperalat mereka.

Saya hanya menggelakkan dia, dan memaafkannya.

Berbalik pada situasi sekarang, kepimpinan dalam kerajaan sekarang ini hanya mahu mengambil "kaki bodek" semata-mata dan akan memecat sesiapa yang mengkritik kerajaan.

"Minda reptilia" dan ego pemimpin ini menyusahkan semua orang kerana urusan yang mereka lakukan ini melibatkan kepentingan rakyat.

Jadi jika kepimpinan negara ini lebih membesarkan "minda reptilia" dan ego sendiri, apakah mereka ini lupa yang kedudukan mereka di atas itu kerana undi daripada rakyat?

Ini mengingatkan saya kepada tentera tanah liat maharaja Qin Shi Shuang yang ditemui di China pada sekitar tahun 1970-an dulu.

Maharaja Qin ini dikenali sebagai seorang yang sangat zalim dan akan menghukum sesiapa sahaja yang menentangnya, walaupun penasihatnya sendiri.

Akibatnya dia dikelilingi oleh golongan kaki bodek dan kerajaannya dipenuhi dengan pegawai yang korup, dan mangkat dengan dikelilingi oleh tentera tanah liatnya.

Jadi, adakah kerajaan kita ini mahu kembali ke zaman Qin Shi Shuang, dengan hanya mahu melantik kaki bodek dan menghukum mereka yang mahu bercakap benar?

Mungkin ini agak puitis - tetapi mungkin tindakan yang diadakan oleh kerajaan sekarang ini seperti meletakkan "tentera tanah liat" dalam kabinet dan menyingkirkan para sarjana, sama seperti Qin Shi Shuang lakukan dahulu.

A Kadir Jasin di dalam blognya juga berkata tentang saiz Kabinet yang terlalu besar, melebihi jumlah purata di seluruh dunia.

"Mengikut laporan 2011 itu lagi, purata bilangan ahli Kabinet negara di dunia adalah 30. Jadi dengan 35 orang, kita“berjaya” mengatasi purata dunia.

Oleh sebab perdana menteri suka besar maka kita pun berhak untuk berharapan besar juga.

Jadi harapan XXL kita adalah  kabinet XXL Mohd Najib akan membawa manfaat XXL kepada rakyat jelata.

Rugi XXL lah kita kalau kabinet XXL itu sekadar meramaikan majlis dan menghabiskan beras saja," kata beliau dalam blognya.

Jadi, kepada pemimpin yang memimpin negara ini, tanyalah diri sendiri, apakah sekeliling kamu adalah penasihat yang bagus, atau hanya "tentera tanah liat" kamu? – 5 Julai, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments