Opinion

Ulama dan bukan ulama lagi?

Setiap kali muktamar menjelang pelbagai isu termuncul untuk dijadikan bahan sensasi media mahupun kelompok yang bersaing dalam PAS.

Khusus dua tahun sekali, perwakilan akan mengadakan pemilihan kepimpinan, maka fenomena persaingan dan dinamika sebuah parti Islam akan terselah dalam bentuknya yang tersendiri. Bagi saya ia adalah fenomena biasa yang berlaku dalam mana-mana organisasi politik.

Isu mendasar

Fenomena itu ialah apa yang dilihat dan ditafsirkan oleh pengamatnya dengan memberi nilai kepada fenomena ini. Persaingan dalam  PAS adalah fenomena.

Bagi yang pesimis ia akan melihatnya sebagai 'bala' yang akan menghancurkan parti manakala bagi yang optimis ia melihat ini sebahagian daripada dinamika evolusi perkembangan sebuah parti politik. Bagi musuh politik PAS ini adalah peluang baik untuk melihat lawannya berpecah sesama sendiri walaupun sesekali dia akan melihatkan simpatinya pada pihak tertentu. Atas apa jua perspektif yang kita lihat, kita harus bertanya apakah isu yang mendasar dalam fenomena ini?

Isu yang mendasar ialah persaingan, Merasionalkan kewujudan parti dan Evolusi organisasi. Persaingan ialah bentuk dinamika sesebuah organisasi, faktornya ialah kelompok yang terbentuk dengan membawa idea tertentu dalam parti.

Selalunya idea ini menampakkkan pihak yang mahukan pembaharuan manakala sebuah kelompok lagi melihat status-quo yang ada mencukupi malah meyakini bahawa keadaan yang ada yang membawa parti ke tahapnya hari ini.

Mereka melihat pembaharuan akan mengubah asas dan dasar parti sedangkan golongan pembaharuan mahukan lonjakan besar parti untuk terus mampu berada di persada.

Persaingan dalam PAS

Apa yang kita saksikan dari berbagai kenyataan dan sensasi majlis tertentu seperti Multaqa Ulama baru-baru ini mengisyaratkan persaingan kelompok dalam PAS terdiri dari dua kategori besar para konservatif dan reformis.

Saya kurang setuju kategori ulamak dan profesional, ia hanya label yang tidak banyak membantu perspektif yang tepat persaingan dalam PAS, tetapi konservatif dan reformis lebih membawa makna dalam memahami persaingan itu.

Konservatif adalah golongan dalam parti yang melihat status-quo dan tidak berani keluar dari status-quo kerana menganggap itulah prinsip dan asas tertegaknya parti ini.

Kelompok reformis mahukan parti keluar dari keadaannya dan melonjak kepada identiti baru untuk menggamit perubahan yang ada di sekelilingnya. Berita baiknya ialah kedua-kedua kelompok yang bersaing ini mahukan kebaikan untuk parti dengan perspektif yang berbeza.

Kepimpinan ulama

Salah satu tajuk perdebatan kelompok yang bersaing ialah tentang kepimpinan ulama. Gagasan pemikiran organisasi yang diperkenalkan tahun 1980-an ini seiringan dengan krisis besar organisasi PAS yang berlaku semasa era Datok Asri Hj Muda. Sebab kepada krisis dan faktornya telah saya sentuh dalam buku Menuju PAS Baru (terbitan The Malaysian Insider).

Apa pun, krisis itu membuka peluang kepada PAS melalui desakan kepimpinan pemudanya melahirkan ide gagasan baru iaitu Kepimpinan Ulama. Ciri utama kepimpinan ulama ialah wujudnya kuasa baru dalam parti bernama Majlis Syura Ulama di mana keanggotaanya secara eksklusif ialah mereka yang berstatus ulama.

Pengerusi Majlis Syura ialah Mursyidul Am. Sifat Majlis Syura Ulamak ini lebih kepada legislatif dan nasihat. Bahagian eksekutif parti seperti Jawatankuasa Pusat, dewan-dewan dan lain-lain sampai ke cawangan kekal seperti sediakala.

Tetapi sepanjang 80-an hingga kini, tiba-tiba isu ulama tidak ulama menjadi perbahasan sampai kepada persoalan sama da bahagian eksekutif parti mesti juga di kalangan ulama atau tidak.

Secara konvensionalnya juga,  presiden, timbalan dan salah seorang naib mesti dari kalangan ulama. Kecuali Mat Sabu, semua timbalan sebelum ini dalam kepimpinan ulamak dikategorikan sebagai ulamak. Kelompok yang bersaing tidak mempertikaikan keahlian ulama dalam Majlis Syura, mereka cuma mempertikaikan kenapa jawatan eksekutif lain mesti di kalangan ulama juga. Untuk mengenalpasti bukan ulama maka terciptalah label profesional. Akhirnya isu sebenar yang boleh memajukan parti diabaikan dan isu ulama tidak ulama pula menjadi perdebatan yang tidak produktif.

Tuntutan ulama

Istilah ulama dalam PAS mesti difahami daripada sudut operasinya sebagai mereka yang berlatarbelakangkan pengajian agama secara formal dalam atau luar negara, peringat rendah atau pun tinggi.

Apa yang dituntut dalam Multaqa Ulama untuk diberi ruang kepada ulama agak mengelirukan kerana selama ini mereka ada Dewan Ulama yang sifatnya adalah eksekutif.

Ketua Dewan Ulama secara otomatis menjadi Jawatankuasa Pusat dan di peringkat negeri dan kawasan. Malah ulama ada dalam jawatankuasa pusat dari sudut mereka yang berlatarbelakangkan pengajian agama, walaupun mereka bukan dalam dewan ulama.

Apakah ulama merasakan diri mereka terpinggir? Atau ia hanya tuntutan bagi menegaskan kewujudan mereka dalam parti? Atau ia satu motif politik untuk menguasai parti sempena muktamar akan datang?

Merit

Persaingan dalam parti  sepatutnya bukan berdasarkan latarbelakang pengajian tetapi ditentukan oleh merit atau kelayakan. 

Dalam PAS corak pemilihan oleh perwakilan akan terpengaruh dengan ciri tertonjol pada calon antara aktivis, latar belakang agama dan ilmuan. Masalahnya ialah tidak semua aktivis ustaz dan tidak semua ustaz adalah ilmuan mahupun aktivis dan tidak semua ilmuan itu ustaz dan aktivis.

Corak ini kadang kala terlalu simplistik sehingga asas utama iaitu kelayakan atau merit diabaikan. Merit atau kelayakan mesti dinilai daripada sudut pencapaian dalaman dan luaran parti, kejelasan hendak membawa visi dan misi parti ke hadapan dan tahap pengorbanan dan susah payah calon sebagai aktivis.

Asas ulama vs non-ulama menjadi tidak relevan jika kita memahami asas kedudukan seseorang ialah kerana kelayakan yang dinilai perwakilan terhadapnya bukan kerana mereka ulamak atau tidak. Apatah lagi sebagai sebuah parti politik yang inginkan kuasa ke Putrajaya isu merit sepatutnya menjadi persoalan pokoknya. Hal ini tidak bercanggah dengan kaedah Islam memilih seseorang kepada sesuatu tugasan iaitu al-Qawi dan al-Amin iaitu berkemampuan (berkelayakan) dan beramanah. Mengapa pulak ulama dan non-ulama menjadi isu?

Persaingan sihat

Persaingan yang sihat ialah persaingan yang berlumba untuk menengahkan idea kepada parti dan membuat perkiraan rasional bagaimana parti harus terus efektif memimpin orang ramai membentuk negara yang diidamkan.

Saya membawa idea dalam dua buku saya bagi mewajarkan lonjakan baru yang saya namakan sebagai Keluk ketiga untuk PAS. Dalam Rejuvanasi PAS saya memperkenalkan empat tingkap atau bahagian organisasi yang perlu diberi penyegaran iaitu struktur dengan menawarkan 'institusi presiden' yang kuat, manakala dalam sumber manusia saya mencadangkan Jabatan Sumber Manusia parti untuk mengurus perkembangan parti yang pesat. Dalam budaya saya mencadangkan pengukuhan akhlak Islam dan professionalism manakala dalam persaingan dalaman saya mencadangkan ketelusan dalam proses pemilihan.

Daripada sudut strategi luaran kejelasan tentang penglibatan PAS dalam masyarakat sivil dan demokrasi serta advokasi dasar perlu kepada penyegaran semula.

Malangnya parti diheret untuk membincangkan sama ada ulama atau tidak ulama yang layak memimpin PAS. Saya beberapa kali mengulangi kenyataan saya bahawa jika ulama itu layak bukan kerana dia adalah ulama dan jikalau bukan ulama, dia layak bukan kerana dia tidak ulama, mereka diletakkan di situ kerana perwakilan melihat kemampuan (al-Qawi) dan amanah (al-Amin) yang mereka miliki untuk membawa bahtera perjuangan PAS di Malaysia.

Sepatutnya kepimpinan mendidik ahli kepada budaya memilih kerana kelayakan dan bukan statusnya.

Implikasi

Malangnya perkataan ulama diberi makna yang berbeza, di mana sepatutnya istilah ulama melambangkan keilmuan dan keterbukaan tetapi kini menjadi status yang dipertaruhkan untuk bersaing dalam parti.

Apakah status ulama itu mewajarkan segala-segalanya daripada sudut kelayakan? Penglibatan seseorang yang berstatus ulama dalam sebuah organisasi parti politik Islam bukan menentukan jaminan dia mesti ada jawatan dan kedudukan dalam parti tetapi sebagai ahli parti macam yang lain, dia perlu menunjukkan keberkesanannya dan kemampuannya membawa visi dan misi parti.

Dalam buku saya, PAS Baru dan Rejuvinasi PAS, isu dikotomi (pemisahan) ulama dan tidak ulama mesti diselesaikan segera melalui penyegaran sistem sumber manusia parti dengan membuat penarafan piawaian ahli yang ada dalam PAS daripada pelbagai latar belakang kepada piawaian yang dipersetujui dan jangan biarkan pihak tertentu yang memandai-mandai menarafkan kelayakan hanya berbekalkan status semata-mata.

Inilah yang akan berlaku apabila pengurusan parti tidak ada strategi sumber manusia parti yang melihat segenap aspek perkiraan bagi melahirkan kelayakan kepimpinan yang terbuka untuk semua.

Apa yang disaksikan hari ini adalah dinamika sebuah parti politik dan sebagai parti politik Islam keunikannya membentuk evolusi perkembangannya menarik untuk diberi perhatian.

Nama Islam pada parti politik tidak menjamin ia suci dari kerenah manusia yang menggerakkan parti Islam. Apa yang perlu ada ialah kemahiran menguruskan dinamika ini kerana ia akan memberi peluang yang cerah kepada perubahan yang amat diperlukan oleh PAS hari ini jika ia mahu kekal relevan.

Mengurus konflik dan krisis tidak memerlukan ulama atau tidak, ia memerlukan seseorang yang mampu melihat secara positif bahawa dalam krisis dan konflik ada peluang untuk penyegaran baru bagi Pas melonjak ke hadapan, sudahkah kita yang cintakan pada perjuangan ini memikirkannya? – 17 September, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments