Opinion

Kisah pegawai kerajaan yang ada 2 kerja

Selamat tahun baharu semua! Saya ingin memulakan tahun 2016 dengan sebuah cerita. Cerita tentang seorang pegawai kerajaan yang ada 2 kerja.

Seperti saranan Datuk Ahmad Maslan mengenai masyarakat pasca moden yang penuh mencabar ini, makanya orang bekerja 2 kerja untuk menampung kehidupan itu, biasa.

Kisahnya begini, baru-baru ini, saya menemani seorang kawan saya yang mahu membeli perisa vape.

Saya bosan dan tidak tahu hendak buat apa, dan dia ajak saya untuk pergi menemaninya membeli perisa vape daripada seorang kenalan yang dikenali di Facebook.

Jadi, saya pun mengikutlah kawan saya untuk pergi bertemu dengan kenalan Facebooknya itu. Saya tanya: "kenapa tidak beli saja dekat kedai vape yang bersepah di ibu kota ni?"

Katanya, perisa vape yang dijual oleh kenalannya itu lebih banyak perisanya. Saya tidak layan vape, jadi saya pun terima saja jawapannya bulat-bulat tanpa banyak cerita.

Kami tiba di tempat yang dijanjikan pada jam 2:30 petang, di sebuah kawasan kedai makan berhampiran dengan pusat pentadbiran persekutuan.

Seorang lelaki dengan memakai pakaian pejabat tiba di tempat dijanjikan 15 minit selepas kami tiba. Kami bersalaman.

Dia menjual perisa vape sekitar RM40 hingga RM50, bergantung kepada permintaan.

Kawan saya meneliti beberapa botol perisa vape, lalu saya terfikir untuk bertanya kepada kenalan kawan saya itu.

"Dari mana?"

"Pejabat, ini tengah kerjalah ni," katanya tersenyum.

"Oh, tak apa ke keluar, buat kerja lain?" tanya saya balik.

"Tak ada hal punya, biasa la. Kalau balik office (pejabat) nanti akan ada orang tolong ‘punch card’."

Saya mengangguk senyum pura-pura setuju.

Dalam hati saya menyumpah seranah lelaki ini.

Dalam masa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sibuk bertanya tentang royalti buku novel saya yang tidak seberapa banyak itu, dalam masa saya setiap hari sakit kepala melihat kenaikan harga barang selepas cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan, sakitnya hati saya bila ada pegawai kerajaan, yang gajinya dibayar oleh pembayar cukai – kita semua, boleh buat kerjanya sebagai pegawai kerajaan sambil lewa dan sibuk dengan projek tepi.

Mungkin dari sinilah Ahmad kata “e-commerce” itu, agaknya.

Jadi, apa gunanya saya membayar cukai, dan membayar GST serta cukai-cukai lain yang tidak dipamerkan dalam harga barang, kalau akhirnya disalurkan kepada pegawai kerajaan yang begini?

Dua minggu lalu saya ada menulis surat terbuka kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana kenyataannya tentang rakyat Malaysia yang kurang menyimpan, kali ini saya bercerita pula tentang projek tepi mamat yang bekerja kerajaan ini.

Menurut lelaki ini, dia memperoleh pendapatan sehingga RM15,000 sebulan kerana menjual vape. Saya tanya, apakah ini termasuk gajinya sebagai pegawai kerajaan?

"Gaji kerja saya campur claim itu ini semuanya cecahlah RM3,000, tapi kalau takat itu saja, macam mana saya hendak ‘maintain’ Estima saya," kata lelaki itu.

Katanya juga, setiap kali cuti sekolah, dia mampu membawa keluarganya melancong ke luar negara seperti Korea Selatan atau paling koman pun Bandung, Indonesia.

"Kenapa tak berhenti kerja saja kerja kerajaan, dan fokus saja kerja jual perisa vape?"

Hanya satu kata daripada bibirnya, "pencen".

Ini bukan 2 kerja, Ahmad. Ini tuang kerja dengan buat kerja lain.

Ada 1.6 juta penjawat awam di negara ini. Dua kali ganda dari keperluan optimum negara ini.

Ada banyak jabatan yang “overlapping” tugas seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang overlapping dengan tugas polis.

Ada banyak jabatan yang pada hemah saya tidak ada fungsi langsung kepada pembangunan ekonomi negara seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang bagi saya patut dimansuhkan saja kerana tidak memberi manfaat langsung kepada si pembayar cukai.

Kalau Malaysia Airlines (MAS) boleh buang pekerja, kenapa dalam krisis harga minyak serta dalam keadaan ekonomi yang tidak berapa baik ni, kenapa kerajaan tidak boleh saja buang pekerja yang tidak berminat pun hendak bekerja?

Mereka ada projek tepi yang boleh memperoleh pendapatan puluhan ribuan ringgit sebulan, apa lagi hendak simpan orang macam ini?

Kenapa hendak kejar penulis novel yang hendak beli sayur pun lebih 20 sen nak berkira ni? Kenapa hendak menyusahkan rakyat lagi?

Entahlah, saya mungkin bukan seorang anarkis, tapi dalam kehidupan saya, saya fikir kerajaan tidak ada satu apa pun yang bermanfaat untuk saya. Menyusahkan saya lagi ada lah.

Buat apa saya bayar cukai kalau macam ni wang saya dibelanjakan?

Hendak kata kerajaan bina jalan, saya tidak ada kereta. Kerajaan bina penjana elektrik, saya bayar bil elektrik pada syarikat swasta Tenaga Nasional Berhad (TNB). Entah, tidak ada manfaat untuk saya pun.

Apa gunanya ada kerajaan? – 2 Januari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments