Opinion

Bagus juga kalau Internet di negara ini tak laju

Baru-baru ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, 71% rakyat Malaysia memilih untuk Internet yang tidak laju kerana ia lebih murah.

Apabila menteri jadi begini, saya jadi marah dan rasa, adakah ini satu lagi kebodohan menteri yang saya perlu hadap sebagai seorang rakyat?

Tetapi, selepas saya fikir semula perkara itu secara mendalam, bagus juga kalau Internet di negara ini lambat dan tidak laju seperti Singapura dan negara-negara maju yang lain.

Saya pernah mengkritik tentang betapa lembabnya Internet di negara ini sehingga kita tewas dengan negara seperti Kemboja atau Vietnam.

Saya juga berasa marah apabila Salleh dengan selamba menjawab sebegitu. Seolah-olah macam tak ada apa, tak ada perasaan langsung tentang betapa sakit jiwanya rakyat dengan talian Internet yang sering putus dan kelajuan sering menimbulkan kemarahan saya selaku penagih Internet tegar.

Saya seorang penagih Internet tegar. Saya mula mengenali Internet pada 1996 dan menjadi ketagihan Internet apabila sebuah kafe siber dibuka di Cheras Perdana tempat tinggal saya pada 1997.

Saya kemudiannya menjadi penagih Internet tegar sehingga ke hari ini, dan mengaku masih lagi melepak di kafe siber untuk menulis atau mengisi masa lapang.

Kalau saya tak buka Internet, saya boleh jadi gila seperti seorang penagih dadah putus “barang”.

Saya fikir, kalaulah Internet di negara ini maju seperti negara maju, maka makin teruklah ketagihan saya ini menghadap Internet, dan besar kemungkinan saya akan menghadap Internet 25 jam sehari, 8 hari seminggu.

Dan saya tidak keseorangan di sini.

Generasi millennial, dan generasi bawah millennial, Generasi Z, ramai yang seperti saya.

Kalau satu hari tak buka Facebook, boleh jadi mental. Kalau tak buka Instagram dan tengok gambar awek cantik, tak sah.

Cuba bayangkan kalau Internet di negara ini laju dan murah, sebab biasalah penduduk negara ini, nak yang laju tapi nak yang paling murah.

Katakanlah kerajaan manjakan rakyat dengan beri kelajuan Internet yang laju tapi murah, sudah pastilah penagih Internet seperti saya ini paling bergembira.

Tapi cuba bayangkan kalau semua masyarakat di negara ini jadi penagih Internet, macam saya.

Orang dah tak nak berniaga nasi lemak, orang dah tak nak sapu sampah, orang dah tak nak berjumpa kawan, orang akan menghadap Internet siang malam.

Yang penagih Internet dan ditambah pula dengan penagih politik akan terus beri komen-komen politik, tak kisahlah pro mana, dan sehari kalau tak dengar cerita politik kat Facebook, jadi gila.

Penagih Internet yang ketagihan bahan lucah pun, setiap hari akan buka laman lucah daripada “porn star” berstatus bintang HD sehinggalah budak sekolah “main” di tepi tangga kompleks membeli belah yang videonya macam dirakam dengan kentang.

Cuba bayangkan kalau negara kita dipenuhi orang sebegini.

Memanglah, bukan semua rakyat Malaysia jadi penagih Internet seperti saya.

Tetapi, melihat dari segi apa benda yang viral di Internet, dari kisah budak sekolah “angkat sumpah couple seminggu” sehinggalah video-video bodoh di YouTube, rasa-rasanya apa jadi dengan masyarakat bila Internet kita laju (dan murah)?

Kita lihat kanak-kanak pada hari ini. Kebanyakannya dibesarkan oleh “ibu bapa helikopter” (helicopter parents) yang paranoid dengan anak-anak untuk bermain di padang permainan.

Kita melihat kanak-kanak ini sehari suntuk menghabiskan masa mereka bermain Internet di rumah, dan kita lebih rela melihat mereka menjadi penagih Internet di rumah daripada bermain bola di padang.

Lepas tu kita jugalah yang akan komplen kenapa ranking bola sepak FIFA negara kita jatuh merudum ke tangga tercorot.

Kita jugalah yang akan komplen kenapa generasi pemain badminton kita selepas Lee Chong Wei semua tidak digeruni pemain badminton dunia lain seperti dulu.

Kita juga yang akan komplen, kenapalah budak-budak di negara ini merakam video-video bodoh di YouTube, dan ramai juga ustaz-ustaz Internet yang “holier than thou” ini muncul.
Kenapa ya, masyarakat kita hari ini jadi sebegini?

Saya tidak kata Internet ini merosakkan manusia dan fabrik kemasyarakatan serta tatasusila seperti hari ini.

Saya cuba mengatakan Internet ini disalahgunakan oleh kebanyakan orang, termasuk juga diri saya, untuk melakukan kerja-kerja tidak ada faedah.

Kerja-kerja tidak berfaedah seperti bergaduh dalam ruang komen (jadi keyboard warrior), yang share benda-benda yang tak berfaedah seperti video-video bodoh yang viral demi mengejar berapa “likes” atau “retweet” yang akan mengukur sejauh mana kepopularan kita dalam Internet demi kepuasan ego sendiri.

Kita jadi seperti manusia-manusia yang dalam filem The Matrix, hanya hidup di alam maya tapi tidak hidup dalam realiti.

Kita jadi manusia ketagihan sesuatu yang hanya wujud di skrin komputer atau telefon.

Kita jadi hamba Internet dan sering menyembahnya dan menjadikannya satu candu baharu bagi kita.

Ya, ketagihan Internet pada zaman ini sangat kronik.

Saya pernah cuba mengurangkannya, bahkan untuk cuba untuk hidup tanpa Internet.

Dan selalunya gagal, sebab seperti penagih dadah, selalunya akan kembali menagih bila tiada sebab untuk berhenti.

Saya sering menggunakan alasan seperti "saya buka Internet sebab nak menambah ilmu pengetahuan", kerana pada zaman kanak-kanak saya, saya perlu membuka ensiklopedia untuk menambah ilmu pengetahuan.

Tapi berapa ramai orang menggunakan Internet untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.

Cuba lihat berapa ramai “views” untuk video seperti penerangan pengetahuan astronomi oleh Carl Sagan jika dibandingkan dengan video selebriti bergaduh dengan “pak guard”, misalnya.

Berapa ramai yang menonton dokumentari tentang “climate change” berbanding dengan video hijabista popular menyanyi lagu Gwiyomi?

Dari situ saja saya sudah sedar,  masyarakat kita ini belum lagi bersedia untuk Internet lebih laju.

Kenapa nak bandingkan Internet laju di negara maju, kalau kita punya mentaliti masih belum maju?

Kenapa kita nak kemudahan kelas pertama sedangkan majoriti rakyat negara ini masih lagi, maaflah, kelas ke berapa belas, hanya “Google Yang Lebih Mengetahui”.

Jadi, sebagai penagih Internet tegar, saya bersetuju dengan pandangan Salleh tentang Internet perlahan dan putus-putus ini lebih baik daripada laju, walaupun saya hanya menyokong separuh daripada kenyataan ini.

Saya selalu berharap, satu hari nanti saya dapat bebaskan diri saya daripada ketagihan Internet dan “get a life”, kata orang.

Kalau saya ada anak, saya tak mahu anak saya jadi macam saya. Saya malu kalau anak jadi seperti saya.

Dan sehinggalah masyarakat negara kita ini fikirannya maju setaraf negara maju, barulah kita boleh bicara tentang Internet yang laju. – 3 Oktober, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments