Opinion

Adakah bersikap ‘gentleman’ satu kesalahan pada masa sekarang?

Ketika saya menaiki LRT, dalam perjalanan pulang dari bandaraya, kelihatan seorang perempuan mengandung menaiki kereta api yang sesak dengan orang ramai yang mahu pulang ke rumah setelah seharian bekerja.

Tidak ada mahu bangkit daripada tempat duduk, maka saya pun bangun dan memberikan tempat duduk saya kepadanya.

Tetapi yang menimbulkan satu pertanyaan dalam diri saya, benarkah lelaki Asia, khususnya dalam topik di Malaysia ini - lelaki Melayu adalah lelaki yang tak ada sifat 'gentleman'?

Saya memikirkan isu ini setelah sekian lama saya memerhatikan lelaki Melayu ini, sudah ada semacam satu penyakit yang menular semakin teruk - seksisme.

Contohnya baru-baru ini ketika saya menaiki teksi, apabila seorang wanita yang sedang memandu cuba untuk memotong, pemandu teksi yang saya tumpang itu tidak mahu beri peluang wanita itu memotong walaupun pemanduan lelaki itu amatlah perlahan (sebab sibuk meneliti GPS daripada Waze).

Apalah salahnya kalau berikan sahaja wanita itu memotong, kata saya.

"Perempuan ni bukannya reti drive sangat," kata lelaki yang memandu teksi itu. Walaupun saya tidak bersetuju dengan pandangannya, saya enggan untuk berdebat kerana saya ada benda lain yang saya mahu fikirkan.

Tapi timbul satu soalan - kenapa jadi begini? Adakah sejak lahiriah lelaki Melayu tidak 'gentleman', atau ada sesuatu yang kita sendiri tidak sedar, yang lama kelamaan menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita.

Selain nilai patriakisme (ketuanan lelaki) yang menular sejak zaman berzaman dalam masyarakat kita, kini, masyarakat kita melihat perbuatan membuat kebaikan kepada wanita itu seolah-olah seperti "mahu memikat dan mengurat wanita tersebut".

Kalau difikirkan, saya pernah juga mengalami perkara itu semasa saya di bangku sekolah.

Semasa di sekolah, saya pernah membantu seorang pelajar perempuan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Geografi.

Tetapi oleh sebab budak-budak ni ramai yang kaki gosip, gosip saya berskandal dengan pelajar perempuan itu menyebabkan pelajar itu tidak lagi berminat untuk menerima bantuan saya.

Adakah apabila saya bersikap 'gentleman', saya nak mengurat dengan gadis tersebut?

Kalaupun saya hendak mengurat pelajar tersebut, kenapa ia perlu dijadikan satu kesalahan dan saya tidak dibenarkan untuk membantu perempuan tersebut?

Mungkin sebab itu - mungkin sudah ramai lelaki - yang mengalami peristiwa seperti yang saya alami - malas bersikap 'gentleman' kerana ia sudah tertanam dalam diri sejak dari bangku sekolah lagi.

Dan kepada para wanita - memanglah dari zaman jahiliyah lagi - lelaki ramai yang mahu  menghancurkan hidup wanita.

Tapi bukan semuanya memang berniat hendak menghancurkan hidup wanita.

Saya fikir "defence mechanism" yang diletakkan wanita pada zaman sekarang mungkin terlalu dalam keadaan "high alert" macam akan bertemu dengan lelaki perosak setiap hari.

Kadang-kadang ada lelaki yang sekadar mahu berbual, atau hanya mahu buat kawan.

Memang ada lelaki yang berniat untuk mengurat, tapi saya fikir kebanyakan lelaki faham dan tahu 'limit'nya sampai ke mana.

Bagi saya, mungkin lebih baik perlunya pendidikan seks dan memahami jantina lain di sekolah untuk mengurangkan "kesalahfahaman" antara dua jantina ini.

Dan kalau lelaki itu berniat hendak mengurat sekalipun, apa salahnya 'chill' dan kalau tidak mahu, boleh saja menolak dengan cara baik.

Tidak perlulah layan lelaki yang 'gentleman' ini macam lelaki yang 'creepy' dan 'desperado'. – 6 September, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments