Opinion

Apa salahnya dengan nama Buyung?

Baru-baru ini, satu gambar viral berlaku, iaitu berkenaan betapa panjang dan berbelitnya lidah untuk menyebut nama anak-anak Melayu yang baru masuk ke sekolah.

Mendengar nama anak-anak Melayu sekarang, bagi saya, amatlah menakutkan kerana saya membayangkan bagaimanakah hidup mereka apabila mereka sudah membesar nanti.

Saya sendiri tak faham kenapa Melayu zaman sekarang ini sudahlah nama anak itu ada sampai lima enam patah perkataan, kemudian ditambahkan pula dengan sebutan Arab yang buat orang seperti saya tergaru-garu kepala bagaimana nak menyebut nama ini.

Nama anak-anak Melayu pada zaman ini selalunya kedengaran agak Arab, walaupun digabungkan sedikit dengan nama-nama Barat, dengan mendapat pengaruh dari nama “glamour” selebriti dan artis.

Pendek kata, nama anak-anak Melayu pada hari ini, tersangatlah kompleks.

Saya terbaca satu artikel tentang perkara ini, baru-baru ini, tentang ada seorang yang "so-called" pemikir dan seorang intelek, tentang nama orang Melayu.

Saya membacanya dengan penuh simpati, dengan melihat ini sebagai satu pandangan jengkel terhadap nama-nama asli orang Melayu.

Beliau berkata, dalam kolum hariannya:

“Apakah kita lupa, apabila orang Melayu memeluk Islam 600 tahun dahulu, nama-nama mereka yang pelik seperti Buyung, Melati, Kencana dan sebagainya, bertukar menjadi Umar, Osman, Ali, dan lain-lain. Jika saudara faham Islam, ini bukan soal nama-nama Arab, tetapi agama kita galakkan. Nama yang pelik-pelik, kadang kala boleh merosakkan akidah.”

Memandangkan dia "memeluk Melayu" kira-kira 30 tahun yang lalu, saya fikir dia mungkin dia tak faham mengapa nama Melayu, pada asalnya bernama Melati, Buyung, Kencana dan sebagainya.

Melayu, atau saya lebih gemar memanggilnya sebagai rumpun Nusantara, pada awalnya bukanlah beragama Islam.

Melayu bermula sebagai penyembah alam, atau animisme, sama ada menyembah batu, menyembah sungai, atau menyembah pokok. Mereka asalnya menyembah semangat alam.

Apabila Hindu tiba di tanah ini pada sekitar 1,700 tahun yang lalu, melalui perdagangan dan penaklukan dari kerajaan Tamil Chola, bahasa Sanskrit pun berkembang.

Pun begitu, Melayu masih lagi mempunyai akar yang kuat ke atas lelehur mereka, menggunakan nama-nama dalam bahasa Sanskrit ini, sebagai nama anak-anak mereka.

Mereka menamakan nama anak mereka sempena bunga, galian atau tumbuh-tumbuhan, kerana tumbuh-tumbuhan inilah di sekeliling mereka.

Apabila mereka terjumpa bunga melati, dan dalam masa sama mempunyai anak perempuan, mereka menamakan anak mereka Melati dengan harapan anaknya itu memiliki sifat seperti bunga melati yang lembut dan cantik.

Kemudian nama-nama inilah, kedengaran indah dan berjalur dari sifat Melayu itu sendiri.

Jadi, apa yang dikatakan nama-nama seperti Buyung, Melati atau Kencana ini merosakkan akidah umat?

Apakah nama-nama seperti Melati, Kencana dan Buyung itu tidak membawa maksud nama yang baik?

Apakah ia perlu berbunyi seperti berdengung unta padang pasir baru dia kedengaran baik?

Saya tidak kisah atas sebab apa orang ramai ingin menamakan nama anak mereka. Bagi saya, menamakan nama anak, tidak kisahlah ia berbunyi Arab, Perancis, Rusia atau nama yang memang datang dari Melayu, itu hak masing-masing.

Tetapi apabila menuduh sesuatu seperti nama-nama Melayu ini sebagai "nama pelik-pelik yang kadang-kala boleh merosakkan akidah", saya rasa ini satu penghinaan terhadap kaum Melayu itu sendiri.

Apakah dalam al-Quran ada berkata seseorang itu apabila masuk Islam, wajib letak nama anak bernama Arab?

Bagaimana dengan nasib jutaan orang Jawa yang meletakkan nama mereka seperti Satiman, Kartini atau Joko Widodo yang bunyinya langsung tidak Arabik ketika dihitung di Padang Mahsyar kalau mengikut kefahaman orang Islam, adalah tempat penghakiman sebelum seseorang itu masuk syurga atau neraka?

Bagaimana dengan nasib orang-orang yang memeluk Islam tapi masih mahu mengekalkan nama asal mereka sendiri? Apakah apabila seseorang itu masuk Islam, maka ia wajib juga diArabkan?

Orang selalu kata Islam itu bersifat universal, tapi kalau semua nama orang Islam perlu diArabkan, celah mana yang universalnya?

Nama saya? Langsung tak Melayu, tak Arab. Saya ada dengar nama saya ada digunapakai di Jepun, dan juga di beberapa tempat di Scandinavia. Tetapi itu bukan perkara yang penting, bagi saya.

Semasa ibu saya meletakkan nama saya semasa saya bayi, baginya apa yang paling penting ialah biarlah saya menjadi seorang yang baik. Apa maksud nama saya dalam bahasa Arab bukan kriteria utamanya dalam meletakkan nama.

Sebab bagi dia, biarlah nama anak tidak berbunyi Arab yang merupakan bahasa al-Quran, tetapi anak itu berperangai yang baik.

Tak gunalah kalau nama anak dalam bahasa Arab bunyinya indah-indah, tapi perangainya buruk dan suka mencari pasal dengan kaum lain.

Jadi, apa salahnya dengan nama Buyung, Melati atau Kencana? – 7 Februari, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments