Opinion

Mari melihat musibah dengan pemikiran saintifik

Pertama sekali, saya berharap mereka yang terlibat dalam banjir melanda di pantai timur supaya tabah menghadapi dugaan dan kita berharap agar mereka terselamat.

Walaupun angin di Malaysia pada amnya lemah dan arahnya berubah-ubah, terdapat perubahan bertempoh dalam corak tiupan angin. Berdasarkan kepada perubahan ini, empat musim boleh dibezakan iaitu monsun barat daya, monsun timur laut dan dua musim peralihan monsun yang lebih pendek.

Monsun timur laut biasanya bermula pada awal November dan berakhir pada Mac. Semasa musim ini, angin lazim adalah dari arah timur atau timur laut dengan kelajuan antara 10 dan 20 knot. Negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia lebih terjejas dengan tiupan angin ini di mana kelajuannya boleh mencapai 30 knot atau lebih semasa luruan kuat udara sejuk dari utara (luruan sejuk).

Jadi, melihat kepada ini, kita semua sedia maklum ini adalah bencana bermusim dan setiap tahun, tidak kira dari segi pihak kerajaan, mahupun pihak penduduk sendiri, sudah bersedia yang musim banjir akan tiba.

Tetapi, terdapat cakap-cakap yang banjir ini berlaku kerana Tuhan menurunkan musibah kepada mereka yang alpa dan ingkar kepadanya.

Macamlah dekat tempat lain tak ada orang ingkar dan lupa dengan Tuhan.

Lalu dibuatlah majlis solat hajat memohon pada Tuhan agar dikurangkan hujan dan lebih ramai nyawa akan terselamat.

Nak solat hajat itu bagi saya tidak salah, baguslah kalau rasa nak buat. Tetapi, dalam kita menadah tangan mendoakan agar musibah ini tidak semakin teruk, saya ingin bertanya, apa punca banjir yang begini teruk?

Adakah sebab Tuhan murka kita melupakanNya? Tidak, sebab manusia meneroka tanah, menebang pokok-pokok hutan di kawasan tadahan hujan.

Apabila hujan berlaku, pokok-pokok hutan di pergunungan inilah yang memperlahankan air hujan dan sempat bumi menyerap air hujan sebelum ia mengalir ke sungai.

Dan bagaimana pula dengan musibah yang kerap berlaku sejak akhir-akhir ini? Tanah runtuh, banjir, dan bermacam-macam lagi.

Musibah ini berlaku kerana manusia sibuk menarah muka bumi ini bagi tujuan keuntungan dan industri. Dan apabila ia sudah melebihi had, maka musibah akan berlaku.

Ini bukan soal kita melupakan Tuhan atau tidak. Ini soal kita melupakan yang kita cuma ada satu planet iaitu planet bumi kita ini.

Apakah dengan solat hajat, tetapi kita terus menarah bumi ini hingga botak, kita akan terselamat?

Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu kecuali kaum itu sendiri mengubahnya. Kalau manusia tidak mahu berubah tentang bagaimana kita menjaga planet ini, maka solat hajat macam mana pun keadaan tidak akan berubah. Banjir akan tetap banjir, musibah akan tetap berlaku.

Kalau pada beberapa ribu tahun yang lepas, di mana pengetahuan sains manusia pada masa itu terbatas, apabila berlaku musibah seperti banjir, maka masyarakat di situ terus mengatakan Tuhan murka, maka perlu lakukan sesuatu untuk memuaskan hati Tuhan.

Tapi pada masa itu manusia tidak tahu apa punca petir dan guruh, manusia tak tahu kenapa hujan turun, dan manusia tidak ada pengetahuan saintifik mengenal alam ini. Pada masa itu manusia menganggap bumi ini rata.

Tapi kini semuanya dah berubah. Pengetahuan sains manusia pada hari ini jauh lebih tinggi dan manusia kini sudah menjelajah ke angkasa. Manusia dah beratus tahun mengkaji tentang bumi ini.

Takkan nak kata ini semua masih bala Tuhan? Kalau sikit-sikit Tuhan marah, mana pergi sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim yang selalu dikatakan itu? – 27 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments