Opinion

Juergen Klopp dan harapan baharu Liverpool

Pada minggu ini, pasukan bola sepak kegemaran saya, Liverpool FC mendapat pengurus pasukan yang baru dari Jerman, Juergen Klopp.

Perlawanan pertamanya bersama The Reds ialah menentang Tottenham Hotspurs pada Sabtu hadapan, tetapi sudah diletakkan harapan mencurah-curah kepada pengurus pasukan yang merupakan bekas pengurus pasukan kelab Jerman, Borussia Dortmund ini.

Belum mula berlawan lagi, sudah pelbagai cakap-cakap termasuk untuk menjadi juara Inggeris yang tidak dimenangi Liverpool sejak 1990.

Ada penyokong Liverpool yang begitu teruja sehingga mengikut 'track' jet Klopp ini dari laman web kawalan trafik udara di Internet, dari berlepas di Lapangan Terbang Dortmund menuju ke Lapangan Terbang John Lennon, Liverpool.

Kali terakhir saya melihat penyokong Liverpool sebegini seronok pada musim 2013/14 yang lalu, sebelum bekas kapten pasukan Steven Gerrard tergelincir ketika perlawanan menentang Chelsea yang menyebabkan peluang untuk menjadi juara jadi tipis, lalu tewas dengan Manchester City pada musim itu.

Sementara menjadi juara Eropah di Istanbul 10 tahun yang lalu sudah jauh ditinggalkan masa, walaupun ia masih segar dalam ingatan.

Penyokong Liverpool sudah lama menunggu seorang pengurus bola sepak yang berkaliber untuk memimpin pasukan ini untuk kembali kepada era kegemilangannya seperti dulu.

Tetapi semasa di era kegemilangannya, pengurus bola sepak pasukan ini bukanlah pengurus yang dari luar Pulau British, tetapi dari warga tempatan seperti Bill Shankly dan Bob Paisley.

25 tahun adalah satu masa yang cukup lama yang ditunggu penyokong The Reds.

Tetapi, rekod Juergen Klopp bukanlah memberangsangkan sangat, kecuali pada era 2011 hingga 2013 di mana pasukan Borussia Dortmund ini menjadi juara Bundesliga (liga bola sepak Jerman) dua kali dan menjadi naib juara Piala Eropah pada tahun 2013.

Tetapi dengan harapan yang sebegini menggunung, jika dibandingkan dengan rekod Juergen Klopp yang bukanlah bagus mana, ditambah pula dengan dia menyertai Dortmund sekitar 2008 dan hanya menyinar tiga tahun kemudian.

Persoalannya, sanggupkah penyokong The Reds menunggu 3 tahun lagi jika tempoh sama untuk Klopp membangunkan pasukan Dortmund dari pasukan pertengahan liga menjadi juara?

Atau dia hanya seperti bekas pengurus, Brendan Rodgers yang menjadi pengurus selama tiga tahun, dengan hanya musim 2013/14 sahaja yang boleh dibanggakan?

Liverpool mahu 'move on' dari sejarah lama, dan mahu membina sejarah baru.

Dan Klopp adalah harapan baru kepada Liverpool dalam proses ini.

Apapun, saya tidak sabar untuk menunggu perlawanan yang akan datang, sebagai 'candu' untuk saya menenangkan diri dari segala masalah yang dihadapi, baik kewangan atau peribadi dan segala keserabutan yang ada di sekeliling saya.

Mungkin minggu hadapan saya menulis topik yang lebih serius, kerana pada minggu ini, saya masih lagi 'stoned' dari 'candu' yang diberi nama bolasepak ini.

You'll never walk alone, Juergen Klopp. Semoga berjaya di kelab bola sepak ini. – 10 Oktober, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments