Opinion

PAS dan kepimpinan ulama

Walaupun kepimpinan ulama wujud dalam PAS sejak awal 1980-an, perdebatannya masih berterusan khususnya menjelang pemilihan parti. Isu kepimpinan ulama menjadi sandaran kepada pihak tertentu untuk membuktikan kesetiaan kepada perjuangan parti.

Kepada yang mengkritik dan mempertikaikan kepimpinan ulama harganya amat tinggi malah boleh menjejaskan peluang untuk menang dalam pemilihan parti nanti. Persoalan sebenar yang harus ditanya ialah, apakah sebenarnya isu di sebalik kepimpinan ulama ini?

Nama dan sejarah

Nama kepimpinan ulama itu sendiri merujuk kepada wujudnya kuasa dalam parti yang diberi nama Majlis Syura Ulama (MSU) yang diwujudkan untuk memastikan dasar Islam PAS tidak diselewengkan kepimpinan eksekutif khususnya pengalaman PAS melalui pemusatan kuasa yang tinggi kepada presiden semasa kepimpinan Tan Sri Muhammad Asri Muda.

Tidak dapat dinafikan juga pengaruh konsep wilayatul faqih yang dianjurkan Imam Khomeini melalui kemenangan Revolusi Iran turut mempengaruhi lahirnya Majlis Syura Ulama. PAS yang baru keluar daripada kemelut pasca Asri memerlukan penjenamaan baru maka lahirlah nama "kepimpinan ulama" bagi menghimpun semula kekuatan, malah ia menggelar dirinya "PAS Baharu" ketika itu.

Nama kepimpinan ulama ialah kerana adanya MSU di mana keahliannya adalah khusus kepada golongan ulama yang berpendidikan formal agama. Ahli MSU dilantik dan bukan melalui pemilihan terbuka seperti diperuntukkan dalam perlembagaan parti manakala mursyidul am akan dipilih antara ahli syura untuk memimpin MSU.

Eksekutif parti

Roh perlembagaan parti menetapkan kuasa eksekutif sebagai penggerak dan pelaksana dasar parti serta mengurus pentadbiran harian parti. Syarat dan keahlian juga jelas malah tiada kriteria latar belakang pendidikan tertentu yang ditetapkan untuk menjadi anggota eksekutif sehinggalah ke jawatan presiden. Presiden dan seluruh anggota eksekutif parti dipilih muktamar dan tiada syarat khusus mereka mesti daripada kalangan ulama untuk dicalonkan.

Kebebasan memilih calon presiden dan ahli eksekutif lainnya berasaskan pilihan perwakilan dan bukan atas syarat ulama. Kalaupun ulama sebagai presiden terpilih maka ia adalah atas pilihan muktamar bukan kerana kedudukan "ulama"nya. Fahaman dan asas ini penting sebab potensi bakal kepimpinan boleh digilap daripada pelbagai latar belakang dan tidaklah terbatas untuk kelompok tertentu saja.

Jawatan presiden

Sementara saya bersetuju ahli eksekutif parti mestilah berbagai latar belakang namun saya kurang bersetuju untuk mengehadkan jawatan presiden mahupun timbalannya hanya kepada kelompok ulama. Apatah lagi dikhususkan ciri seperti "faqih" dan "mujtahid" sehingga kita tidak dapat membezakan antara keperluan bidang tugas utama Majlis Syura Ulama dan jawatankuasa eksekutif parti.

Presiden sebagai ketua kepada ahli jawatankuasa eksekutif parti dan sekali gus pemimpin semua ahli PAS tertumpu kepada bidang tugas pengurusan, membuat strategi dan melaksanakan taktikal parti serta terlibat dalam perhubungan awam membawa imej parti dalam dan luar negara.

Bagi menjalankan tugas ini kebolehan dan keupayaan presiden lebih terletak kepada kepakaran pengurusan organisasi parti, memahami disiplin strategi dan taktikal serta mempunyai kadar dan tahap perhubungan awam yang tinggi.

Al-Quwwah dan al-Amanah

Ibnu Taimiyah (meninggal dunia 728H) dalam menetapkan kriteria keupayaan kepimpinan meletakkan konsep al-Quwwah dan al-Amanah sebagai kriteria utama dengan meletakkan seorang yang terbaik dalam bidang utama tugas dipikul. Dalam bukunya Al Siyasah al-Syari'yah fi maslahah al Ra'yi wa al Ra'iyah menyebut:

"Hendak dipastikan orang terbaik, baik pada setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah dan al-Amanah.” (Al Qasas 26).

Tambah Ibnu Taimiyah lagi:"Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. Al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan. Al-Quwwah dalam kehakiman manusia memerlukan ilmu keadilan dan kemampuan melaksanakan hukum. Al-Amanah pula merujuk kepada perasaan takutkan kepada Allah, tidak menjual ayat Allah dengan harga murah dan tidak takut kepada manusia".

Jawatan presiden dalam parti politik Islam adalah bidang tugas pengurusan organisasi, ketajaman strategi dan kebolehan mengurus perhubungan awam serta pantas dan licik bersaing dalam pentas politik yang diceburi. Presiden parti juga perlu mempunyai visi dan misi memerintah negara dengan situasi yang ada dalam negara tersebut. Ringkasnya jawatan presiden adalah ekspresi kepada keperibadian pengurusan, ahli strategis dan mempunyai ciri seorang negarawan. Paling penting meyakini dasar Islam yang diperjuangkan PAS.

Terserah kepada perwakilan

Namun demikian perwakilan mempunyai hak dan pilihan untuk menentukan arah tuju parti dengan membuat pilihan mereka sendiri. Mereka juga harus bijak memahami situasi PAS yang sudah melewati batas kaum dan agama dalam membawa misi politik Islam. PAS hari ini bukan saja untuk ahli PAS tetapi ramai yang menaruh harapan PAS membawa perubahan jadi ahli PAS bukan saja memilih kepimpinan untuk dirinya tetapi juga kepada orang ramai dalam muktamar akan datang.

Namun jikalau perwakilan PAS mahukan seorang yang "mujtahid" dan "faqih" mereka harus faham siapakah yang dikatakan "mujtahid" dan "faqih" menurut piawaian yang ditentukan syariat Islam bukan daripada piawaian mulut mereka yang mempermudah syarat "faqih" dan "mujtahid". – 13 Mac, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments