Opinion

Malaysia dan politik sosok peribadi

Minggu ini, perdana menteri dari parti yang dilantik oleh 47% rakyat Malaysia menggugurkan timbalan perdana menteri dan beberapa menteri yang lain, dan menggantikan dengan beberapa muka lama dan muka baru dalam rombakan Kabinet.

Jika saya menggunakan perkataan “pecat” sudah pasti itu satu perkataan yang keras, sama keras seperti peristiwa pada 1998 di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri.

Pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatannya ini dikatakan kerana kritikan keras beliau terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta isu-isu yang dibangkitkan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika peristiwa ini berlaku, ramai di kalangan kawan saya berseloroh, pada satu lagi “parallel universe” yang berasingan, Muhyiddin sedang merancang untuk membuat demonstrasi dengan mengumpulkan 100,000 penyokong di hadapan Masjid Negara selepas solat Jumaat.

Malah, ramai juga di kalangan kawan juga berkata, jika Muhyiddin mampu melakukan perkara yang sama seperti Anwar lakukan pada 1998, sudah pasti kerajaan sudah mampu bergoyang.

Tetapi Muhyiddin bukan Anwar, dan Najib bukan Mahathir.

Krisis politik terjadi apabila berlakunya krisis ekonomi, mengikut pengamatan saya. Semasa kemelesetan ekonomi penghujung 1980an, juga berlaku krisis politik.

Krisis Ekonomi Asia pada penghujung 1990an, juga berlaku krisis politik. Krisis ekonomi dunia penghujung 2000an, juga mengakibatkan krisis politik.

Sebenarnya krisis ekonomi dunia sejak dari zaman bekas Presiden Amerika Syarikat George W Bush belum pernah pulih walaupun Barack Obama sudah 7 tahun melakukan “perubahan”.

Oleh itu, kita lihat krisis politik tidak pernah pulih kerana krisis ekonomi juga tidak pernah pulih, bahkan semakin parah.

Analisis politik tanpa analisis ekonomi adalah satu analisis yang gagal. Tetapi ramai di kalangan kita sering melihat sosok peribadi seseorang untuk menganalisis politik.

Ramai di kalangan kita berkata, jika sosok “sipolan bin sipolan” ini menjadi pemimpin tertinggi negara, maka politik kita akan kembali pulih, ekonomi juga akan pulih.

Sosok ini dipuja-puja oleh penyokong-penyokongnya, dengan mengatakan sosok ini lebih baik dari sosok itu, dan kita tidak putus-putus dengan bermentaliti feudal.

Hakikatnya sosok ini, baik Anwar mahupun Mahathir, atau Muhyiddin, atau Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Najib, mereka ini cuma seorang ahli politik.

Kuntau dan auta mereka cuma untuk kalian rakyat semua percaya dan diterjemahkan dalam bentuk undi, lalu membenarkan mereka terus berkuasa.

Jika katakan ada timbul satu gerakan untuk membuat demonstrasi, ia mesti kena muncul daripada sokongan puak dari sosok peribadi tertentu.

Perlu ada pemimpin parti politik, kena ada arahan dari orang tertentu, kena pakai baju kuning ramai-ramai, kena duduk bantah beramai-ramai, barulah orang hendak turun berdemo.

Kalau penunjuk perasaan anarkis yang tidak akan terima sebarang arahan dari mana-mana sosok itu, kalian semua akan kritik mereka dan anggap sebagai pengacau.

Apa ini? Di mana fikiran kita sebagai seorang rakyat? Takkan hendak kena gerak oleh sosok tertentu baru hendak bergerak?

Saya mendengar satu perhimpunan akan dilakukan pada penghujung Ogos ini, mendesak agar Najib meletak jawatan. Dengar kata ramai yang akan turun.

Sebab dapat arahan dari pemimpin parti baharu turun? Malaysia dan politik feudal angguk-angguk geleng-geleng masih lagi belum berpisah. – 1 Ogos, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments