Opinion

Melayu dan cerita DNA babi

Baru-baru ini, umat Islam digemparkan dengan penemuan DNA babi (porcine) pada coklat susu dengan kacang hazel Cadbury, menyebabkan ia menjadi satu isu yang hangat dibincangkan di laman sosial.

Mereka yang belajar agama tidak tinggi mula bercerita tentang hukum-hakam, mereka yang belajar sains tidak tinggi mula bercakap tentang betapa bahayanya DNA babi ini seolah-olah ia virus membunuh.

Ada pula NGO-NGO Melayu sampai buat kenyataan seperti manusia hilang akal - mahu menukar darah kerana bercampur dengan DNA babi apabila memakan coklat Cadbury.

Tetapi bagi saya, perkara ini sudah berulang-ulang kali berlaku – daripada cerita barangan kosmetik jenama antarabangsa yang dikatakan mengandungi uri ibu pada penghujung 1980-an dahulu, hinggalah ke Starbucks, dan banyak lagi produk yang dikatakan ada unsur-unsur "haram" ini.

Memori saya paling awal tentang produk yang dikatakan mengandungi bahan-bahan "haram" ini seawal saya berusia 5 atau 6 tahun apabila ada desas-desus sebuah produk makanan ringan kanak-kanak dikatakan mengandungi lemak babi.

Saya perhatikan, setiap kali sesuatu produk antarabangsa dikatakan mengandungi bahan-bahan "haram" seperti DNA babi, produk itu mula ditarik daripada pasaran, dan menyebabkan produk itu sepi seketika.

Dalam masa beberapa bulan kemudian, muncullah syarikat bumiputera Melayu-Islam akan membuat satu produk yang sama dengan mantra "halal" dan "gunakan tanpa was-was".

Mungkin ia satu kebetulan.

Tetapi, saya ingin bertanya kepada semua, dalam keghairahan orang mencari DNA babi, saya mahu mereka bertanya diri mereka semua dengan jujur - apakah mereka sebetulnya faham dengan apakah itu DNA?

DNA adalah molekul yang terbentuk untuk menjadi kod kepada sel-sel untuk membentuk organisme - daripada virus hingga ke babi, daripada zirafah ke gajah, daripada gorila ke manusia.

Persoalan saya ialah kenapa kebanyakan umat Islam - terutamanya sejak akhir-akhir ini yang bising tentang kewujudan DNA babi - kenapa bersikap 'cherry picking' dalam sains?

Kenapa kecoh tentang DNA babi, tetapi tidak mahu mengambil tahu tentang DNA yang dapat mencari dari mana asal-usul manusia?

Kenapa hanya mengambil sains ketika untuk mewajarkan sesuatu dan tidak mahu mendalami keseluruhan isi dalam sains?

Apabila para saintis mengemukakan sesuatu hujah berlandaskan hukum sains, yang bercanggah dengan dogma mereka - mereka dengan mudah menepis hujah para saintis tersebut dengan melabel mereka sebagai "saintis Yahudi" atau "saintis Barat yang cuba menyeleweng".

Tetapi apabila bercerita tentang DNA babi - pandai pula menggunakan hujah "saintis Yahudi dan Barat yang cuba menyeleweng" ini.

Kenapa hanya pilih beberapa babak dalam sains - sedangkan sains ini luas - tiada penghujung dan tiada bertebing, tiada bersempadan dengan yang lain.

Percayalah, cerita DNA babi ini pun hanya kecoh selepas Jakim mengatakan produk coklat Cadbury ini mengandungi DNA babi.

Yang Jakim tidak sebut, macam mana? Bagaimana hendak tahu yang mana ada babi, yang mana tiada babi?

Takkan hanya Jakim sahaja yang mengetahui segala jenis produk yang mana ada babi yang mana tidak ada babi? – 31 Mei, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments