Opinion

Bila Saudi bom Yaman, suara umat Islam menyepi

Serangan tentera pakatan Arab yang dipimpin Arab Saudi baru-baru ini meletupkan sebuah gudang gandum berhampiran Aden, bandar pelabuhan Yaman.

Serangan ini dikatakan untuk menyekat puak Houthi daripada menguasai jiran selatan Arab Saudi itu yang dikatakan sebagai boneka kepada Iran.

Serangan itu menyebabkan sumber makanan di Yaman semakin berkurangan dan terpaksa bergantung kepada bantuan antarabangsa.

Dalam hal ini saya tertanya-tanya, di mana suara umat Islam yang selama ini bising-bising apabila Israel menyerang Gaza dan Tebing Barat.

Sejak kecil lagi, saya mendengar daripada warta berita berkata rejim Tel Aviv Zionis ini adalah sejahat-jahat manusia kerana membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Malah, sikap anti Yahudi ini ditunjukkan dengan jelas oleh umat Islam sebelah sini, dalam bentuk kutip derma (sama ada sampai wang tersebut ke Gaza atau tak, Allahualam), dalam bentuk nasyid, dan demonstrasi di depan kedutaan Amerika Syarikat selepas solat Jumaat.

Tetapi hipokrasi tertinggi mereka ini apabila Arab Saudi menyerang Yaman, ramai orang tidak berdosa di Yaman terkorban, hilang ahli keluarga, hilang tempat tinggal dan hilang sumber rezeki, namun tidak ada siapa yang peduli.

Ada yang kata, ini untuk memerangi Syiah yang cuba menguasai Semenanjung Arab.

Jadi, apa bezanya Saudi yang memperjuangkan ketuanan Ahli Sunah ini, dengan rejim Zionis yang memperjuangkan ketuanan Yahudi di Tebing Barat?

Bukankah yang mati itu masih lagi nyawa manusia? Apakah nyawa orang Syiah tidak bernilai di sisi umat sini?

Saya menanti kritikan dan kecaman ke atas Arab Saudi dari negara yang selama ini bising apabila Israel menyerang Palestin.

Bukanlah saya menyokong Israel untuk terus membunuh warga Palestin yang tidak berdosa, tapi saya juga menentang tindakan Arab Saudi yang membunuh warga Yaman yang tidak berdosa.

Apakah umat Islam hari ini begitu takut untuk mengkritik keluarga Saud dan kerajaannya sehingga menghalalkan sahaja segala jenayah perang yang dilakukannya? 

Apakah kerana takut hilang kuota haji menyebabkan negara Islam semuanya menikus dan membiarkan Arab Saudi bermaharajalela?

Saya pernah mendengar kritikan dari negara Islam tentang masyarakat Barat yang mendiamkan diri apabila Israel membunuh rakyat Palestin.

Tapi kritikan itu hilang begitu sahaja apabila jenayah itu dilakukan Saudi.

Tidakkah ini satu hipokrasi dan berat sebelah?

Apakah kerana keluarga Saud sebagai pemegang kunci dua masjid suci, mereka sentiasanya suci?

Saya menentang kezaliman. Baik dari Israel yang mengganyang Palestin, dari China yang mengganyang Xinjiang, Sudan yang mengganyang Darfur, dan Arab Saudi yang mengganyang Yaman.

Ini bukan masalah agama. Ini masalah orang gila kuasa, dan orang lain buat tak nampak sahaja. 
Itu kita belum cerita ISIS yang gila menyembelih kaum Yazidi, kaum Druze, Alawiyah, Kurdis, Syiah - malah Ahli Sunah sendiri pun ada yang dibunuh.

Jangan marah kalau Barat berat sebelah ke atas Yahudi, kalau umat Islam sebelah sini berat sebelah ke atas Arab Saudi yang terus bermaharajalela mengebom umat tidak berdosa di Yaman. – 18 April, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments