Opinion

Klate Pop adalah muzik pop berakarkan tradisi tempatan

Baru-baru ini, saya telah ke Kelantan bersama kawan-kawan untuk melawat seorang lagi kawan yang tinggal di sana.

Setiap kali apabila terlintas fikiran saya terhadap Kelantan, saya teringat beberapa perkara; seperti budu, wau bulan dan pasukan bolasepaknya yang mengungguli bolasepak negara sekitar awal dekad 2010-an.

Tetapi kali ini saya mahu menulis tentang “Klate Pop,” atau dikir barat moden yang popular di kalangan anak-anak Kelantan dan selatan Thailand.

Semasa saya bekerja sebagai wartawan, bos saya pernah mencadangkan saya untuk menulis fenomena "Klate Pop," tetapi hanya sekarang saya berkesempatan untuk menulis tentang genre ini.

Kali pertama saya mendengar dikir barat moden ini apabila saya di asrama di universiti saya di USM.

Ketika di universiti, saya ada ramai kawan-kawan dari negeri itu sehinggakan saya rasa mereka ini berasal dari banyak tempat di Kelantan seperti Tanah Merah, Jeli, Gua Musang, Machang, Pengkalan Chepa, Pasir Puteh dan sebagainya.

Keunikan loghat mereka disamping bangga dengan negeri tercinta mereka dapat dizahirkan dengan mereka mencintai setiap aspek yang berasal dari Kelantan.

Dengan pertembungan idea-idea moden dengan jati diri anak negeri, maka terhasillah apa yang dipanggil sebagai “Klate Pop.”

Antara artis-artis popular dengan genre ini, yang saya kenal setakat ini ialah seperti Man Khan, Rosalinda, dan Dik Wani, yang merupakan menjadi pujaan peminat di negeri ini.

Cd-cd dari album-album mereka ini laku keras, dan saya mendapat tahu yang jualan album mereka berjumlah 40,000 unit, hanya di Kelantan sahaja.

Itu belum lagi dikira dari luar, terutamanya anak perantauan Kelantan yang berada di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Sejajar dengan peredaran zaman, mereka juga bergaya seperti penyanyi zaman moden kontemporari, dan mereka menyanyikan lagu-lagu mereka hasil dari “cover” lagu-lagu popular Barat dan juga lagu-lagu popular dalam negara ini, cuma ia dinyanyikan dalam loghat Kelantan.

Apabila Rosalinda namanya meletup dengan lagu “Welcome to Malaysia, Ladies Gentleman,” ada ramai penduduk di luar Kelantan tidak memahami dengan nyanyian loghat Kelantannya.

Tetapi ada ramai juga di kalangan kita yang menyanyi lagu K-Pop dari Korea Selatan yang ada di antaranya tak faham pun bahasa Korea.

Jadi, saya rasa perbezaan bahasa atau loghat itu bukanlah masalah memandangkan muzik itu bahasanya bersifat universal.

Semasa saya melawat ke uptown Wakaf Che Yeh, di tengah pusat bandar Kota Bharu, saya lihat orang ramai berpusu-pusu membeli barangan dan berniaga seperti biasa, walaupun baru sahaja dilanda banjir besar yang merosakkan infrastruktur negeri ini pada bulan lalu.

Begitu juga dengan peniaga CD "Klate Pop" ini, mereka masih lagi berniaga dan orang masih rancak membeli.

Dan saya perhatikan semua album yang dijual adalah asli dan bukannya cetak rompak.

Menurut kawan saya yang tinggal di Machang itu berkata, orang Kelantan menjaga kualiti seni mereka sehinggakan mereka sanggup membeli yang asli.

Katanya ini sebagai satu tanda sokongan mereka terhadap industri ini.

Banyak cover dari lagu Barat yang ditukar liriknya, mengingatkan saya terhadap artis kaki parodi, Weird Al Yankovic.

Saya merasakan seni pop loghat negeri ini bukan sahaja berlaku di Kelantan, bahkan negeri-negeri lain seperti Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, dan loghat negeri-negeri di utara juga mula berkembang.

Mungkin selepas ini penyanyi-penyanyi genre “Klate Pop” ini ada harapan untuk menuju arah pasaran yang lebih luas, terutamanya di negara ini, dan mungkin akan melangkah ke Juara Lagu.

Mungkin syarikat rakaman besar di negara ini sudah boleh memikirkan bagaimana pop loghat daerah sebagai satu genre baru, mengatasi ketepuan dengan pop balada jiwang leleh dan kelesuan dalam industri seni muzik negara. – 28 Februari, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments