Opinion

Kenapa kita perlu ada pilihan raya majlis tempatan?

Beberapa hari lalu, sahabat saya merangkap pemilik syarikat buku alternatif Lejen Press, Aisamuddin Asri bercerita dengan saya ketika berbual mengenai masalah pelekat ceti ah long haram yang berleluasa di Subang Jaya.

Menurut Aisamuddin, yang lebih dikenali sebagai Aisa Linglung berkata, aduan demi aduan dibuatnya kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sejak membuka premis perniagaannya di SS15 pada 2011.

Permandangan hodoh di SS15 Subang Jaya yang dipenuhi pelekat iklan ceti ah long haram.Permandangan hodoh di SS15 Subang Jaya yang dipenuhi pelekat iklan ceti ah long haram.Akibat terlalu geram, kerana seolah-olah tidak ada tindakan MPSJ membanteras pelekat haram ceti ah long ini, dia mempersoalkan mengapa MPSJ menyaman orang yang membuat bunting dan banner tetapi lesen sudah tamat tempoh, tetapi pelekat haram ini seolah-olah tidak dipedulikan.

"Para peniaga setiap tahun perlu mohon dan bayar lesen untuk perniagaan dan papan tanda. Kalau hendak pasang bunting depan kedai pun kena lesen, apatah lagi bunting iklan tepi jalan. Dan kosnya bukanlah sikit-sikit - kena keluar belanja besar untuk kos pengiklanan berlesen ni. 

"Ringkasannya: Ceti haram tidak bayar lesen - mereka lepas. Peniaga bayar lesen - akan sentiasa diselia ketat. Dan jika lesen tamat tempoh dan iklan masih terpamer - kena saman," kata Aisa dalam ruangan Facebooknya.

Keluhan seperti saudara Aisamuddin ini bukanlah kali pertama, dan bukanlah di Subang Jaya saja. Ia berlaku di hampir semua majlis perbandaran yang saiznya lebih kurang sama macam Subang Jaya.

Semasa saya tinggal di Cheras pada 190-an lagi, aduan tentang pelekat ceti ah long haram, atau perkara hal perbandaran ini sudah lama kedengaran.

Lalu saluran terakhir, kita sampaikan masalah ini kepada wakil rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) atau ahli Parlimen, iaitu orang yang tidak sepatutnya menguruskan masalah hal parit, longkang atau pelekat ceti ah long haram ini.

Ahli Parlimen adalah suara kita dalam peringkat Persekutuan, dan Adun adalah suara kita dalam peringkat negeri.

Tetapi, siapakah yang mewakili kita dalam hal majlis perbandaran?

Surat jawapan Majlis Perbandaran Subang Jaya terhadap aduan isu pelekat ceti ah long haram.Surat jawapan Majlis Perbandaran Subang Jaya terhadap aduan isu pelekat ceti ah long haram.Kali terakhir pilihan raya majlis tempatan diadakan pada 1963, tetapi ia dimansuhkan atas alasan "ia meletihkan orang ramai untuk terus berpolitikus".

Pelik, tiap-tiap hari berita di televisyen menghentam pembangkang, dan pembangkang hari-hari berceramah menghentam kerajaan, jadi apa yang letihnya jika ada pilihan raya majlis tempatan? Sudah biasa.

Lagipun, jika ahli majlis perbandaran ini dilantik dan dikenali rakyat, mereka tidak akan buat sambil lewa dalam menyelesaikan masalah perbandaran untuk terus kekal dalam majlis perbandaran.

Kalau ahli majlis perbandaran ini dipilih oleh peti undi daripada rakyat, sudah pasti mereka akan panas punggung dan buat kerja dengan tangkas, dan tidaklah seperti sekarang, di mana saya melihat bangunan majlis perbandaran ini tidak ubah seperti "sarang bagi mereka yang tidak berminat untuk berkhidmat kepada rakyat tetapi membazirkan wang rakyat".

Lagi pun, hampir semua negara di dunia yang mengamalkan demokrasi mengadakan pilihan raya tempatan, jadi kenapa Malaysia yang lagi 5 tahun lagi untuk 2020 tidak boleh buat?

Dan kepada siapa lagi untuk rakyat mengadu sekiranya majlis perbandaran yang selalunya dilantik orang besar politik ini buat kerja tidak semenggah?

Rakyat tidak ada kuasa untuk memilih siapa yang jadi yang dipertua atau ahli majlis, walhal rakyat lebih kerap untuk berurusan dengan orang sebegini daripada ahli Parlimen atau Adun, sepatutnya.

Luahan perasaan seperti saudara Aisa sudah biasa kita dengar. Daripada kita asyik memberi fokus kepada kisah menteri besar yang takut kerusi empuknya dirampas, saya rasa isu begini lebih relevan, dan lebih dekat dengan kita sebagai rakyat. – 16 Ogos, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments