Opinion

Kedudukan Malaysia hampir semua bidang - ‘mid-table divisyen empat’

Minggu lepas, saya ada menulis satu artikel mengenai kelajuan Internet di negara ini yang berada di antara sepuluh negara-negara yang kelajuan Internetnya paling perlahan di dunia.

Dalam bidang pendidikan, Malaysia hanya berjaya berada di kedudukan ke-52 daripada 65 negara dalam ranking keputusan Pisa (Programme For International Assessment).

Pelajar Malaysia dikatakan mendapat pencapaian yang teruk dalam bahagian membaca dengan skor 398 (purata: 496), bahagian Matematik, Malaysia mendapat 421 (purata: 494) dan Sains, 420 (purata: 501)

Daripada segi indeks persepsi rasuah, Malaysia berada di tangga 53 daripada 173 buah negara yang dikaji oleh Transparency International.

Bahkan negara Afrika seperti Rwanda juga dapat kedudukan yang lebih baik, iaitu tempat ke 49.

Menurut laporan World Press Freedom Index 2014, Malaysia berada di tangga 147 daripada 180 buah negara.

Kedudukan Malaysia pada ranking FIFA, 142 daripada 208 buah persatuan bola sepak dunia.

Kecuali squash, hoki, badminton dan boling padang, sukan-sukan yang utama lain pun jarang negara ini dapat pingat emas dalam kejohanan utama dunia.

Tiga perak, dan tiga gangsa.

Berbanding dengan Cuba, negara pulau miskin yang kecil serta populasi 11 juta orang, memenangi 72 pingat emas, 67 pingat perak dan 69 pingat gangsa dalam semua kejohanan Olimpik yang disertai.

Jika dilihat pada agregat semua kedudukan ranking pada semua bidang yang saya sebutkan tadi, tidak ada satu pun yang boleh kita, selaku rakyat Malaysia boleh banggakan.

Daripada bidang ekonomi, kebebasan bersuara, pendidikan, kelajuan Internet, persepsi rasuah, sukan - semua berada di angka yang jauh terperosok ke belakang.

Peminat bola sepak kelab-kelab Inggeris pastinya tahu apa itu istilah "mid table club", iaitu kelab-kelab bola sepak yang hanya berada di pertengahan atau berada di penghujung kedudukan liga.

Tetapi ekspresi "mid table divisyen empat" adalah kelab-kelab yang berada di pertengahan liga - tetapi bukan pada kedudukan liga utama, sebaliknya liga di peringkat keempat.

Kalaulah indeks persepsi rasuah, pendidikan; terutamanya Matematik dan Sains, atau kebebasan media ini dijadikan seperti liga bola sepak seperti di Eropah, sudah tentu Malaysia berada di "mid table divisyen empat".

Dan apabila saya, selaku rakyat Malaysia, meluahkan rasa kecewa kepada semua ini, pemimpin-pemimpin negara ini hanya berkata, "You kalau tidak suka you boleh keluar daripada negara ini."

Persoalannya, ke mana lagi saya hendak pergi? Negara ini tempat saya dilahirkan.

Negara ini tempat saya membesar dan hampir seumur hidup saya, saya tinggal di negara ini.

Tetapi, salahkah saya, selaku rakyat di negara ini - tidak berpuas hati dengan pencapaian dalam segala bidang negara ini?

Adakah saya tidak patriotik mengkritik kedudukan negara kita yang memang dah sedia di bawah?

Bukankah kita semua mahu Malaysia yang lebih baik? Bukankah kita semua mahu Malaysia yang lebih berdaya saing?

Tetapi, Malaysia hanya mendapat tempat yang tinggi daripada segi perkara yang memalukan - contoh dalam laporan khas Free Malaysia Today pada 14 April yang lalu mengenai negara ini yang terlibat dalam mengatur perlawanan (match fixing).

Adakah kita mahu Malaysia hanya menjadi 'pakar' dalam bidang match fixing, rasuah, dan masuk top-ten kelajuan Internet paling lembab di dunia?

Sama ada cita-cita untuk menjadi negara maju itu hanya tinggal angan-angan atau ada rakyat kita masih mengharapkannya, terserah kepada kita semua.

Ada lima tahun, tujuh bulan, dan sebelas hari lagi sebelum 2020. – 19 April, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments