Opinion

Sistem Pendidikan Kita Hilang Arah

DEC 18 — Saya membaca sebuah rencana di The Malaysian Insider yang mengkritik tindakan golongan pendidik Cina di dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Inggeris (PPMSI). Penulis menyatakan secara logiknya, golongan ini sepatutnya membuat kain rentang mereka di dalam tulisan Cina, seiring dengan pendirian pendidikan mereka. Walaubagaimanapun, siapa akan memahaminya jika mereka berbuat demikan.

Konklusinya mengejutkan saya:

“But most of all, imagine vernacular school educationists making their point in their own language, like chickens talking to ducks. They have an important message but won’t communicate in a common language. Which is precisely the point for using English. Everyone understands. Everyone gets the point.”

Apa jadi kepada Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan? Bukankah sepatutnya semua rakyat Malaysia memahami Bahasa Kebangsaan kita?

Saya sedih apabila melihat Bahasa Kebangsaan kita terpinggir. Sewajarnya, semua rakyat Malaysia fasih berbahasa Kebangsaan. Memang ada perbahasan sama ada Bahasa Kebangsaan wajar dipanggil Bahasa Malaysia atau Bahasa Melayu. Bagi saya, sekiranya ianya dipanggil Bahasa Melayu pun, sebagai Bahasa Kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum perlu menguasainya. Jika penerimaannya lebih meluas sekiranya dijenamakan Bahasa Malaysia, apa salahnya? Tetapi jika kita cuma menjenamakannya semula sedangkan penerimaan masih lemah, tiada gunanya.

Isu PPMSI menyentuh dua isu – Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, dan hak belajar dalam bahasa ibunda. Kedua-dua isu ini sudah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu polemik yang ditimbulkan YB Dato’ Mukhriz Mahathir untuk satu aliran sekolah telah menimbulkan kontroversi yang meluas. Saya fikir cara yang lebih realistik ialah untuk menjadikan sekolah kebangsaan benar-benar menarik untuk semua rakyat Malaysia dalam sistem pendidikan pelbagai aliran.

Benar, ramai ibu bapa Tiong Hua memilih sekolah Cina untuk anak-anak mereka agar anak-anak mereka mahir berbahasa Mandarin. Tetapi keadaan ini menjadi lebih serius kebelakangan ini kerana orang ramai melihat kualiti sekolah kebangsaan semakin merosot. Seorang bapa Tiong Hua yang dahulunya belajar di SRK dan SM La Salle (saya sendiri belajar di SRK La Salle) mengadu kepada saya:

“Kalau boleh saya mahu anak saya pergi ke sekolah kebangsaan agar dia bergaul dengan masyarakat pelbagai kaum dan menguasai Bahasa Melayu dengan baik. Tetapi saya merasakan kualiti sekolah kebangsaan termasuk La Salle kini jauh lebih teruk berbanding zaman saya pada 1980an dahulu. Saya kena fikir masa depan anak saya dan merasakan SRJK(C) pilihan terbaik.”

Bekas Pengetua saya di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Datuk Alimuddin Md Dom yang kini merupakan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, mendedahkan pada tahun 2007, sebanyak 93 peratus pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan merupakan Bumiputera. Pada masa yang sama, 7 peratus pelajar Bumiputera belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina. Pada tahun 2002, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan menganggarkan 60,000 pelajar Melayu belajar di SRJK(C).

Antara sebab utama ibu bapa Melayu menghantar anak-anak mereka ke SRJK(C) ialah mereka merasakan pendidikan di SRJK(C) lebih intensif dan kompetitif. Bagi mereka yang berkemampuan pula, mereka akan menghantar anak-anak mereka ke sekolah swasta. Tambah mengeruhkan lagi keadaan ini, Datuk Hishamuddin Hussein Onn kini mengumumkan ibu bapa dibenarkan menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang menggunakan kurikulum antarabangsa.

Oleh itu, di sebalik retorik mahu memperkasakan sekolah kebangsaan, ia gagal diterjemahkan kepada realiti. Saya yakin, sekiranya Kerajaan benar-benar meningkatkan kualiti sekolah kebangsaan, bukan sahaja lebih ramai pelajar-pelajar Melayu akan memilih sekolah kebangsaan, malah, pelajar-pelajar bukan Bumiputera juga akan kembali menjadikan sekolah kebangsaan pilihan mereka. Apatah lagi pengajaran Bahasa Ibunda sudah mula diperluaskan di sekolah kebangsaan.

Dalam semangat Mukhriz menjadi jaguh sekolah kebangsaan, beliau tidak menyentuh langsung isu PPSMI yang diperkenalkan bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohammad tahun 2003 dahulu. Kini isu tersebut selesai dibincangkan di peringkat meja bulat dan pilihan-pilihan yang disyorkan diserahkan kepada Kabinet. Namun laporan media menyebut majoriti wakil yang menghadiri perbincangan tersebut memilih dasar PPSMI dikekalkan.

Saya nak minta Kabinet fikir secara mendalam perkara ini. Kita boleh menyoroti perjuangan memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang pernah didokong UMNO suatu ketika dahulu. Kita boleh mengenang kembali pengorbanan generasi terdahulu untuk meyakinkan rakyat tentang kemampuan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu.

Tetapi saya tidak mahu kita bernostalgia semata-mata. Saya lebih berminat pada realiti.

Kawasan DUN saya, Seri Setia terletak di bawah Parlimen Kelana Jaya. Kuala Lumpur cuma beberapa minit, dan DUN Seri Setia terletak di bawah dua bandaraya – Petaling Jaya dan Shah Alam. Antara mereka yang tinggal di kawasan saya termasuklah VK Lingam. Dahulu, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub.

Namun Seri Setia bukan kawasan elit semata-mata. Ada sebuah kawasan perumahan bernama Desa Mentari. Walaupun namanya seperti kawasan perumahan kos tinggi, ia sebenarnya perumahan kos rendah yang dibina berikutan dasar Setinggan Sifar YB Dato’ Seri Khir Toyo. 15,000 orang dihimpunkan di kawasan kecil di sana. Desa Mentari dibina di seberang Lebuhraya Persekutuan dari kawasan Kelana Jaya, di belakang kilang Guinness.

Pada Januari 2008, saya bersama beberapa rakan profesional muda bersama-sama seorang bekas guru menubuhkan Pusat Tuisyen Sukarelawan bagi pelajar-pelajar sekolah rendah di Desa Mentari. Apabila kami bertanya pelajar tentang subjek kegemaran mereka, terlalu sedikit yang memilih matematik, dan tidak seorang pun memilih sains. Punca utama, apabila diselidiki, kerana mereka tidak faham pengajaran guru di sekolah.

Seorang bekas kakitangan Kementerian Pelajaran berkata ketika dasar tersebut dilontarkan secara mengejut, ada guru sains dan matematik yang meluahkan sukar mereka mengajar di dalam Bahasa Inggeris. Ramai guru yang kurang fasih. Tetapi kerajaan tidak mengendahkannya. Mereka menyatakan ada perisian multimedia yang akan mengatasi perkara tersebut. Cikgu bukannya boleh digantikan dengan komputer semudah itu.

Saya bukan anti-Bahasa Inggeris. Saya sokong diperkasakan guru-guru Bahasa Inggeris. Hantar mereka ke Australia, Britain dan Amerika Syarikat. Pastikan yang terbaik dihantar ke sekolah-sekolah luar bandar. Tambah masa pembelajaran Bahasa Inggeris. Jadikan pembelajaran Bahasa Inggeris lebih menarik dan kreatif.

Tetapi mengapa kita membebankan guru-guru sains dan matematik untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris anak-anak kita? Sejauh mana PPMSI dapat membantu mereka menjadi lebih fasih dalam Bahasa Inggeris? Ramai pelajar-pelajar yang Bahasa Inggeris mereka masih berbaur loghat Kelantan yang mendapat keputusan cemerlang di Imperial College dalam bidang kejuruteraan. Peralihan dari penggunaan Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris boleh diatasi. Tetapi jika dari awal lagi anak-anak kita tidak faham apa yang diajar di sekolah, bagaimana mereka nak berjaya.

Ya, anak-anak kita yang lahir dalam keluarga kelas pertengahan, terdedah dengan Bahasa Inggeris dari peringkat awal mungkin boleh berjaya dengan cemerlang. Tetapi bagaimana anak-anak di kampung atau di kawasan pedalaman? Bagaimana anak-anak di Desa Mentari?

Apa kata kita baiki perkara ini dahulu dan mengangkat martabat sekolah-sekolah kebangsaan sebelum bermimpi lebih jauh lagi. Sekolah-sekolah kita mesti menemui arahtuju mereka. Ada calon Ketua Pemuda UMNO berani menyokong saranan ini?

NIK NAZMI NIK AHMAD merupakan ADUN Seri Setia, Selangor dan turut menjawat Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor serta Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia. Beliau menulis blog di www.niknazmi.com. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi.

 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments