Opinion

Barack Obama, maharaja empayar global

Ketika Barack Obama melawat Malaysia, presiden Amerika Syarikat kedua selepas Lyndon B. Johnson pada tahun 1966, saya teringat kisah-kisah maharaja-maharaja empayar di zaman silam.

Tidak kira sama ada ia adalah maharaja dari empayar Rom, dari empayar Parsi, dari China atau Majapahit – kita lihat betapa sibuknya pekan atau kampung yang bakal dilawati oleh orang yang paling berkuasa di tanah jajahan ini.

Seluruh pekan dicat dan dihias begitu indah, kawasan taman dihiasi dengan bunga-bunga yang segar, jalan raya diturap baru, di samping langkah keselamatan yang cukup terperinci bagi memastikan maharaja empayar tidak diancam dalam pekan kecil itu.

Pada hari ketibaan maharaja dengan kenderaan yang ditarik oleh gajah putih, beratus-ratus bala tentera sama ada berkuda atau berjalan kaki mengiringi seorang maharaja empayar.

Seboleh-bolehnya tidak akan ada orang yang mampu melanggar dan mengancam keselamatan maharaja empayar.

Wizurai, atau gabenor, atau ketua kampung, atau bahasa paling kasar – macai paling tertinggi – akan tersengih-sengih, tertunggu-tunggu dan kecut perut menantikan maharaja empayar untuk tiba dan bertemu dengannya bagi berbincang dengannya untuk nasib karier politiknya, dan juga kekayaan ekonominya.

Sejarah – tidak pernah berubah – dari zaman empayar dahulukala – sehinggalah empayar yang ada pada hari ini – empayar global yang dipimpini Amerika Syarikat.

Seorang pemimpin negara superpower – memiliki ketenteraan paling besar dan paling kuat di muka bumi – mewakili hampir separuh dari kekuatan ketenteraan di muka bumi, dan ekonomi terbesar di muka bumi, Obama mempunyai sebab untuk datang ke Kuala Lumpur dengan muka angkuh.

Kedudukan beliau sama taraf dengan Gengkhis Khan, Queen Victoria, Alexander the Great, Julius Caesar dan Firaun. 

Tetapi beliau bukan hidup di zaman feudal – dimana kuasa ekonomi berpusat kepada keluarga tertentu – tetapi kini di zaman kapitalis – kuasa ekonomi berpusat kepada para cukong multinasional yang berselirat di sana-sini seluruh muka bumi.

Beliau cuma simbol kepada kekuatan para cukong multinasional, tetapi sungguhpun simbol, beliau masih seperti nama-nama pemerintah empayar yang disebut tadi – digeruni, dan ditakuti.

Saya melihat riak wajah Obama dalam ucapan beliau di negara ini, pada pandangan saya, wajahnya angkuh dan seolah-olah dia maharaja kepada seluruh muka bumi ini.

Bahkan semasa lawatan beliau di sini, (Datuk Seri) Najib Razak selaku Perdana Menteri berjalan di belakang Obama – seolah-olah mahu menunjuk kepada kita semua "who is the real boss in this business".

Cuba bandingkan ketika Obama ketika dia melawat negara-negara seperti Perancis, atau Jerman, atau China, atau Israel – atau cuba bandingkan Obama ketika melawat sebuah pekan di Florida, negeri yang penting dalam electoral college dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat, dengan ketika beliau melawat negara ini.

Di negara-negara yang saya sebut tadi, memanglah Obama masih dilihat dominan, tetapi sekurang-kurangnya pemimpin Perancis, Jerman atau Israel tidak tersengih-sengih dan tergedik-gedik apabila maharaja empayar global ini datang ke negara masing-masing.

Jika arack Obama dalam kempen pilihan raya dan berada di negeri yang agak sukar untuk dimenangi, wajahnya agak menikus dan merayu-rayu pengundi supaya terus berpegang kepada mantra "yes we can" dan "four more years".

Tetapi saya tidak benci kepada Obama. Seperti maharaja empayar global yang lain, dia cuma simbol – atau bahasa kasarnya – patung kepada para cukong multinasional. 

Yang saya menyampah sempena kehadiran maharaja empayar global ini bagaimana macai-macai tempatan ini menjilat-jilat dan kowtow melutut menyembah seolah-olah Obama ini dewa yang turun dari langit ke tujuh.

Cerita menteri itu bangga dapat bersalam dengan Obama, cerita selfie dengan Obama, dan paling mengejutkan ialah kisah pejuang Islam berkopiah – yang selama ini mengaku pejuang Islam paling solid dan padu dalam negara ini, tidak ketinggalan dalam menjilat-jilat Obama ini.

Pejuang kopiah ini, yang selalu berkata bahawa bekas bosnya (Datuk Seri) Anwar Ibrahim merupakan balaci dan macai Amerika, berkata "Obama sedar Anwar kini disabitkan atas kesalahan meliwat dan secara lazimnya ketua pembangkang itu akan mengundurkan dirinya seperti mana yang berlaku di negara Barat.

“Malangnya di Malaysia 'Bolehland', orang yang disabitkan bersalah terus menjadi ketua pembangkang."

Ironi, siapa macai Amerika sekarang ni?

Dan kelakar juga, ketika Obama melawat Masjid Negara, tidak ada pula fatwa-fatwa dari mufti-mufti yang mengatakan haram bagi orang bukan beragama Islam untuk melawat masjid, tempat suci umat Islam, rumah Allah, katanya.

Kalau amoi DAP yang datang surau, sudah tentu Perkasa dah buat laporan polis.

Manifesto Barisan Nasional pada pilihan raya 2013 untuk memperjuangkan kemerdekaan Palestin terus hilang tercicir entah mana bila Obama datang ke negara ini.

Ya, saya tahu kehadiran Obama ke Kuala Lumpur bukan untuk makan nasi goreng. Kehadiran Obama ke Kuala Lumpur bukan nak tengok senibina bangunan KLCC. Kehadiran Obama ke Kuala Lumpur bukan kerana nak berselfie dengan pemimpin negara.

Kehadiran Obama ke Kuala Lumpur ialah untuk memaksa warga negara ini untuk tunduk dengan titah dan perintahnya, pemerintah terulung dari Rumah Putih – untuk tunduk dengan TPPA (Trans-Pacific Partnership Agreement).

Tetapi media-media perdana di negara ini amat jarang menyebut tentang perkara paling utama tujuan kehadiran maharaja empayar global ke sini. Yang lebih banyak diceritakan adalah detik-detik gedik para menteri ketika bertemu dengan Obama.

Itu baru cerita tentang itu, belum lagi cerita rungutan warga kota apabila sana-sini jalan-jalan raya utama di Lembah Klang ditutup kerana seorang maharaja empayar global ini.

Ini adalah video tentang entourage Barack Obama ke Australia pada tahun 2010.

Nasib baik Obama tidak melawat mana-mana petempatan Felda seperti Lyndon Johnson melawat Felda Labu (yang kemudiannya menjadi Felda LBJ).

Kalau tak, mungkin cerita tilam baru di seluruh Felda yang terlibat akan timbul – macam zaman LBJ dahulu, cuma bezanya zaman LBJ dahulu tidak ada Internet yang boleh kecoh tentang isu tersebut. – 3 Mei, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments