Opinion

Bunga mas dan kemerdekaan

Sempena musim menyambut "hari kemerdekaan" ini, bagi saya ini merupakan satu peluang terbaik untuk saya, sebagai seorang rakyat Malaysia, menilai semula, apakah nilai "kemerdekaan" kita sepanjang 57 tahun lepas.

Bagi saya, perkara menilai semula ini selalu saya lakukan apabila di penghujung hari saya - sebelum saya tidur dan esok bangun dengan hari baru.

Penilaian semula ini memerlukan seseorang untuk berfikir apa yang berlaku pada masa lepas, apa yang perlu dibuat pada masa sekarang, dan apa yang perlu dirancang untuk masa depan.

Jadi, untuk menilai semula nilai "kemerdekaan" sebuah negara bernama Malaysia ini selama 57 tahun yang lalu, eloklah kita kaji sejarah negara ini dijajah.

Ramai yang beranggapan negara ini dijajah sejak Portugis pada 1511, kemudian Belanda 1641, kemudian British 1791, sebelum Jepun menjajah benua Asia dalam tempoh singkat sehingga tamat perang dunia, dan British menghabiskan sisa-sisa imperialisme di Tanah Melayu sehingga 1957.

Sebenarnya kita dijajah lama - sebelum Portugis 1511 lagi. Bermula dari Empayar Chola - penjajah Tamil dari Selatan India menawan tanah semenanjung ini pada kurun ke-11 lagi, apabila empayar Srivijaya melemah dan runtuh, sekitar kurun ke-13.

Tetapi apabila Melaka menubuhkan kerajaan sekitar 1400, Melaka masih lagi menghantar ufti kepada negara-negara yang lebih kuat, seperti kerajaan Dinasti Ming, dan ada juga menghantar ufti ke Siam, untuk mengelakkan Melaka diserang.

Di negeri-negeri sebelah utara seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu pula - mereka menghantar ufti ke Siam dengan menghantar 'bunga mas' - serta peralatan tentera, makanan dan segala sumber demi Siam sejak kurun ke-17 sebelum dihentikan oleh British selepas Perjanjian Bangkok 1909 - apabila British mengambil alih Palit (Perlis), Saiburi (Kedah), Kelantan dan Trangkanu (Terengganu).

Tetapi keempat-empat negeri ini walaupun tidak membayar ufti 'bunga mas' ke Siam lagi, mereka membayar 'bunga mas' baru kepada penjajah baru pula - iaitu di London. Segala sumber ekonomi semuanya dikawal British.

Manakala raja tetap menjadi raja dan mendapat elaun tetap daripada British.

Mungkin ini Profesor Zainal Keling tidak faham tentang erti penjajahan yang sebenar, dia hanya fikir penjajah ini perlu datang dalam bentuk tentera dan menjadi pemerintah dengan pemerintah lama dibunuh atau dihalau keluar.

Tetapi dalam konteks sekarang juga, adakah kita sudah 57 tahun merdeka bagai yang dikata?

Kalau ikut faham saya, kita masih memberi ufti lagi - kali ini dengan penjajah yang lebih besar - iaitu di Washington dan New York. Kita diwajibkan untuk membeli kertas dolar dari mereka untuk tujuan perdagangan antarabangsa - sama ada untuk menjual minyak atau membeli kapal selam (yang tidak boleh selam).

Ufti kita ialah memberi segala sumber ekonomi kita - untuk ditukarkan dalam bentuk kertas yang dikeluarkan The Federal Reserve.

Jadi, apa benda yang merdeka lagi kalau kita masih menghantar ufti?

Saya selalu sebut Hari Kemerdekaan adalah satu ilusi, mana-mana negara pun Negara Dunia Ketiga seperti Malaysia ini. Imperialisme masih berlaku, buktinya kita boleh lihat bagaimana syarikat asing dengan rakus menjarah hasil bumi di negara kita.

Di Gebeng, syarikat Lynas masih lagi beroperasi walaupun mendapat bantahan penduduk di Kuantan. Di Raub, syarikat pelombong emas Australia melombong emas di kawasan tersebut sehingga mengakibatkan hakisan dan kerosakan teruk pada muka bumi.

Di Pantai Lido dan Teluk Danga, air laut ditambak pelbagai syarikat dari China, Singapura dan banyak lagi negara untuk projek pembangunan Iskandar.

Semua ini - pada pandangan saya - adalah satu bentuk penjajahan. Pemimpin kita sama seperti raja-raja kita yang terdahulu - memberi ufti kepada negara yang ekonominya lebih kuat dan ketenteraannya lebih gagah.

Dalam bahasa mat rempit, negara kita ni sedari dulu - sebelum dari Melaka lagi - sampai sekarang - asyik kena 'pow'. Asyik kena bayar ufti, asyik hendak beri kepentingan kepada pedagang asing dan sekarang, pelabur asing.

Masa kurun ke-11 kita bayar ufti ke Chola, zaman Melaka kita bayar ufti ke Dinasti Ming, zaman Portugis kita dijadikan hamba oleh pemerintah Lisbon, begitu juga Belanda. Kita bayar 'bunga mas' ke Siam, dan kita tanam getah dan melombong bijih timah demi kekayaan Empayar Baginda Queen.

Kini, kita masih lagi membayar ufti - kali ini kepada konglomerat besar yang berpusat di Washington dan New York. Harga petroleum ditentukan oleh mereka, harga sawit ditentukan oleh mereka, harga beras ditentukan oleh mereka.

Kalau kita masih macam itu - apa yang merdekanya negara ni?

Kalaulah merdeka itu kita rasa ia hanya sekadar bunga api di KLCC, atau perbarisan tentera serta gambar enam kepala bersongkok berderet-deret menghiasi kota, minta maaflah, kita ini sebenarnya belum merdeka lagi.

Itu belum saya komplen tentang nama tempat seperti "precint", "valley" dan "Danga Bay" lagi, itu saya ulas minggu depan. – 28 Ogos, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments