Opinion

Menggarap pemikiran politik Islam moden

Gerakan Islam atau Islamic Movement adalah istilah popular yang digunakan pada awal 80-an bagi menggambarkan kumpulan Islam yang bergerak untuk mengembalikan kehidupan Islam dalam segala kehidupan manusia.

Gerakan Islam melibatkan mobilisasi sosial, ekonomi dan pendidikan bagi mengembalikan jati diri dan identiti umat Islam dari menjadi ratahan Barat dari sudut militari dan pemikiran. Itulah retorik yang membentuk dalam apa yang dikenali oleh Barat sebagai the Resurgence of Islam.

Istilah Parti Islam menjadi lebih kecil dibandingkan dengan istilah Gerakan Islam di mana aktiviti politik berpilihanraya hanyalah sebahagian daripada skopnya.

Susur galur

Islam sebagai entiti kekuasaan hanya muncul selepas Revolusi Iran pada 1979. Gerakan Islam diberikan satu kekuatan baru bahawa perjuangan Islam mampu membentuk sebuah entiti kuasa negara malah berupaya menggugat kuasa besar Amerika yang selama ini ditanggap sebagai kebal.

Isu sama ada ia kemenangan Islam ataukah kemenangan Syiah belum mendapat perhatian kerana dunia Islam menganggap ia adalah kemenangan Islam. Melusuri selanjutnya ialah kemenangan di Turki yang mengejutkan dunia, walaupun parti Erbakan hanya bertahan beberapa tahun sahaja.

Algeria pada awal 90-an turut menyaksikan skop politik Gerakan Islam menjanjikan masa depan yang cerah dengan kemenangan FIS (Front Islamic Salvation). Namun harapan berkecai apabila kemenangan ini dibatalkan dan tentera mengambil alih. Algeria terpaksa melalui perang saudara berdarah beberapa tahun akibat kemenangan demokrasi dirompak oleh tentera.

Istilah political Islam

Oliver Roy memerhatikan perkembangan ini sepanjang tahun-tahun 80-an-90-an lalu merumuskan satu tesis yang cuba merasionalkan Islam dan kekuasaan serta bagaimana Islam menjadi entiti kuasa.

Beliau melihat Islam dalam entiti yang lebih luas dan menganggap kewujudan dan kemenangan Islam politik adalah peluang ekspresi terhadap anti-Barat dan bukan untuk memperkenalkan dasar alternatif.

Kelompok yang terlibat dengan Islam politik pada hemat Oliver adalah mereka yang tidak mengikut nasihat ulamak Islam tradisional dan mewajarkan tindakan mereka untuk kepentingan politik semata-mata.

Political Islam juga dikaitkan dengan anti kemodenan sehingga ia dilihat gagal untuk membawa program pembangunan untuk rakyat. Oliver merumuskan ia sebagai 'failure untuk political Islam' justeru menjadi bahan pemikiran untuk menafikan kemungkinan peluang Gerakan Islam menjadi pemerintah.

Post-Islamism

Post-Islamism adalah satu tesis menggambarkan keadaan kuasa Islam setelah memegang tampok pemerintahan hilang momentum legitimasi retorik yang didapatinya lalu tertekan kepada suasana dan kehendak semasa dan seterusnya cuba menjenamakan dirinya semula setelah pengalaman lampau kekuasaannya menerima kritikan orang ramai.

Menariknya teori ini kerana ia mengambil pengamatan terhadap Republik Islam Iran pada 90-an yang melalui perubahan dalam struktur masyarakatnya yang cuba memisahkan diri daripada penguasaan negara ke atas kehidupannya untuk mendakap realiti.

Pendiri teori ini ialah Asef Bayat tokoh akademik berbangsa Iran yang tinggal di Barat. Asef juga menganggap andaiannya hanyalah konstruk pemikiran empirikal terhadap fenomena Islam di persada kuasa dan bukan analisis secara kategorikal.

Dia bercakap tentang realiti yang 'memaksa' semangat Islam yang membentuk jalan mereka ke arah kuasa, kini memerlukan penjenamaan semula di mana asasnya ialah dari sekadar tema 'tanggungjawab' kepada 'hak'dan dari sumber kuasa tunggal kepada menerima kepelbagaian dan daripada perspektif teks kepada memahami pensejarahan teks dan dari masa kegemilangan lampau kepada masa depan.

Pemikiran ini seolah-olah melakarkan asas kepada kewajaran Islamis menggunakan 'apa' dan 'bagaimana' daripada sudut strategi dalam konteks tekanan masyarakat sivil, demokrasi dan hak asasi manusia.

Mengapa penting susur galur?

Kefahaman melihat perkembangan pemikiran politik Islam penting untuk kita memahami apa yang mencabar Gerakan Islam hari ini dari sudut kemampuannya berada dalam atur cara demokrasi dan masyarakat sivil yang membentuk asas sebuah negara hari ini.

Memindahkan persepsi sesetengah pihak khususnya Barat daripada tanggapan Islamofobia bukanlah mudah walaupun model keterlibatan Gerakan Islam dalam demokrasi digagalkan sendiri oleh golongan sekular-liberal yang mengusung demokrasi ke sana-sini.

Namun apa yang lebih penting dan utama ialah sejauh manakah kejelasan Islamis dalam perjuangan politik mereka memahami bahawa mengimbangi antara prinsip dan mendakap realiti adalah sebahagian dari ilmu Islam itu sendiri dan bahawa ia memerlukan kepimpinan yang tajam pengamatannya kepada realiti tanpa perlu hilang prinsip.

Nama yang disebut daripada pendiri pemikiran ini seperti Oliver Roy dan Asef Bayat hanyalah pengamat dan menukilkannya secara disiplin akademik. Kepimpinan Gerakan Islam yang terlibat dalam kerangka politik tidak semesti menerima konstruk pemikiran ini tetapi ia akan membantu mereka untuk membuat satu tindakan pengimbangan antara prinsip keyakinannya dan realiti yang dihadapinya.

Oliver atau Asef bukan aktivis, yang menentukan betul atau tidak teori mereka ialah penggerak dan kepimpinan Gerakan Islam sendiri. Bersediakah aktivis politik Islam membentuk kekuatannya sendiri dari susur galur pemikiran ini?

Implikasi

Kepimpinan politik Islam perlu membuat keputusan untuk menjenamakan dirinya supaya ia terus kekal relevan dan mampu memberi alternatif politik baru. Politik baru bukan pemisahan dari asas dan prinsip perjuangannya tetapi adalah legitimasi kewujudannya melalui penyegaran dan rejuvenasi.

Hanya dari kejelasan ini Gerakan Islam mampu bangkit, bersediakah kita mengekalkan legitimasi kewujudan dan kerelvenan kita lewat susur galur pemikiran politik Islam kontemporari? – 14 September, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments