Opinion

KTM naik harga, kanak-kanak tiada diskaun demi sijil halal?

Bulan ini menyaksikan peningkatan harga tambang pengangkutan awam sehingga 2 kali ganda daripada harga sebelumnya.

Harga tambang ERL meningkat dari RM35 kepada RM55 dari KL Sentral ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), begitu juga dengan harga LRT, dan harga KTM Komuter yang meningkat dua kali ganda mengikut perkiraan saya.

Bagi seorang yang tidak berkereta dan bergantung penuh pada pengangkutan awam seperti saya, kenaikan harga tambang ini sudah pastilah membebankan.

Apa boleh buat, kan?

Tapi peningkatan harga tambang yang mendadak serta mengenakan harga penuh kepada kanak-kanak berusia 7 tahun ke atas, bagi saya amat mengecewakan.

Tak kisahlah kalau orang tua kena harga penuh dan kena tanggung banyak benda, tapi kanak-kanak pun syarikat ni nak buli juga ke?

Paling best, kenyataan ini dibuat kurang 24 jam selepas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengeluarkan kenyataan keras supaya jangan menaikkan harga barang lagi.

(nota: saya nampak macam ada sandiwara)

Tetapi, KTM juga kini mengejar status sebagai sebuah syarikat kereta api halal pertama di dunia yang orang Arab sebagai penganut terawal Islam pun tak pernah pun terfikir nak buat ini.

Melayu boleh! Dengan status ini kita akan mempunyai syarikat kereta api halal pertama di dunia dan sudah pastilah orang Melayu-Islam di negara ini akan berbangga.

Tetapi tidak. Status ini tidak membawa makna apa-apa pun bagi pengguna pengangkutan awam tegar seperti saya ini.

Apakah kenaikan harga tambang, diskaun kanak-kanak 7 tahun ke atas dimansuhkan dan semua ini kerana untuk mendapatkan sijil perakuan halal?

Saya pun tak faham kenapa KTM nak sangat kejar benda ni? Selama ni dalam kereta api ada orang masak babi ke?

Saya pernah menaiki kereta api antara bandar dan kalau saya makan pun di dalam kereta api, selain saya makan asal kenyang dan tak peduli langsung apa rasanya kerana tak pernahnya sedap, saya juga boleh membeli roti di stesen kereta api kalau waswas ada babi dalam makanan yang disediakan KTM.

Tapi bukan itu yang saya fikirkan semasa saya di dalam kereta api (atau di stesen kereta api).

Apa yang saya fikirkan ialah ketepatan masa dan keselesaan. Itu saja.

Peduli apa pasal makanan pun, dan kita bercerita tentang soal KTM komuter pula, setahu saya ada label di cermin kereta api mengatakan dilarang untuk makan dan minum.

Kalau saya dari KL Sentral, mahu ke Seremban, misalnya, apakah saya tak boleh tunggu sejam setengah untuk saya turun di stesen dan makan, dan kalau dah kritikal sangat laparnya, tak boleh ke saya makan dulu di stesen?

Dah tu, apa benda sangat nak kejar status kereta api halal ni?

Lebih baik fikirkan tentang soal ketepatan masa, soal perkhidmatan yang lebih baik serta frekuensi yang lebih kerap daripada nak fikirkan soal sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Karang kalau pengguna rasa marah dan tak halalkan kenaikan tambang tu, sia-sia la dapat sijil daripada Jakim sekali pun.

Oh, tunggu kejap, adakah KTM peduli pun kenaikan tambang tu tidak dihalalkan penumpang yang menaiki kereta api mereka? Dengan perkhidmatan yang tidak setara dengan kenaikan harga tambang?

Jangan lepas ni Google harga tambang kereta api negara lain dan bandingkan dengan pendapatan lepas tu keluarkan kenyataan di media mengatakan "tambang kereta api masih murah berbanding negara lain", sudahlah.

Sebab kami bukan peduli tentang harga. Kami peduli tentang apakah harga yang dibayar tu setimpal atau tak dengan perkhidmatan yang diberi tu. – 12 Disember, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments