Opinion

Muktamar PAS dan jangkaan rakyat

Sebuah parti politik semestinya mempunyai cita-cita untuk memerintah negara dengan membawa dasar partinya ke dalam kerangka kerajaan dan menjadikan pemerintahannya berkesan mengatasi masalah yang dihadapi rakyat.

Bukan itu sahaja , bahkan parti politik perlu mempunyai aspirasinya untuk menyuntik nilai kebebasan dan prinsip moral yang tinggi bagi mencapai erti kemanusiaan dan harga diri.

Dasar pemerintahan dan falsafah kemanusiaan perjuangan parti mesti disampaikan kepada orang ramai melalui kepimpinan yang mampu memberi pencerahan dalam laras bahasa difahami orang awam.

Rasional kepartian

Dalam kejelasan itu, parti politik juga terpaksa melalui rasional organisasi kepartian yang melibatkan dinamika bagaimana ahli dan kepimpinan menanggap cita-cita tersebut di mana aspek ideologi menjadi titik perdebatan ahli dan kepimpinan membentuk evolusi parti tertentu dalam proses aktiviti politiknya.

PAS sebagai parti politik yang berpaksikan ideologi politik Islam kini melalui proses dinamika antara desakan menuju cita-cita kepemerintahannya dan desakan ahlinya yang khuatir kepada hilangnya jati diri ideologinya.

Situasi ini semakin menjadi dalam suasana pemilihan parti yang akan menyaksikan siapa yang paling tepat kejelasannya dalam membentuk kepimpinan dan masa depan politiknya.

Mengambil posisi

Adalah signifikan bagi ahli dan kepimpinan parti PAS hari ini mengambil posisi yang jelas ketika kita berhadapan dengan keperluan memerintah dan mengekalkan jati diri prinsip perjuangannya kerana dari posisi ini PAS akan lebih mudah menyatakan hasratnya kepada rakyat Malaysia dan kepada ahlinya ke mana hala tujunya.

 PAS dan kepimpinannya harus menyatakan niatnya untuk menjadi kerajaan kepada rakyat Malaysia melalui apa sahaja keputusan strategik yang diambilnya dengan meletakkan asas kewujudan negara ini sebagai komitmennya. Ini bermakna , ia harus juga komited kepada prinsip demokrasi secara berpartisipasi, mengiktirafi kepelbagaian, menyegarkan masyarakat sivil dan membawa agenda reform dalam dasar negara.

Komitmen ini mesti dijelaskan juga kepada ahli yang kadang-kadang terkeliru dengan menganggap komitmen kepemerintahan PAS akan menggadai jati diri prinsip Islamnya kerana penegasan kepimpinan selama ini ialah dalam bentuk format dan dan kerangka perundangan semata-mata yang jauh capaiannya dalam konteks politik kenegeraan.

 Penegasan hanya kepada soal bentuk (forms) dan tidak menjurus kepada isi kandungan (substance) prinsip kepemerintahan seperti mengasaskan keadilan, membudayakan kepimpinan bermoral dan menguruskan ekonomi negara melalui dasar inovatif tidak akan membantu kita memilih posisi yang jelas.

Kegagalan untuk mengambil posisi yang jelas akan hanya mengheret parti kepada perbalahan yang tidak sudah dari isu remeh-temeh yang tidak produktif seperti ulama atau tidak ulama, demokrasi vs syura dan pertikaian antara parti komponennya tentang kerusi dan sebagainya.

Jangkaan rakyat

PAS tidak boleh lari daripada menerima hakikat bahawa ia sebuah parti yang sudah berada dalam arus perdana. PAS mula diterima secara nasional sebagai parti yang boleh menjamin nasib pelbagai kaum di negara ini. Pencapaian ini adalah sesuatu yang diperlukan oleh PAS kerana selama ini, PAS cuba dipenjarakan di balik tembok konkrit oleh sikapnya sendiri mahupun oleh musuh politiknya.

 Menjelang muktamar, PAS diperhatikan oleh seluruh rakyat Malaysia dan bukan sahaja oleh ahli PAS dan kerana itu sebarang pemilihan yang dibuat oleh perwakilan perlu juga mengambil kira apakah jangkaan rakyat terhadap bakal kepimpinan yang akan menerajui PAS.

Rakyat tidak berminat apakah PAS akan meletakkan calon ulama atau tidak sepertimana rakyat tidak berminat apakah PAS akan menghapuskan golongan Liberal (jikalau ada istilah itu), yang berminat tentang semua itu hanyalah Umno dan konconya serta para cybertrooper murahan mereka.

Rakyat mahu melihat apakah kepimpinan PAS akan mampu melakarkan perubahan besar negara dan apakah kepimpinan PAS nanti akan mengemukakan idea kepemerintahan dengan lebih efektif dan berwibawa. Itulah harapan rakyat dan tumpuan rakyat kepada PAS yang sebenarnya.

Kesedaran ahli PAS

Ahli PAS bukan lagi pemain simpanan, mereka kini menjadi penyerang handalan dan ramai yang berminat untuk melihat mereka beraksi. Ahli PAS juga lebih bijak untuk tidak dimangsakan oleh musuh politik mereka daripada Umno dan ahli PAS sudah cukup matang mengenali taktik dan kempen murahan sesetengah pihak. Apatah lagi sebahagian ahli PAS kini menjadi ahli mesyuarat negeri, memegang GLC dan menjadi pemimpin di peringkat akar umbi, JKKK, pengerusi masjid dan lain-lain. Bukankah mereka harus praktikal dalam menentukan masa depan parti?

Pemimpin yang mereka akan pilih bukan sahaja akan menjadi pemimpin parti, tetapi pemimpin negara. Rakyat hanya mengharapkan pemilihan pimpinan PAS oleh para perwakilan memenuhi jangkaan mereka kerana parti politik dan kepemerintahan negara tidak dapat dipisahkan. Rakyat juga mahu mengucapkan selamat tinggal kepada Umno tetapi mereka juga mengharapkan apakah ucapan 'selamat datang' kepada kepimpinan PAS memenuhi kehendak mereka? – 28 September, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments