Opinion

Kisah mencari bilik sewa (Bahagian 2)

Saya pernah menulis satu artikel tentang kisah mencari bilik sewa pada November 2012, tentang betapa sukarnya mencari bilik sewa untuk dua orang dari bangsa berlainan tinggal bersama.

Semasa itu saya dan sahabat saya membuat keputusan untuk tinggal di Pandan Indah.

Setahun tujuh bulan kemudian, sekali lagi kami berpindah – kali ini di Petaling Jaya.

Pada tulisan yang lalu, saya menulis tentang mengapa untuk menyewa rumah sewa, kena perlu ada syarat seperti "Muslimah only", "Chinese only", "Melayu sahaja" dan perkara yang hanya untuk membeza-bezakan rakyat Malaysia.

Saya memulakan hidup sebatang kara - saya berpindah banyak tempat. Dari Bangi ke Pantai Dalam, dari rumah pangsa Sri Johor ke Miharja, kemudian ke Batu 9 Cheras dan ke Shah Alam, sebelum tinggal di Choo Cheng Kay, dan Pandan Indah, sebelum ke Petaling Jaya.

Untuk mencari bilik sewa yang selesa tanpa kos yang amat membebankan adalah amat sukar, terutamanya jika kita mengambil keputusan untuk tinggal serumah dengan bukan sebangsa dengan apa yang ditulis dalam iklan bilik sewa.

Dalam hal ini, cuma iklan dari kaum India mungkin lebih mudah sedikit, barangkali kerana tidak banyak pasaran dari kaum itu untuk mencari bilik sewa.

Semasa saya tinggal di Sri Johor, saya tinggal bersama orang Melayu, yang kopiah tak tinggal setiap malam. Dan saya dihalau kerana saya jarang bersolat di rumah.

Dan saya juga pernah baca satu dua iklan yang bertulis "Untuk Muslim sahaja", "wajib solat" dan perkara lain-lain yang saya rasa eloklah kita "mind your own business" saja.

Tetapi bukan orang Melayu sahaja bersikap begitu, bukan Melayu pun bersikap demikian. Contohnya, dengan menerbitkan iklan bilik sewa atau iklan jawatan kosong "Chinese only".

Saya fikir kebanyakan mereka ini juga yang memaki hamun Umno, Perkasa dan Isma sebagai "rasis" dan "tidak menghormati kepelbagaian kaum". Tetapi, kenapa mereka pun buat perangai yang sama?

6 Jun lalu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar membangkitkan isu mengapa berlakunya diskriminasi kepada Bumiputera, khususnya Melayu?

Saya bukan jenis suka sangat bercakap tentang hak Melayu, jauh sekali memperjuangkan ketuanan Melayu.

Tetapi, mengapa perlu buka peluang pekerjaan, atau menyewa bilik sewa untuk sesetengah kaum sahaja, sehingga mengetepikan seseorang itu kerana dia orang Melayu?

Saya berpandangan mereka ini, terutama yang sering melaungkan kata-kata "Umno rasis, Perkasa rasis, Isma rasis", perlu cermin diri mereka dahulu. Kerana dalam diri mereka juga ada rasisme, cuma mereka salutkan perasaan itu dengan perasaan benci terhadap Umno dan Barisan Nasional.

Bagi saya, jika mereka ini, yang saya percaya kebanyakan menyokong Pakatan Rakyat, mahu berkata bahawa hanya Umno, Perkasa dan Isma rasis, dan mahu mendukung aspirasi untuk hidup harmoni dalam kepelbagaian kaum, sikap ini harus dibuang.

Kalau tidak, ia macam cerek panggil kuali hitam. Dua-dua pun sama perangainya.

Mungkin satu hari nanti, jika saya memiliki modal besar, saya akan memulakan perniagaan menyewa bilik dan rumah.

Tanpa syarat "Muslimah only", "Chinese only", "wajib solat" atau apa-apa syarat yang sebenarnya boleh "mind your own business".

Syarat utama bagi saya, ialah sila basuh pinggan sendiri selepas makan dan jaga kebersihan kawasan rumah sewa, itu sahaja.

Mungkin dengan cara itu, kita dapat merasa kepelbagaian dan keharmonian antara kaum, dan semua orang mudah mendapat bilik atau rumah sewa.

Sampai bila nak teruskan dasar pecah dan perintah? – 14 Jun, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments