Opinion

Hentikan budaya bodoh pecah rekod terpanjang, terbesar

Baru-baru ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur yang tidak dilantik rakyat, melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama sebuah syarikat latihan kraftangan, Mostwell Sdn Bhd bercadang untuk membuat beg tangan terbesar dan sofa terpanjang untuk dimasukkan dalam Malaysian Book of Records.

Selain itu, sebuah sekolah di Putrajaya berjaya membuat kad ucapan hari guru terpanjang di Malaysia bersempena dengan Hari Guru. 

Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di Terengganu juga mempunyai rekod tersendiri, dengan mencipta rekod tulisan kalimah Allah terpanjang menggunakan cat air terpanjang menerusi Projek Sejuta Kalimah mereka. 

Semasa saya belajar di sebuah universiti tempatan pada tahun 2002, saya dipaksa terlibat untuk menyertai projek menyiapkan Jalur Gemilang terpanjang bersempena Hari Kebangsaan pada tahun itu, jika tidak, saya tidak akan mendapat kupon asrama untuk menentukan saya dapat asrama pada semester akan datang.

Saya merasakan itu perkara bodoh, jadi saya enggan untuk terlibat untuk jadi bodoh.

Saya lebih rela untuk tidak mendapat bilik di asrama universiti daripada terlibat dengan projek bodoh seperti ini.

Sedar atau tidak, perbuatan-perbuatan bodoh ini sengaja dicetuskan pihak pegawai yang sebenarnya ketiadaan idea untuk membuat program, lalu diajaknya orang ramai, terutamanya pelajar-pelajar untuk menyertai kebodohan mereka.

Dengan adanya projek bodoh ini, dapatlah mereka untuk meminta dana dari pegawai yang lagi atas untuk mereka menyonglap demi kekayaan diri.

Untuk apa susun donat tertinggi, kek lapis terpanjang, Jalur Gemilang terbesar ini? Apa manfaat yang kita boleh dapat dari buat kerja ini selain dilaporkan dalam akhbar dan memecahkan rekod dalam Malaysian Book of Records?

Bagi pandangan saya, pegawai-pegawai tinggi yang bodoh ini mahu mendapat dana dari pihak atasan (terutamanya kerajaan) untuk melihat mereka juga mampu membuat aktiviti, lalu menggunakan aktiviti-aktiviti bodoh ini untuk mengaburi pihak atasan yang mereka menggunakan dana untuk bertujuan aktiviti di universiti, atau di sekolah.

Atau dalam kes Datuk Bandar Kuala Lumpur, untuk menunjukkan DBKL ada projek untuk dibuat.

Tidakkah ada benda lain yang lebih berfaedah nak dibuat? Berapa banyak jalan berlubang di Kuala Lumpur ni yang perlu diturap semula? Berapa banyak longkang yang tersumbat yang perlu dibersihkan? Berapa banyak kawasan perumahan yang tidak dibaiki lifnya di Kuala Lumpur? Sampah sarap di sekitar Kuala Lumpur ini dah habis bersih sangat ke?

Kenapa perlu buat beg tangan terbesar dan sofa terpanjang sedangkan banyak lagi benda yang boleh dibuat dari duit rakyat?

Oh, Datuk Bandar ini tidak dilantik rakyat, maka suka hati dialah hendak buat apa dengan duit rakyat, dia tidak perlu peduli tentang kemarahan rakyat sebab dia tidak dilantik rakyat.

Dan kebodohan seperti ini berakar banir sejak dari bangku sekolah lagi, terutamanya macam kad hari guru terpanjang oleh sebuah sekolah di Putrajaya yang saya sebut tadi.

Untuk apa kita buat semua ini? Untuk buktikan kepada Amerika, kepada Jepun, kepada England dan seluruh dunia kita hebat membuat sofa terpanjang? Atau kek lapis tertinggi? Atau Jalur Gemilang terbesar?

Hebat sangat ke projek ni sampai tidak sudah-sudah benda bodoh ni hendak dibuat?

Sudah tiba masanya rakyat untuk terus menibai dan membantai pegawai-pegawai bodoh ini. Jika perkara ini dibiarkan, mereka akan terus membodohkan anak-anak kita dengan projek bodoh ini disamping menyonglap duit rakyat dengan projek entah apa-apa ini.

Dalam hal ini, saya memuji Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng kerana mengkritik Datuk Bandar dalam projek bodoh terbaru di Kuala Lumpur ini. 

Semoga suara-suara berani seperti ini terus menghentam pegawai-pegawai bodoh ini, agar pegawai-pegawai ini tidak sesuka hati menggunakan duit rakyat untuk projek bodoh yang terus membodohkan anak-anak dan orang ramai ini. – 23 Mei, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments