Opinion

Apabila ketua Pemuda Umno bercakap tentang ‘jangan jadi macai’

Pada minggu lalu, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata kepada para belia terutamanya pelajar-pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) tentang jangan menjadi “Pak Turut”, atau bahasa kasarnya, “macai”.

“Macai”, ialah satu perkataan yang datang daripada bahasa Cina yang bermaksud “anak kuda”, digunakan oleh orang ramai, terutamanya mereka di kawasan bandar untuk merujuk kepada mereka yang sering membenarkan diri mereka “diperkudakan” – yang menjadi punca perkataan itu kini diterima pakai untuk menyatakan bahawa sipolan sipolan yang suka dirinya diperkudakan sebagai “macai”.

Apabila Khairy Jamaluddin bercakap tentang “jangan jadi macai”, saya gagal mengawal diri daripada tergelak.

Apabila menyebut perkataan “macai”, dalam konteks hari ini – saya membayangkan Mat Rempit yang membawa bendera parti ke hulu ke hilir, menyerang orang atau mempertahankan si polan si polan yang mempunyai kedudukan kuat dalam parti di ruang maya, atau dalam erti kata lain, dibayar oleh si polan-si polan untuk membuat kacau pihak orang lain.

Jadi dalam hal ni, parti mana yang selalu gunakan khidmat “macai” ni?

Saya tak kata hanya parti sebelah sana sahaja ada gunakan “macai” ni. Mana-mana parti politik pun ada “macai”nya tersendiri.

Budaya “macai” ni ada dalam mana-mana parti, dalam konteks Malaysia, “macai” dapat dilihat sama ada daripada pihak Barisan Nasional, atau Pakatan Rakyat.

Tapi, manifestasi daripada budaya 'macai' ini tidak datang secara magik dan tiba-tiba.

Budaya “macai” ini datang dari ketakutan dan perasaan mahu jalan selamat.

Dari mana datang ketakutan dan perasaan mahu jalan selamat ini ialah daripada akta-akta dan undang-undang yang mengekang kebebasan untuk berfikir dan bersuara.

Apabila akta-akta, undang-undang dan sistem ekonomi, politik dan sosial di negara ini berlandaskan ketakutan dan tidak membenarkan orang untuk berfikir, jadi jalan selamat untuk meneruskan kehidupan, salah satunya ialah menjadi “macai”.

Jadi, apabila Khairy berkata kepada pelajar dan anak muda tentang “jangan jadi macai”, dia juga harus berkata tentang anak muda haruslah bebas berfikir dan jangan takut dengan perubahan serta berani melawan jika sistem yang ada pada hari ini mengekang pemikiran orang ramai.

Tapi kalau sekadar bercakap “jangan jadi macai” begitu sahaja, ia seperti melepaskan batuk di tangga. Tak ada apa-apa makna.

Sepatutnya sebagai menteri Belia dan Sukan, beliau melihat anak muda pada hari ini menghadapi masa depan yang tidak menentu.

Keadaan ekonomi yang secara jujurnya terumbang-ambing, peluang pekerjaan yang semakin sengit untuk direbut, serta penindasan anak muda yang mahu berfikir bebas – seharusnya perkara inilah yang disentuh Khairy, bukan sekadar berkata “jangan jadi macai” dan itu sahaja.

Lagi apa yang Khairy kata pada masa itu juga ialah supaya anak muda dapat menapis maklumat sebelum menerima sesuatu berita.

Apabila ada anak muda bercakap benar, pihak berkuasa tangkap, ugut, masuk penjara, turun naik mahkamah dan macam-macam lagi sekatan.

Jadi, macam mana anak muda untuk “tidak menjadi macai” – kalau elemen pertama untuk “tidak menjadi macai” – berfikir – disekang dan dihalang pihak berkuasa?

Atau sebenarnya dia nak cakap hanya sumber berita daripada pihak dia sahaja yang betul?

Macam tu adakah itu juga sebuah pemikiran daripada seorang “macai”?

Seorang yang “bukan macai” – bagi pandangan saya – ialah seorang yang boleh berfikir, boleh meneruskan usaha diri sendiri tanpa disekang sang penguasa, dan seorang yang dirinya tidak perlu setiap hari diingatkan supaya ingat kepada jasa sipolan sipolan serta kutuk pihak yang berlawanan – tanpa berfikir.

Apapun, saya berharap Khairy konsisten dengan kenyataan ini. Sekurang-kurangnya berani menyuarakan hal ini di hadapan delegasi Perhimpunan Agung Umno juga dan bukan hanya dalam kapasitinya sebagai Menteri Belia dan Sukan. Bukan buruk sangka, tetapi kita sudah selalu sangat mendengar ,"Itu saya dalam kapasiti sebagai menteri berkaitan bukan bercakap sebagai ahli parti".

Di kesempatan ini, saya ingin menyatakan solidariti saya kepada mereka yang berani melawan, dan sanggup berdepan dengan undang-undang untuk menyatakan kebenaran. Bagi saya, inilah yang dikatakan 'bukan seorang macai'. – 13 September, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments