Opinion

Kugan, Palestin dan dhamir kemanusiaan

JAN 29 — Pada Ahad 25 Januari yang lalu, Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya menganjurkan Malam Prihatin Palestin. Antara yang turut berucap termasuklah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor; Dr Che Rosli Mamat, Ahli Parlimen Hulu Langat merangkap Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor; dan Dr Abdul Rani Osman, ADUN Meru merangkap Ketua Delegasi Yayasan Amal ke Gaza. Artis Yassin dan Rabbani turut memberikan persembahan bagi menghiburkan sambil menyedarkan kira-kira 1,500 orang ramai yang hadir ke program tersebut.

Namun apa yang menarik saya ialah ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada penghujung majlis tersebut. Beliau menegaskan bahawa Palestin jangan dilihat isu umat Islam sahaja, tetapi isu keadilan yang seharusnya mengetuk dhamir kemanusiaan setiap individu tanpa mengira kaum. Kehadiran ramai orang Tiong Hua pada malam tersebut di ambang Tahun Baru mereka yang lazimnya diisi makan malam keluarga menjadi bukti bagaimana isu tersebut boleh dilihat isu semua.

Maka Anwar memperluaskan ruang lingkup wacana malam tersebut sehingga turut meliputi isu-isu sejagat yang lain: hipokrasi Barat dalam menerima demokrasi apabila melibatkan umat Islam seperti di Algeria sehinggalah ke Indonesia pada zaman Suharto. Beliau menyentuh kecamuk prinsip pimpinan kita yang mengalu-alukan penutupan Guantanamo Bay oleh Presiden Amerika Syarikat Barack Obama tapi terus menerus mengurung rakyat Malaysia di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Tahanan Perlindungan Kamunting. Akhirnya, Anwar menyentuh isu yang cuba ditonjolkan sesetengah pihak sebagai isu kaum India semata-mata: kematian A. Kugan dalam tahanan polis.

Kugan ditahan kerana disyaki terlibat dalam jenayah kecurian kereta. Beliau mati di dalam tahanan, menurut polis, selepas meminum air dan disyaki adanya air dalam paru-paru, tetapi keluarga beliau mendakwa beliau mati akibat kecederaan di badannya. Gambar jenazah mendiang Kugan tersebar di Internet menunjukkan apa yang nampak seperti kecederaan serius di seluruh badannya.

Sebagai seorang Muslim dan Melayu, saya melihat isu Kugan sebagai isu prinsip. Benar, beliau seorang beragama Hindu dari kaum India. Benar, beliau merupakan seorang yang disyaki terlibat dalam jenayah. Justeru, ada pihak-pihak tertentu menyoal, mengapa penting sangat hak asasi Kugan kepada kita semua selaku rakyat Malaysia? Adakah, seperti kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar saya ingin meraikan penjenayah?

Dalam ayat al-Maidah, Allah s.w.t. berfirman:

"…Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa."

Ini bukan kali pertama saya merujuk ayat al-Quran tersebut. Namun ada beberapa pihak di kalangan umat Islam yang terlalu cenderung menjadikan rasa benci sebagai dorongan mereka melupakan prinsip.

Adakah mereka terlupa, kisah Saidina Ali r.a. ketika bertempur dengan seorang Yahudi? Di dalam pertempuran tersebut, tiba-tiba musuh Ali tersebut meludahnya. Seraya itu, Ali meletak pedangnya ke tanah, memeranjatkan musuhnya yang menyangka Ali akan membunuhnya.

"Mengapa engkau berbuat demikian?" tanya Yahudi itu.

"Sekiranya aku membunuh engkau tadi, aku membunuh engkau kerana Allah s.w.t. Tetapi selepas engkau meludah aku, sekiranya aku membunuh engkau, aku membunuh engkau kerana rasa marahku."

Terus Yahudi tersebut tersungkur di kaki Ali, mengucapkan dua kalimah syahadah.

Maka kita seharusnya bertanya kepada diri kita, ketika kita marah, adakah kerana dendam kesumat dan kebencian menguasai kita? Jika demikian, apa bezanya kita dengan umat lain? Rasulullah s.a.w. telah diutuskan bagi menyempurnakan akhlak kita, sesuai sebagai sebaik-baik makhluk sehingga umat Islam dihormati semua kerana prinsip ini.

Bagi penjenayah sekalipun, mereka tetap punyai hak dan mestilah diadili dengan baik. Sebab itu, kita menentang penahanan Kem Guantanamo Bay dan penderaan di Penjara Abu Ghraib. Hari ini kita mungkin memandang ini isu melibatkan penjenayah, tetapi bagaimanakah perasaan kita sekiranya sanak-saudara kita pula dituduh terlibat dalam jenayah? Sudah tentu kita mahu mereka dilayan seperti manusia.

Ini bukan sekali-kali bermaksud saya mahukan kita boleh bertolak-ansur dalam jenayah. Saya menyokong anggota polis ditambah, dan hukuman bagi jenayah-jenayah berat dikaji sesuai dengan kesalahan mereka. Tetapi ini bukan bermakna kita boleh mengabaikan prosedur dan proses keadilan. Jika tidak, kewibawaan polis akan tercalar, sekaligus menyukarkan usaha mereka membanteras jenayah.

Saya turut serta singgah di pengebumian mendiang Kugan pada 28 Januari di Puchong. Yang cukup istimewa orang Melayu, Cina dan India turut hadir termasuk pimpinan Pakatan Rakyat seperti Gobind Singh Deo, Teresa Kok, Yaakob Sapari, Rodziah Ismail, Manikavasagam, Dr Xavier Jayakumar dan Sivarasa Rasiah. Apabila ditanya wartawan, saya menegaskan ini bukan isu perkauman tetapi isu kemanusiaan. Beberapa orang India yang hadir mengangguk bersetuju.

Tiba masanya, kita bertanya kepada dhamir kemanusiaan kita. Jangan lagi bersandarkan prejudis dan kebencian, tetapi berpegang kepada prinsip. Itu yang diajar agama kita.

NIK NAZMI NIK AHMAD merupakan ADUN Seri Setia, Selangor dan turut menjawat Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor serta Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia. Beliau menulis blog di www.niknazmi.com. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments