Opinion

Kenapa bandar kita tanam pokok tak beri manfaat?

Sejak Jeremy Corbyn, pemimpin Parti Buruh Britain, menjawat kerusi ketua pembangkang negara itu, kecoh bermacam-macam tentang dirinya, sama kuat gosip mengenai David Beckham dan Victoria Adams masa zaman saya remaja dulu.

Apa saja tindak tanduknya, media akan sensasikannya.

Tetapi saya melihat dia dari satu sisi yang lain.

Terus terang saya katakan saya tidak suka mengidolakan seorang sosok ahli politik. Corbyn juga seorang ahli politik. Bukan sisi politik yang saya mahu ceritakan tentang dirinya, tetapi tentang minatnya yang mendalam terhadap berkebun.

Corbyn mewakili kawasan Parlimen Islington North, penempatan orang imigran dari Asia Selatan, Afrika atau Timur Tengah di utara London.

Semasa saya ke London pada 2009, saya tinggal di rumah rakan saya di Walthamstow, tidak jauh dari Islington North.

Di rumah rakan saya itu juga ada kebun sayur yang mereka gunakan untuk makanan seharian.

Sekarang, London adalah bandaraya yang penduduknya berjumlah 15 juta orang, dan sebuah bandar bertahap "global city" di mana kepentingan bandar ini kepada dunia sangat tinggi, tetapi masih mempunyai ruang menanam sayur atau buah-buahan.

Sementara itu, kita cerita di tempat lain pula, ke Seattle pula, Datuk Bandarnya pula merancang menanam pokok buah-buahan di kawasan lapang untuk dimakan secara percuma oleh penduduk awam, terutamanya golongan tidak berumah.

Setiap tahun, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang tidak dilantik rakyat menggunakan banyak wang menanam bunga hiasan yang hanya ditanam beberapa bulan sahaja untuk diganti baharu.

Sudahlah tidak dilantik rakyat, membazir wang rakyat pula tu.

Setiap kali saya lihat pokok bunga yang sedih lagi menyedihkan ini di kawasan lapang bandaraya ini, saya sering terfikir, kenapalah tidak ditanam pokok yang berguna untuk kita semua?

Kenapa menteri kita ini selalu kata ada pelbagai cara rakyat mengatasi masalah kenaikan harga barang, tetapi tidak menyediakan tanah kebun di kawasan flat?

Menyediakan tanah kebun kepada penduduk bandar ialah cara paling berkesan rakyat menangani masalah kenaikan harga barang.

Kalau London yang penduduknya 15 juta orang, kawasan negara iklim 4 musim dan tanah tak berapa subur itu pun boleh sediakan tanah kebun, kenapa metropolitan Kuala Lumpur yang hanya 5 juta, beriklim Khatulistiwa, tak boleh?

Kita manusia semakin hari semakin hilang skil asas kehidupan kita: berkebun. Spesis kita terus bertahan selama hampir ribuan tahun kerana berkebun.

Dan saban hari, spesis homo sapien ini sudah kehilangan skil asas kehidupan ini.

Perindustrian dan konsumerisme menyebabkan skil ini sudah semakin tidak popular di kalangan masyarakat sehingga ramai orang kini tidak tahu bagaimana menanam pokok.

Dan selalu kalau zaman ini, kalau petani mempunyai anak, dia lebih gemar anaknya kerja pejabat daripada berbakti kepada tanah sepertinya, kerana baginya kerja ini "tak boleh jadi kaya".

Bayangkan satu hari nanti bila seluruh manusia sudah tidak tahu berkebun?

Dengan menyediakan sejumlah tanah yang tidak perlu luas bagi tujuan menanam pokok seperti pokok cili, limau, serai atau sayur kangkung misalnya, banyak manfaat boleh diperolehi bersama.

Dan saya fikir sebuah kerajaan yang sanggup membelanjakan iklan GST berjuta-juta ringgit, apalah sangat menyediakan sedikit wang dan ruang, untuk penduduk ibu kota dan pinggirnya bercucuk tanam sebagai alternatif kepada kenaikan harga barang. – 26 September, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments