Opinion

Cabaran terbesar generasi kita

NOV 20 — Mohamed Nasheed umpama Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Nelson Mandela bagi Maldives. Beliau pernah dipenjarakan sebanyak 23 kali, diseksa dan ditahan berseorangan selama 18 bulan oleh Kerajaan bekas Presiden Maumoon Abdul Gayoom yang menerajui pemerintahan satu parti selama puluhan tahun. Akhirnya, selepas Gayoom terpaksa akur kehendak rakyat untuk perubahan dan mengadakan pilihan raya umum, Nasheed dipilih sebagai Presiden menewaskan Gayoom sendiri.

Di dalam temubual bersama akhbar Britain the Guardian baru-baru ini, Nasheed mengumumkan Kerajaan Maldives akan melabur sebahagian dari pendapatan pelancongan pulau kecil tersebut untuk membeli tanah sebagai “insurans” sekiranya Maldives ditenggelami Lautan Hindi akibat pemanasan global.

Maldives merupakan sekumpulan 1,192 pulau-pulau atoll dan merupakan negara terkecil di Asia, di samping negara Islam terkecil di dunia. Sejumlah 350,000 orang mendiami Maldives. Lebih istimewa, Maldives merupakan negara terendah di dunia — puncak tertinggi di kepulauan tersebut cuma 2.3 meter dari aras laut. Ini mendedahkan Maldives kepada pemanasan global yang akan meningkatkan paras laut.

Bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore yang popular dengan dokumentari pemanasan global “An Inconvenient Truth” juga baru sahaja mendesak bakal President Barack Obama yang baru dipilih untuk mencuba mendapatkan 100 peratus sumber tenaga dari sumber boleh diperbaharui dalam tempoh sedekad akan datang. "Apabila Presiden Kennedy boleh mengisytiharkan rancangan ke bulan dalam sepuluh tahun, ramai yang mengatakan ia mustahil."

Di dalam buku terbarunya, “Hot, Flat and Crowded”, kolumnis New York Times Thomas Friedman menyatakan menjadikan misi utama Amerika untuk turut serta di dalam revolusi tenaga boleh diperbaharui bukan sahaja penting bagi menyelamatkan dunia, tetapi mampu memainkan peranan penting di dalam menjana pertumbuhan ekonomi Amerika. Beliau mungkin menulis buku tersebut sebelum krisis kewangan Amerika, tetapi awal minggu ini Obama menegaskan komitmennya melaburkan AS$15 bilion setahun dalam sektor tenaga boleh diperbaharui:

"Pelaburan ini bukan sahaja akan mengurangkan pergantungan kita kepada minyak import, sekaligus menjadikan Amerika lebih selamat. Dan bukan sahaja ia akan menjamin masa depan tenaga bersih, menyelamatkan planet kita. Pelaburan ini juga akan mengubah industri-industri kita dan membolehkan negara kita bangkit dari krisis ekonomi dengan menjana 5 juta kerja baru yang lumayan dan tidak boleh dipindahkan ke luar negara."

Saya fikir Malaysia pun wajar menceburi bidang ini. Kebelakangan ini, pertumbuhan Malaysia semakin bergantung kepada hasil petroleum, hingga lebih kurang 40 peratus. Sektor pembuatan negara terperangkap — gagal menarik nilai tambah seperti di Korea, Taiwan atau Singapura dan pada masa yang sama gagal bersaing dengan kos upah rendah seperti di Indonesia, Vietnam atau China. Usaha menceburi bidang teknologi maklumat dan biotech masih belum membuahkan hasil yang benar-benar mampu memberi lonjakan kepada pembangunan negara.

Di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor baru-baru ini, ketika perbahasan Halatuju Pembangunan Negeri Selangor 2025 saya menekankan bagaimana Selangor boleh memimpin usaha ini. Syarikat pembuat panel solar terbesar dunia, Q-Cell dari Jerman sudahpun melabur kira-kira RM5 billion bagi membuka kilang mereka di Selangor tahun ini. Selain itu negeri-negeri lain turut menarik pelaburan dalam industri solar dari pelabur-pelabur asing. Saya mengiktiraf bagaimana Kerajaan Persekutuan ada memberi galakan menerusi pengecualian duti import dan cukai jualan bagi peralatan fotovoltaik solar dalam Bajet 2009. Namun usaha itu sahaja tidak mencukupi — saya mencadangkan Kerajaan Negeri Selangor bersama Tenaga Nasional Berhad, Suruhanjaya Tenaga dan Universiti Industri Selangor menggiatkan penyelidikan di dalam bidang ini untuk dikomersialkan.

Malaysia mempunyai banyak potensi untuk kehidupan mampan atau “sustainable living”. Matahari yang terik sepanjang tahun dan hujan lebat yang boleh diguna semula menerusi “rainwater harvesting” adalah antara aspek-aspek yang boleh membantu usaha menggunakan tenaga boleh diperbaharui dan melahirkan suasana mesra alam.

Tetapi perubahan begini sememangnya bukan mudah dan memerlukan keazaman politik yang tinggi. Ironisnya, khazanah yang dikurniakan Allah s.w.t. di dalam bentuk hasil petroleum mungkin menjadi satu sumpahan, atau apa yang dipanggil “resource curse”. Banyak Negara pengeluar hasil mentah yang tidak melaburkan kekayaan mereka untuk meningkatkan ekonomi mereka, sebaliknya hidup secara mewah dengan kekayaan yang ada. Lihat sahaja kebanyakan negara-negara Arab. Negara Belanda juga turut mengalami situasi ini selepas mereka membangunkan hasil gas mereka pada tahun 1960an hingga mereka alpa dan mengabaikan sektor pembuatan di negara mereka — akhirnya timbullah istilah “Penyakit Belanda”.

Petroleum yang ada di dalam perut bumi kita tidak akan kekal selama-lamanya. Sekiranya kita tidak melabur perolehan dari kekayaan ini di dalam industri mampan yang menambah nilai kepada ekonomi kita, anak cucu kita akan menyumpah kita kerana membazirkan pemberian Allah s.w.t. Kita harus ingat, setiap krisis ada peluang disebaliknya. Kini krisis ekonomi dan pemanasan global menimbulkan peluang untuk kita menjana ekonomi kita dalam sektor baru di samping mengurangkan pergantungan kepada tenaga bahanbakar. Anak cucu kita tentu bertanya, mengapa kita tidak mengambil peluang ini?

NIK NAZMI NIK AHMAD merupakan ADUN Seri Setia, Selangor dan turut menjawat Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor serta Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia. Beliau menulis blog di www.niknazmi.com. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments