Opinion

Saat saya mendapat `hadiah’ Hari Malaysia

16 September adalah tarikh keramat bagi rakyat Malaysia kerana inilah satu-satunya hari pembentukan sebuah negara yang bernama Persekutuan Malaysia lahir pada 1963. Pelbagai acara patriotik diadakan selama sebulan sepanjang Ogos dan September setiap tahun.

Saya ada cerita untuk dikongsi buat semua rakyat Malaysia tentang uniknya cara saya meraikan Hari Malaysia semalam bersama rakyat pelbagai kaum dan agama bagi menggambarkan semangat Malaysia kita dalam maknanya yang hakiki.

Mempromosikan kedamaian

Memang bagi sesetengah orang ia agak janggal apabila saya menyebutkan perkataan 'mempromosikan kedamaian', apakah Malaysia tidak damai? Bukankah kemerdekaan itu antara lain maknanya ialah menikmati kedamaian?

Apa yang saya maksudkan kedamaian? Frasa itu dirujuk kepada hubungan antara agama dan kaum di negara ini yang  menggambarkan seolah-olah arah jarum jam berpatah balik ke belakang. Setelah 50 tahun Malaysia terbentuk, masa depan hubungan antara agama tidak menunjukkan ia sedang maju ke hadapan.

Sensitiviti agama tidak disantuni dengan kematangan dan kewarasan tetapi dilambung dengan penuh niat kebencian dan prejudis sehingga penganut masing -masing berburuk sangka antara satu sama lain. Kebencian yang ditanam dalam hubungan antara agama diwajarkan atas nama agama menyebabkan sesetengah orang mempunyai persepsi yang negatif kepada konotasi agama.

Kes dan isu

Ambil contoh isu kalimah Allah, surau kontroversi di resort Sedili dan insiden heret kepala lembu dan 'negara Kristian' semuanya diberi perisa rasis dan prejudis agama.

Media tidak banyak membantu melainkan menjadi perkakas kepada tuan-tuannya yang hanya penting diri dan tidak peduli implikasi kegelojohannya. Walhal jika kita mendalami satu persatu kes di atas, undang-undang dan persefahaman sesama kita boleh meredakan keadaan tetapi para bigot (manusia bermentalkan hubungan dengan orang lain dengan prejudis dan kesangsian) memilih jalan 'sesat' mereka untuk mengeruhkan keadaan.

Peliknya para bigot ini mempunyai pengikut dari parti politik yang menyuburkan pembiakan spesis bigot ini, malah mendapat liputan yang meluas walaupun berkali-kali didapati berita tidak tepat dan disaman kerana membawa berita palsu.

Justeru itu, kedamaian atau kerukunan dalam konteks hubungan ini memerlukan promosi supaya mental sempit ini tidak dilihat mewakili rakyat Malaysia yang dahagan kedamaian hubungan ini setelah 50 tahun Persekutuan Malaysia terbentuk.

Perlukan kepakaran?

Mana-mana rakyat Malaysia yang waras akan bersetuju dengan saya bahawa kedamaian hubungan bukan pilihan tetapi satu kemestian untuk kita mengekalkan semangat Malaysia yang umurnya meningkat 50 tahun kelmarin.

Mana boleh kita membiarkan manusia otak sempit ini menguasai masyarakat kita sedangkan pejuang kita bertungkus lumus membentuk negara tercinta ini pada tahapnya hari ini.

Dalam usaha saya mengadakan dialog antara agama, ada manusia yang bertanya apakah kepakaran saya? Adakah saya mewakili kehendak agama Islam yang sebenar? Adakah saya mendapat izin daripada Yang di-Pertuan Agong?

Sebenarnya saya tidak perlu melayani soalan ini namun sebagai rekod kepada pembaca, saya hanya perlu berkata begini:

"Saya tidak tahu saya ada kepakaran atau tidak untuk berdialog antara agama, saya juga tidak tahu adakah saya mewakili agama saya yang sebenarnya dan saya juga tidak pernah meminta izin kepada Yang di-Pertuan Agong, tetapi apa yang saya tahu ialah, saya memiliki azam kuat untuk mencapai kedamaian dalam hubungan antara agama, apa yang saya tahu juga ialah saya mewakili suara dan denyut mesej kedamaian Islam yang menganjur inisiatif dialog, dan sebagai Ahli Parlimen saya bertanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong dalam sumpah setia setia untuk memelihara keharmonian negara ini"

Apa lagi yang para bigot ini mahu dari saya melainkan ciri kebodohan mereka semakin terserlah dan wajah sebenar mereka kini semakin jelas.

Hadiah istimewa

Selalunya hadiah dikaitkan dengan satu pemberian yang memberikan kepuasan kepada si penerima. Hadiah saya cukup istimewa tahun ini sempena Hari Malaysia.

Pertama, saya menjadi tajuk bantahan para bigot dan rasis menuntut saya supaya hentikan siri dialog antara agama, kedua, satu laporan polis dibuat ke atas saya kerana hasrat untuk berdialog dengan komuniti Kristian di Gereja St Mark, Butterworth pada 16 September dan ketiga, pada hari jadi 16 September itu saya dan rakan-rakan yang mahu mendengar dialog dari umat Islam dan Kristian dihalau keluar oleh puan sebuah restoran India yang menghalang majlis kami diteruskan d isitu walaupun sudah dibuat aturjanjinya dan akhirnya hadiah istimewa saya pada Hari Malaysia ialah 'bertekak'dengan polis semata-mata memberi kuliah kepadanya erti hak dan kesucian rumah ibadah.

Walaupun pemberian ini sukar untuk ditafsirkan sebagai kepuasan bagi sesetengah pihak, tetapi saya cukup merasa kelazatan 'hadiah' ini kerana ia mengajar saya erti semangat dan keazaman untuk memelihara semangat Malaysia yang cuba dirampas oleh otak kecil ini.

Malam kemenangan

Persatuan Mukabuku yang menjadi 'kepala' para bigot menghentam usaha dialog ini dan menulis dalam komen FBnya bahawa mereka berjaya menggagalkan majlis di gereja untuk berpindah ke sebuah restoran berdekatan.

Saya mulanya terkejut diberitahu oleh penyelaras saya Brother Abdul Rahman di saat akhir bahawa tempat majlis akan berpindah ke restoran India berdekatan. Saya melahirkan hasrat kecewa saya apatah lagi saya difahamkan, pihak SB seolah-olah mendesak Father John Kennedy dari Gereja St Mark untuk membatalkan program di gereja atas isu laporan yang dibuat oleh para bigot sehari sebelumnya. Tetapi saya akhirnya akur dengan keputusan asalkan dialog tidak terbatal langsung.

Selesai kuliah maghrib saya di Masjid Jalan Semilang Seberang Jaya, saya bergegas ke restoran yang dimaksudkan bersama isteri dan saudara Nasir yang mengiringi saya.

Sampai di restoran tersebut seramai 20-30 orang di jalan bertentangan seolah sedang berkumpul dalam keadaan mencurigakan walaupun mereka tidak menimbulkan apa-apa kekecohan dan pegawai polis beruniform dan tidak beruniform sudah pun mengelilingi perimeter kelling restoran.

Sampai di tingkat atas restoran, peserta dan pihak SB dan wartawan sudahpun menunggu saya. Saya ke bilik air untuk menyegarkan diri namun selesai urusan, saya mendengar suara kecoh seorang wanita menghalau penganjur dan peserta keluar daripada premisnya dalam masa 30 minit.

Wartawan yang dahagakan suasana sensasi tidak henti memetik kamera mencuri suasana ini. Saya dengan tenang bertanya kepada Father John Kenedy 'bagaimana? saya mendengar dia berkata: 'to the church'.

Di gereja

Gereja St Mark hanya beberapa meter sahaja dari restoran India tersebut dan sejurus kami memasuki perkarangan gereja, Father kelihatan gusar sambil kelihatan teragak-agak sama ada untuk meneruskan atau tidak dialog ini.

Saya mengatakan kepadanya, mengapa tidak? Lalu dia memberitahu saya yang SB menelefonnya sepanjang perjalanan tadi supaya membatalkan saja hasrat dialog ini kononnya ada laporan polis dibuat.

Mendengar penjelasan itu, saya terus memanggil SB yang bertugas berlegar-legar di perkarangan parkir gereja.

Saya secara terus menegur pegawai polis itu bahawa menjadi tanggungjawabnya memastikan dialog di kawasan persendirian dan rumah ibadah dipelihara kehormatannya sebagaimana kuil ataupun masjid dipelihara.

Saya bertanya kepada pegawai itu: "Adakah anda tahu tentang undang-undang? Mengapa memberitahu Father suruh batalkan hanya kerana laporan polis yang dibuat oleh sekumpulan bigot itu?

Saya menekankan kepadanya bahawa sepatutnya polis menyuraikan para demonstran di luar kerana menghalang majlis kami yang dalam premis rumah ibadat dan bukan menyuruh kami membatalkan dialog.

Saya menegaskan padanya "We will proceed, and you will protect us from these bunch of fools by dispersing them."

Mendengar kata semangat saya, Father membuat keputusan untuk teruskan dialog. Alhamdulillah niat asal ke gereja untuk berdialog akhirnya dimakbulkan Allah.

Kemenangan untuk pendamai

Majlis berjalan dan semasa ia berjalan, puak yang tadinya mahu menggagalkan majlis turut masuk ke dalam dengan wajah mereka yang tidak ceria langsung. Saya menyambut mereka dengan senyuman dan meneruskan misi saya.

Saya agak bimbang jika mereka membuat kacau dalam dewan gereja, sudah tentu ia memalukan, namun saudara Nasir, pengiring saya  memaklumkan kepada 'ketua' mereka supaya jaga akhlak dan maruah Islam sedangkan Dr Mujahid hanyalah menyampaikan risalah kedamaian Islam untuk penganut agama Kristian, di mana salahnya?

Berkat 'tazkirah ringkas' Nasir kepada 'ketua kelompok yang tidak berpuas hati, tiada peristiwa yang tidak dingini berlaku, lagipun sejurus mereka masuk, semua soldadu keamanan dari tuan rumah dan rombongan saya melayan mereka seoalah tidak ada apa yang berlaku antara kami dan mereka.

Bukankah ini saat kemanisan dan kelazatan menjadi rakyat Malaysia? Tiada dendam, tiada kesumat dan tiada prejudis, hanya berbekalkan mesej kedamaian, semua kami menjadi wira 16 September. Ia kemenangan awal kepada pembina jambatan yang tidak mudah diugut oleh para bigot yang saya doakan kepada mereka semoga Allah membuka hati dan minda mereka untuk menjadi soldadu keamanan seperti kami pada masa hadapan.

Selamat Hari Malaysia semua! – 18 September, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments